Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Formula Satu: Pemandu hadapi hukuman baru jika guna kata kesat

Jan 24, 2025 | 3:41 PM
Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) turut mendedahkan skala hukuman, dengan denda bermula dari 10,000 euro ($14,000) hingga 15,000 euro untuk kesalahan pertama, 20,000 euro hingga 30,000 euro untuk kesalahan berulang, dan 30,000 euro hingga 45,000 euro bagi kesalahan seterusnya.
Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) turut mendedahkan skala hukuman, dengan denda bermula dari 10,000 euro ($14,000) hingga 15,000 euro untuk kesalahan pertama, 20,000 euro hingga 30,000 euro untuk kesalahan berulang, dan 30,000 euro hingga 45,000 euro bagi kesalahan seterusnya. - Foto AFP

PARIS: Pemandu Formula Satu (F1) berdepan kemungkinan didenda atau kehilangan mata selepas Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) memperkenalkan garis panduan baru untuk menghukum kesalahan menggunakan kata kesat atau pelanggaran sukan yang lain.

Peraturan yang diperketatkan pada 2024 sebelum ini mendapat kritikan daripada beberapa pemandu F1, termasuk juara dunia empat kali Max Verstappen. 

Namun, FIA, badan induk sukan itu, memutuskan mengambil tindakan lebih lanjut.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 23 Januari, FIA mentakrifkan salah laku sebagai “penggunaan bahasa (bertulis atau lisan), isyarat dan/atau tanda bersifat menyinggung, menghina, kasar, biadab atau kesat, yang secara munasabah boleh dianggap atau dilihat sebagai kasar, menyinggung, atau menyebabkan penghinaan, rasa malu, atau dianggap tidak sesuai”.

Peraturan itu juga merangkumi tindakan “menyerang (seperti menyiku, menendang, menumbuk, memukul dan sebagainya)”, serta “menghasut untuk melakukan sembarang perkara yang disebut di atas”.

FIA turut mendedahkan skala hukuman, dengan denda bermula daripada 10,000 euro ($14,000) hingga 15,000 euro bagi kesalahan pertama, 20,000 euro hingga 30,000 euro untuk kesalahan berulang, dan 30,000 euro hingga 45,000 euro bagi kesalahan seterusnya.

Jumlah denda yang dikenakan akan digandakan empat kali ganda untuk pemandu F1, tiga kali ganda untuk mereka yang bertanding Kejuaraan Rali Dunia (WRC) atau Kejuaraan Daya Ketahanan Dunia (WEC), dan dua kali ganda bagi peserta kejuaraan peringkat serantau.

Musim lalu, Verstappen diarahkan melakukan khidmat masyarakat akibat mengeluarkan kata kesat dalam satu sidang media, manakala Charles Leclerc daripada Ferrari didenda 10,000 euro kerana kesalahan serupa.

Hukuman tersebut tidak diterima baik oleh pemandu, yang turut mengkritik kenyataan tertentu yang dibuat Presiden FIA, Mohammed Ben Sulayem.

“Apabila melibatkan penggunaan kata kesat, ada perbezaan antara kata-kata yang bertujuan menghina orang lain dan kata-kata yang digunakan secara santai, misalnya ketika membicarakan cuaca buruk, benda tidak bernyawa seperti kereta Formula 1, atau situasi pemanduan,” tulis para pemandu dalam satu surat terbuka pada awal November.

“Kami mendesak Presiden FIA supaya mempertimbangkan nada dan bahasanya sendiri ketika berbicara dengan atau mengenai anggota pemandu kami, sama ada di forum awam atau secara peribadi.”

“Anggota kami orang dewasa. Mereka tidak perlu diberikan arahan melalui media mengenai perkara remeh seperti pemakaian barang kemas atau pakaian dalam,” tambah mereka. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg