Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Thai kemuka lapan syarat utama dalam rundingan sempadan dengan Kemboja

Aug 6, 2025 | 12:26 PM
Konflik sempadan, konflik Thailand-Kemboja, genjatan senjata 
Orang ramai mengibarkan bendera kebangsaan sambil menyertai Perarakan Keamanan di Phnom Penh pada 2 Ogos 2025, susulan konflik sempadan dengan Thailand. Kemboja dan Thailand telah bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata pada 28 Julai lalu selepas lima hari pertempuran yang meragut sekurang-kurangnya 43 nyawa di kedua-dua pihak. - Foto AFP

KUALA LUMPUR: Thailand telah mengemukakan lapan syarat utama dalam Mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) bersama Kemboja sebagai langkah penting untuk mengekalkan gencatan senjata dan menjamin keamanan jangka panjang di kawasan sempadan yang tegang.

Timbalan Menteri Pertahanan Thailand, Jeneral Nattaphon Narkphanit, berkata cadangan itu dibentangkan dalam perbincangan hari kedua, 5 Ogos, antara Sekretariat GBC Thailand dan wakil Kemboja.

Menurut beliau, semua syarat tersebut berpandukan perjanjian terdahulu dan ditujukan kepada usaha penyelesaian konflik secara menyeluruh.

“Lapan syarat ini bertujuan memastikan keamanan jangka panjang dan menyelesaikan pertikaian yang berlarutan antara kedua-dua negara. Jika Kemboja bersetuju, syarat ini akan dibawa ke Mesyuarat Menteri Pertahanan pada 7 Ogos,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Perhubungan Awam Thailand pada 5 Ogos.

Jeneral Nattaphon turut menegaskan bahawa syarat yang diterima oleh Kemboja akan menjadi asas perbincangan selanjutnya, manakala isu yang belum dipersetujui perlu selari dengan kepentingan strategik Thailand.

“Sebarang pelanggaran gencatan senjata oleh Kemboja, seperti yang dilaporkan, akan dibangkitkan secara rasmi dalam mesyuarat. Kehadiran pemerhati antarabangsa amat penting bagi memastikan integriti perjanjian dihormati,” ujarnya.

Dalam kenyataan yang sama, beliau menyatakan rasa terkejut terhadap ketiadaan cadangan konkrit daripada pihak Kemboja, walaupun ketegangan masih berlarutan di beberapa kawasan sempadan. Walau bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa Thailand tidak akan mengambil langkah provokatif dan kekal komited terhadap keamanan.

“Thailand tidak akan berundur dalam mempertahankan kepentingan negara. Namun, kita tidak akan memulakan sebarang tindakan agresif selagi pihak satu lagi mematuhi perjanjian,” tegas beliau.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum ini menyatakan bahawa pertikaian sempadan antara Thailand dan Kemboja dijangka dapat diselesaikan melalui mesyuarat GBC. Beliau berharap mesyuarat peringkat menteri akan mengukuhkan gencatan senjata dan mengelakkan insiden baru.

Pada 28 Julai lalu, Malaysia telah menganjurkan mesyuarat khas di Putrajaya yang dipengerusikan oleh Datuk Anwar. Ia membawa kepada persetujuan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat antara Perdana Menteri Kemboja, Encik Hun Manet, dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Encik Phumtham Wechayachai.

Kedua-dua pihak turut bersetuju untuk mengadakan mesyuarat GBC sebagai sebahagian daripada pelaksanaan perjanjian tersebut.

Perbincangan GBC kali ini juga turut memberi tumpuan kepada merangka terma rujukan (TOR) yang menjadi kerangka pemantauan dan pelaksanaan perjanjian damai oleh kedua-dua negara.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar, menjelaskan bahawa TOR dan perjanjian gencatan senjata mesti dipersetujui sebelum sebarang pemantauan dijalankan oleh Pasukan Pemerhati Atase Pertahanan Asean (AMT).

“Pasukan AMT akan memainkan peranan penting dalam memastikan Thailand dan Kemboja mematuhi semua aspek gencatan senjata yang dicapai di Seri Perdana pada 28 Julai lalu,” katanya. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg