BANGKOK: Thailand mengumumkan beberapa langkah keselamatan dan perdagangan untuk melumpuhkan sindiket jenayah rentas negara di Kemboja.
Tindakan tegas itu dibuat ketika Perdana Menteri Thailand, Cik Paetongtarn Shinawatra, berusaha mengatasi pertikaian sempadan yang meruncing dengan negara jirannya itu.
Bangkok akan menyekat lintasan sempadan ke Kemboja merentasi tujuh wilayah, dan menghentikan eksport barangan termasuk bahan api kepada pihak yang bersubahat dengan kegiatan jenayah rentas negara.
Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pegawai dan agensi keselamatan.
Bangkok akan menyelaraskan usaha dengan pemerintah asing dan pertubuhan antarabangsa untuk memusnahkan hab jenayah yang dianggarkan menjana lebih 600 bilion baht ($23.53 bilion) setahun, katanya.
Tindakan tegas itu diambil menyusuli krisis politik yang dicetuskan oleh komen Cik Paetongtarn dalam satu panggilan telefon yang bocor dengan bekas pemimpin Kemboja, Encik Hun Sen.
Komennya itu telah menyebabkan sebuah parti utama menarik diri daripada gabungan kerajaan, sekali gus mengurangkan majoritinya di Parlimen.
Sejak itu, Cik Paetongtarn, berikrar akan lebih tegas dengan Kemboja dalam konflik sempadan.
Perselisihan sempadan telah meningkat dengan kedua-dua negara saling mengekang perdagangan dan pergerakan rakyat, sejak satu kejadian tembak-menembak tentera kedua-dua negara itu pada Mei.
Kemboja telah menggantung import bahan api dan gas dari Thailand mulai 23 Jun, selepas tentera Thailand menutup salah satu lintasan sempadan.
Langkah yang menyasarkan pusat-pusat penipuan di Kemboja itu serupa dengan tindakan yang diambil Thailand pada awal 2025, apabila negara itu memutuskan bekalan elektrik, akses internet dan bahan api ke beberapa kawasan di Myanmar yang disyaki menempatkan operasi penipuan siber.
Thailand dan Kemboja juga telah bersama-sama membongkar pusat penipuan yang menempatkan ratusan pekerja asing yang diperdagangkan di bandar kasino Poipet.
Di seluruh Asia Tenggara, operasi penipuan siber bernilai bilion dolar sedang berkembang, terutama di Laos, Kemboja dan Myanmar.
Kegiatan itu sering dikendalikan warga China yang melarikan diri dari negara asal mereka pada 2020 berikutan tindakan keras dalam negara.
Beribu-ribu pekerja telah diselamatkan dari pusat penipuan di Myanmar pada 2025 dalam satu tindakan tegas berbilang negara, termasuk China.
“Rangkaian jenayah di Myanmar telah ditempatkan semula di Kemboja, jadi kami memerlukan langkah lebih ketat untuk mengelakkan rakyat Thailand ditipu pada masa depan,” kata Cik Paetongtarn.
Sebagai sebahagian daripada tindakan tegas itu, Thailand akan turut melarang pelancong asing daripada menyeberang ke Kemboja dan mengekang perjalanan udara ke Siem Reap untuk tujuan perjudian, kata Cik Paetongtarn.
Agensi penguatkuasaan undang-undang Thailand akan meningkatkan pemeriksaan ke atas akaun keldai wang dan transaksi kewangan kumpulan pusat panggilan, serta menggantung semua perkhidmatan Internet dan jalur Internet bawah laut yang digunakan agensi ketenteraan dan keselamatan Kemboja. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg