KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata mandat yang dibawa Malaysia dalam isu keamanan konflik Thailand-Kemboja tidak terhad kepada kedudukan negara itu sebagai Pengerusi Asean pada 2025.
Justeru, beliau berkata mandat yang diberikan oleh semua negara anggota Asean akan diteruskan, walaupun selepas Malaysia tidak lagi bertanggungjawab ke atas jawatan Pengerusi Asean.
Datuk Anwar turut memaklumkan bahawa semua ketua negara Asean bersetuju menghantar atase pertahanan masing-masing bagi memantau kemajuan usaha damai berikutan konflik sempadan antara Kemboja dengan Thailand.
“Mandat diberikan itu (oleh negara Asean), diminta saya teruskan sehingga keadaan itu selesai.
“Jadi tidak terikat sangat dengan kedudukan sebagai pengerusi Asean dan tempoh penyelesaian ini memang kita jangka selewat-lewatnya dalam tempoh tiga bulan.
“Tetapi dalam mana-mana rundingan, kita tak boleh hadkan (tempoh waktu). Cuma yang kita tegaskan ialah mesti berlaku gencatan senjata,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat (Parlimen) pada 5 Ogos, lapor Berita Harian Malaysia.
Beliau menjawab soalan tambahan daripada Ahli Parlimen (AP) Sungai Petani (Kedah) daripada Pakatan Harapan (PH), Dr Mohammed Taufiq Johari, mengenai sampai bilakah pasukan pemantau Asean dan Tim Pemantau Tetap (AMT) yang dipengerusikan Malaysia akan menjalankan tugas pemantauan di sempadan Thailand dan Kemboja.
Dengan cara itu, Datuk Anwar berkata ia dapat mengelak penyertaan dan pembabitan negara kuasa besar dalam rundingan antara negara anggota Asean.
“Kalaupun ada pasukan pendamai di sempadan, ia haruslah hanya terbatas kepada kehadiran wakil-wakil atau tentera negara Asean.
“Kalau bantuan logistik dari Amerika Syarikat dan China, itu kita alu-alukan kalau diberi beberapa kemudahan. Itu yang ditekankan setakat ini,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai atase pertahanan negara Asean itu, Datuk Anwar berkata kesepakatan itu dicapai selepas beliau sendiri menghubungi seorang demi seorang ketua negara Asean untuk memohon mandat serta sokongan.
“Saya telah menghubungi semua perdana menteri, presiden dan juga Sultan Brunei bagi memohon mandat dan memberikan dukungan.
“Kesemua mereka bersetuju mengutuskan atase pertahanan mereka untuk terus memantau dan dalam mesyuarat di Kuala Lumpur, atase pertahanan Malaysia yang menyelaraskan bersama atase pertahanan Asean,” katanya.
Dalam pada itu, Datuk Anwar mengesahkan kehadiran wakil dari Amerika dan China dalam proses rundingan, namun peranan kedua-dua negara itu hanya sebagai pemerhati.
Pada 28 Julai, pemimpin Thailand dan Kemboja yang bertemu di Malaysia di bawah perantaraan Datuk Anwar bersetuju berhubung gencatan senjata selepas berlaku ketegangan di sempadan kedua-dua negara.
Perdana Menteri Kemboja, Encik Hun Manet; dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Encik Phumtham Wechayachai, bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat berhubung dengan isu pertikaian sempadan, hasil daripada mesyuarat khas yang dipengerusikan Datuk Anwar di Putrajaya.
Dua negara jiran Asia Tenggara itu mempunyai sejarah panjang pertikaian diplomatik membabitkan sempadan bersama sepanjang 817 kilometer yang belum dimuktamadkan ketika itu, sehingga mengakibatkan pertumpahan darah lebih 30 nyawa dan memaksa lebih 150,000 berpindah keluar.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg