BANGKOK: Thailand menyasarkan untuk menjadi tuan rumah perlumbaan Formula Satu (F1) bermula 2028, sekali gus menandakan satu langkah penting bagi negara Asia Tenggara itu dalam usahanya untuk dikenali sebagai lokasi utama bagi acara bertaraf dunia.
Hasrat itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Cik Paetongtarn Shinawatra, selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif F1, Encik Stefano Domenicali, di Bangkok pada 18 Mac.
Menurut Cik Paetongtarn, kerajaan kini sedang meneliti keperluan pelaburan, faedah ekonomi kepada Thailand, dan kemungkinan untuk menganjurkan perlumbaan di litar jalanan.
“Kerajaan akan menjalankan kajian menyeluruh tentang pelaburan yang diperlukan serta potensi pulangan ekonomi, termasuk peluang pekerjaan dan pendapatan baru kepada industri perkhidmatan,” katanya dalam satu kenyataan di platform X.
Thailand sebelum ini, pada 2024, telah mencadangkan Bangkok sebagai lokasi perlumbaan F1 di litar jalanan.
Cadangan itu bertujuan memperkukuh imej Thailand sebagai hab pelancongan utama dunia dan menarik pelancong berbelanja tinggi.
Susulan itu, beberapa pegawai kanan F1 telah melawat ibu kota Thailand untuk meneliti laluan-laluan yang berpotensi digunakan bagi perlumbaan tersebut.
Kini, kira-kira satu pertiga daripada 24 perlumbaan F1 yang dijadualkan untuk musim 2025 akan berlangsung di litar jalanan atau litar hibrid, berbanding hanya sekitar 15 peratus sedekad lalu.
Perlumbaan di litar jalanan biasanya berlangsung di jalan raya awam yang ditutup sementara dan diubah suai menjadi litar perlumbaan profesional, yang menyaksikan kereta-kereta F1 berteknologi tinggi mampu mencapai kelajuan lebih 322 kilometer setiap jam.
Sebagai perbandingan, jiran serantau Thailand, Singapura telah lama menganjurkan perlumbaan F1 di Litar Jalanan Marina Bay yang terletak di tepian laut bandar raya itu.
Kejayaan Singapura menjadi inspirasi bagi Thailand untuk turut mencipta kejayaan yang sama.
Kerajaan pimpinan Cik Paetongtarn dilihat meneruskan usaha perdana menteri sebelumnya, Encik Srettha Thavisin, dalam menjadikan Thailand destinasi pilihan bagi acara muzik antarabangsa, festival dan sukan bertaraf dunia.
Thailand kini turut merupakan tuan rumah bagi perlumbaan MotoGP, satu lagi kejohanan permotoran sejagat yang popular.
Dengan menjadi tuan rumah perlumbaan F1, Thailand bukan sahaja berpeluang meningkatkan prasarana bandar, malah mampu menarik kemasukan pelancong dalam jumlah yang besar.
“Perlumbaan ini bukan sekadar acara sukan, malah peluang besar untuk merangsang ekonomi.
“Ia boleh mencipta lebih banyak pekerjaan serta membuka sumber pendapatan baru dalam sektor perkhidmatan, pelancongan dan hiburan,” ujar Cik Paetongtarn.
Sebagai negara yang sangat bergantung kepada industri pelancongan, Thailand melihat penganjuran F1 sebagai sebahagian daripada strategi jangka panjang untuk mengukuhkan semula ekonomi pasca pandemik.
“Kami mahu Thailand dikenali bukan sahaja sebagai destinasi pelancongan, malah sebagai tuan rumah kepada acara sejagat bertaraf dunia,” kata Cik Paetongtarn. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg