PETALING JAYA/JOHOR BARU: Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) antara Thailand dan Kemboja akan diadakan di Kuala Lumpur dari 4 hingga 7 Ogos.
Angkatan Tentera Malaysia berkata dalam satu kenyataan pada 2 Ogos bahawa mereka akan mempermudahkan mesyuarat tersebut.
“Mesyuarat GBC yang akan datang, bertujuan menyelesaikan pertikaian sempadan antara kedua-dua negara. Ia adalah sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata yang diperantarakan oleh Malaysia pada 28 Julai,” kata kenyataan itu.
“Malaysia adalah lokasi neutral yang dipilih secara bersama oleh Thailand dan Kemboja untuk mesyuarat GBC kali ini.
“Bidang tugas bagi pengerahan atase tentera sebagai pasukan sementara dan pengerahan Kumpulan Pemantauan ASEAN akan menjadi sebahagian daripada agenda GBC,” menurut kenyataan itu lagi.
GBC adalah salah satu daripada beberapa kaedah dua hala yang ditubuhkan oleh Thailand dan Kemboja untuk menangani perkara sempadan.
Kedua-dua negara bergilir-gilir menjadi tuan rumah mesyuarat tersebut, dan kali ini adalah giliran Kemboja.
Malaysia juga dijangka akan mengadakan mesyuarat dalam talian dengan Kemboja dan Thailand pada petang 2 Ogos untuk membincangkan mesyuarat GBC, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Datuk Seri Khaled berkata, beliau akan menghubungi rakan sejawatnya dari Kemboja dan Thailand untuk memaklumkan tentang kesediaan Malaysia untuk menjadi tuan rumah mesyuarat dua hala antara kedua-dua negara itu.
“Setelah saya bercakap dengan mereka berdua, kami akan mengadakan mesyuarat Zoom melibatkan ketiga-tiga menteri pertahanan, di mana kami akan membincangkan bagaimana memastikan mesyuarat ini berjalan lancar,” katanya dalam satu sidang media di Mesyuarat Tahunan Umno Pasir Gudang di Johor Bahru.
Datuk Seri Mohamed Khaled berkata mesyuarat minggu depan dijangka akan diadakan di Wisma Pewira di Kuala Lumpur.
“Sebelum mesyuarat GBC, pegawai dari kedua-dua negara juga akan mengadakan perbincangan berasingan,” tambahnya.
Pertempuran sengit di sempadan Thailand-Kemboja meletus pada 24 Julai selepas kejadian letupan periuk api yang mencederakan lima anggota tentera Thai.
Ketegangan telah meningkat sejak Mei, susulan kematian seorang askar Kemboja dalam kejadian yang mencetuskan krisis diplomatik.
Pada 28 Julai, Encik Hun Manet dan pemangku Perdana Menteri Thailand, Encik Phumtham Wechayachai, bersetuju menghentikan pertempuran secara tanpa syarat.
Rundingan damai itu dihoskan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selaku Pengerusi Asean.
Pada 1 Ogos, Thailand dan Kemboja secara berasingan menganjurkan lawatan ke kawasan sempadan untuk diplomat asing bagi menunjukkan kesan pertempuran hampir seminggu yang berlaku di antara kedua-dua negara.
Lawatan itu dilihat sebagai usaha masing-masing untuk memaparkan versi kerosakan yang berlaku, di tengah-tengah suasana yang masih tegang meskipun terdapat perjanjian gencatan senjata.
Kementerian Luar Thailand memaklumkan bahawa lawatan pada 1 Ogos itu melibatkan atase tentera dari 23 negara, duta besar asing, wakil kedutaan dan lebih 200 wartawan tempatan dan antarabangsa. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg