Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hamilton berlumba bagi Ferrari antara tumpuan utama musim baru F1

Red Bull buru kejuaraan pemandu kali kelima berturut-turut apabila musim baru F1 dibuka di Grand Prix Australia
Mar 13, 2025 | 3:28 PM
Grand Prix Australia merupakan penampilan  pertama Lewis Hamilton di bawah pasukan barunya, Ferrari. Ramai penyokong menantikan bagaimana beliau akan beraksi untuk Ferrari setelah lama berlumba di bawah Mercedes.
Grand Prix Australia merupakan penampilan pertama Lewis Hamilton di bawah pasukan barunya, Ferrari. Ramai penyokong menantikan bagaimana beliau akan beraksi untuk Ferrari setelah lama berlumba di bawah Mercedes. - Foto AFP

Musim baru sukan lumba kereta Formula 1 (F1) 2025 bakal bermula di Melbourne, Australia, dengan perlumbaan sulung diadakan pada 16 Mac – Grand Prix Australia di Litar Albert Park.

Persoalan yang kini menjadi perbualan peminat F1 adalah mampukah Max Verstappen and pasukan Red Bull meneruskan penguasaan dengan memenangi kejuaraan pemandu untuk musim kelima berturut-turut?

Atau, sama ada juara tujuh kali Lewis Hamilton, yang berpindah ke Ferrari untuk membentuk ‘gandingan yang dinanti-nantikan’ dengan Charles Leclerc, dapat mengubah nasib pasukan glamor serba merah dari Italy itu yang pernah menjuarai kejuaraan pembuat kereta sebanyak 16 kali dan kejuaraan pemandu 15 kali?

Pada masa yang sama, cabaran daripada Lando Norris dan McLaren juga tidak boleh diketepikan, dengan pemandu dan pasukan dari Britain itu dikatakan sedang berusaha mengembalikan semula era kegemilangan mereka sejak berjaya merebut semula kejuaraan pembuat kereta pada 2024.

Selain itu, terdapat lima pemandu baru yang bakal membuat penampilan sulung mereka pada musim baru F1 ini.

Bagaimana pula dengan nasib dan peluang mereka?

Bab baru bagi Lewis Hamilton

Bagi Hamilton, pemegang rekod kejuaraan pemandu sebanyak tujuh kali, meninggalkan Mercedes selepas 12 tahun yang cemerlang bersama pasukan pimpinan Toto Wolff itu merupakan satu cabaran besar.

Beliau telah melakukan segala yang mampu untuk menyesuaikan diri dengan pasukan Ferrari. Perpindahannya ke Ferrari dijangka menjadikan pasukan dari Italy itu sangat berdaya saing.

Bersama-sama Leclerc yang merupakan salah seorang pemandu handalan F1 sejak beberapa musim lalu, Hamilton pastinya menghadapi saingan sengit.

Justeru, Grand Prix Australia menandakan permulaan era baru bagi pemandu paling berjaya dalam sejarah F1 itu, yang telah mencapai 105 kemenangan.

Buru kegemilangan

Apa jua boleh berlaku dalam F1, dan inilah antara faktor yang membuat sukan lumba kereta ini amat menghiburkan, dan tidak kurang debarannya.

Verstappen dan Red Bull telah menjadi kuasa dominan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dengan pemandu asal Belanda itu memenangi empat kejuaraan berturut-turut dari 2021 hingga 2024.

Keupayaan pasukan itu meningkatkan prestasi, terutama di bawah pimpinan Christian Horner dan dengan kecemerlangan Verstappen di litar lumba menjadikan mereka pasukan yang sukar ditewaskan.

Jangkaannya adalah Red Bull akan terus berada di barisan hadapan F1 dalam jangka masa terdekat, dengan kejuruteraan inovatif dan keberkesanan perlumbaan strategi mereka.

Bagaimanapun, dengan Hamilton kini berada di Ferrari, landskap F1 mungkin berubah.

Pengalaman Hamilton, digabung dengan keupayaan Ferrari, pasukan yang paling banyak menjuarai kejuaraan pembuat kereta, membangunkan kereta yang berdaya saing boleh menggugat penguasaan Red Bull.

Dengan bakat dan keupayaan Hamilton – baik dari segi pemanduan, pengalaman serta berkomunikasi dengan pasukan kejuruteraan untuk memperbaiki tahap saing kereta – mereka berpotensi merapatkan jurang dengan Red Bull dan bersaing bagi kededua kejuaraan pemandu dan pembuat kereta.

Norris dan McLaren juga tidak boleh diketepikan dengan gandingan itu mampu menawarkan prospek menarik pada masa depan.

McLaren, dengan prestasi kereta yang semakin meningkat dan bakat Norris, boleh menjadi pasukan yang mampu memecahkan penguasaan Red Bull dan Ferarri.

Norris telah menunjukkan bahawa beliau memiliki kemahiran dan tekad untuk bersaing di tahap tertinggi, dan dengan pelaburan berterusan McLaren dalam membangunkan kereta yang lebih pantas dan lebih berdaya saing, mereka boleh memberikan cabaran serius – bermula di Grand Prix Australia ini.

Lima wajah baru F1

Muka baru terbaru Mercedes, Andrea Kimi Antonelli, mempunyai tanggungjawab besar mengisi tempat yang ditinggalkan Lewis Hamilton.
Muka baru terbaru Mercedes, Andrea Kimi Antonelli, mempunyai tanggungjawab besar mengisi tempat yang ditinggalkan Lewis Hamilton. - Foto INSTAGRAM KIMI.ANTONELLI

1. Andrea Kimi Antonelli (Mercedes)

Pada usia 18 tahun, pemandu Italy ini menjadi pemandu ketiga termuda dalam sejarah F1.

Dinaikkan daripada pasukan junior Mercedes, beliau menggantikan Hamilton yang telah berpindah ke Ferrari.

Antara pencapaian terbaik Antonelli adalah penampilan pertama beliau dalam sesi amali di Grand Prix Italy 2024, yang menyaksikan beliau berjaya mencatatkan pusingan terpantas.

Jangkaan tinggi diletakkan ke atas Oliver Bearman yang diharap dapat membawa kejayaannya di Formula 2 ke Formula 1.
Jangkaan tinggi diletakkan ke atas Oliver Bearman yang diharap dapat membawa kejayaannya di Formula 2 ke Formula 1. - Foto INSTAGRAM OLLIEBEARMAN

2. Oliver Bearman (Haas)

Pemandu Britain berusia 19 tahun ini mempunyai kerjaya yang mengagumkan dalam kategori yang lebih rendah, terutama dalam Formula 2, yang menyaksikan beliau mempamerkan kelajuan dan prestasi yang tekal.

Pada 2024, beliau mendapat pengalaman berharga dengan menyertai beberapa sesi ujian bersama pasukan Ferrari, yang mempersiapkannya untuk melompat ke F1.

Beliau juga mempunyai pengalaman berlumba sekali untuk Ferrari di Arab Saudi, dan dua kali untuk Haas di Brazil dan Azerbaijan.

Isack Hadjar mempamerkan bakat beliau semasa berada di bawah pasukan Red Bull Junior dan ramai yang meletakkan jangkaan tinggi untuk beliau di F1.
Isack Hadjar mempamerkan bakat beliau semasa berada di bawah pasukan Red Bull Junior dan ramai yang meletakkan jangkaan tinggi untuk beliau di F1. - Foto INSTAGRAM ISACKHADJAR

3. Isack Hadjar (Racing Bulls)

Isack Hadjar, 20 tahun, membuat kemunculan pertama bersama Racing Bulls, pasukan pembangunan di bawah Red Bull.

Sebagai bekas anggota pasukan Red Bull Junior, kebangkitan cemerlang Hadjar termasuk penampilan dalam sesi amali dan persembahan hebat dalam ujian selepas musim di Abu Dhabi apabila beliau mengatasi rakan sepasukannya, Yuki Tsunoda.

Sebagai pemenang kejuaraan Formula 2, ramai yang menjangkakan Gabriel Bortoleto dapat beraksi dengan baik dalam Formula 1.
Sebagai pemenang kejuaraan Formula 2, ramai yang menjangkakan Gabriel Bortoleto dapat beraksi dengan baik dalam Formula 1. - Foto INSTAGRAM GABRIELBORTOLETO

4.Gabriel Bortoleto (Sauber)

Pemandu Brazil berusia 20 tahun ini, yang baru sahaja memenangi kejuaraan Formula 2 dengan dominan, bersedia untuk membuat penampilan sulung yang sangat dinanti-nantikan dalam F1 bersama Sauber.

Bersemangat waja, Bortoleto berpotensi mencapai kejayaan walaupun beliau melangkah ke dalam pasukan yang menghadapi beberapa cabaran termasuk kereta yang kurang menyerlah.

Jack Doohan ialah anak juara dunia motosikal Grand Prix lima kali, Mick Doohan. Terdapat jangkaan bagi beliau untuk mengulangi kejayaan bapanya dalam dunia perlumbaan.
Jack Doohan ialah anak juara dunia motosikal Grand Prix lima kali, Mick Doohan. Terdapat jangkaan bagi beliau untuk mengulangi kejayaan bapanya dalam dunia perlumbaan. - Foto INSTAGRAM JACKDOOHAN

5. Jack Doohan (Alpine)

Anak juara dunia GP motosikal sebanyak lima kali ini mempamerkan prestasi mengagumkan dalam Formula 2 dan berkhidmat sebagai pemandu simpanan untuk Alpine pada 2024, memandu di perlumbaan terakhir Alpine di Abu Dhabi.

Pemandu berusia 22 tahun ini dikenali dengan kemahiran berlumba dan keupayaan menyesuaikan diri, dan beliau tentunya mahu membuktikan kemampuannya dalam F1 dan membantu Alpine merapatkan jurang dengan pasukan-pasukan handalan lain.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg