Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19

Ramai warga M’sia tertipu dek pakej ‘terlalu bagus’ sindiket tawaran kerja luar negara

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Malaysia
41333
0

MALAYSIA

Ramai warga M’sia tertipu dek pakej ‘terlalu bagus’ sindiket tawaran kerja luar negara

Nov 26, 2023 | 10:00 AM



KUALA LUMPUR: Setiap kali membaca laporan berita mengenai usaha Wisma Putra dan mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membawa pulang mangsa sindiket penipuan pekerjaan di beberapa negara jiran, pasti timbul persoalan, mengapa begitu mudah mereka ditipu.


Sedangkan sudah banyak pendedahan dibuat Kementerian Luar termasuk melalui laman sosial mereka memaparkan sesi temu bual bersama bekas mangsa bagi memberi kesedaran kepada orang ramai berhubung bahaya ancaman sindiket pemerdagangan manusia untuk bekerja di negara ketiga.

Mendengar sendiri luahan keluarga mangsa yang kecewa akibat anak atau keluarga mereka didera sehingga ditikam dan diberikan makanan tidak halal, pastinya pendedahan ini amat meruntun hati.

Malah lebih kejam, ada dalam kalangan mereka iaitu wanita diperkosa dan dijual kepada sindiket lain dengan harga lebih tinggi jika didapati gagal memenuhi pencapaian atau jangkaan tauke seperti ditetapkan.

Sebelum ini, Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Yangon, Myanmar, Encik Johan Razak, mengingatkan berulang kali kepada rakyat supaya meneliti terlebih dahulu mana-mana tawaran pekerjaan disifatkan memiliki pakej terlalu ‘bagus’.

Antara tawaran ‘terlalu bagus’ yang boleh mewujudkan kesangsian ialah pekerja tidak perlu mengeluarkan walau satu sen pun untuk bekerja di luar negara atas alasan ejen akan menanggung segala urusan dokumentasi seperti pasport, penginapan dan pengangkutan.

Apabila pihak sindiket sudah ‘memegang’ mangsa selepas diperdaya di media sosial, mereka tidak akan melepaskan mereka sebaliknya akan melakukan segala yang mungkin bagi memastikan mangsa akhirnya terjebak.

Namun mana-mana pihak tidak boleh terlalu prejudis terhadap mangsa sindiket penipuan pekerjaan antarabangsa ini kerana wujudnya kes lebih kompleks apabila mereka diyakinkan rakan sendiri untuk merebut peluang pekerjaan yang ditawarkan.

Cari ganti mangsa lain jika mahu pulang

Ia menjadi taktik lebih licik dilakukan sindiket apabila menjanjikan mangsa yang ingin bebas supaya mencari ganti mangsa lain untuk pulang ke negara asal atau untuk mendapatkan ‘komisen’ lumayan.

Apabila tawaran itu datangnya daripada rakan sendiri, sudah tentu mangsa yakin peluang pekerjaan itu benar atas faktor ‘kepercayaan’.

Individu yang bertindak sebagai rakan ini akan menghubungi mangsa di Malaysia dan menceritakan mengenai kemewahan dinikmati sepanjang bekerja di luar negara untuk mempengaruhi mereka.

Ini antara faktor menyebabkan mengapa ramai rakyat Malaysia berterusan menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan, malah lebih menghairankan ada juga mangsa bersilih ganti datang dari kawasan kampung sama.

Dalam hal ini, Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim, turut mengakui situasi itu, yang mana ada dalam kalangan mangsa terdesak melepaskan diri, perlu ‘menjerat’ rakan sendiri sebagai ganti untuk pulang ke tanah air.

Berdasarkan maklumat diterimanya, ada rakan sendiri memerangkap mangsa dengan memberitahu wujud peluang pekerjaan di Bangkok, Thailand, sebelum mangsa dibawa menaiki kereta dan diacu pistol dibawa masuk ke Myanmar.

Bahkan ada juga modus operandi yang mana mangsa sedia ada di sana tidak tahan didera sindiket dan terpaksa menjerat rakan lain semata-mata untuk melepaskan diri.

Kebiasaannya mangsa diberikan syarat untuk membawa sehingga tiga rakan jika ingin dilepaskan atau sistem barter. Sehingga kini, Kementerian Luar merekodkan 704 mangsa penipuan sindiket pekerjaan di luar negara, dikesan mendaftar yang mana 518 daripadanya berjaya dibawa pulang sehingga November ini.

Usaha kerajaan membawa pulang rakyat Malaysia yang terjerat akibat sindiket penipuan pekerjaan dari negara jiran perlu dipuji kerana ia bukan usaha mudah kerana memerlukan kerjasama antara dua negara.

Bahkan, Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alimin, mendedahkan kerajaan sedang mengesan puluhan lagi rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket pekerjaan ini sedang berada di negara jiran khususnya di Myanmar untuk dibawa pulang dalam masa terdekat ini.

Sehingga kini, Malaysia dilaporkan tidak mempunyai masalah untuk membawa pulang mangsa penipuan pekerjaan dari Kemboja dan Filipina kerana wujudnya kerjasama antara pihak berkuasa dua negara.

Namun, keadaan sedikit sukar apabila membabitkan Myanmar kerana negara itu kini ditadbir tentera junta, selain askar tempatan menjaga kawasan tertentu khususnya di sempadan.

Berkas sindiket tempatan

Apa yang menimbulkan persoalan mengapa pihak berkuasa tidak mampu mengambil tindakan terhadap sindiket atau ejen dari pihak tempatan mengikut Akta Antipemerdagangan Manusia Dan Antipenyeludupan Migran 2007.

Dari segi logik, pastinya, sindiket ini didalangi orang tempatan yang lebih tahu untuk memerangkap mangsa. Dalam hal ini, maklumat mengenai ejen dan anggota sindiket sebenarnya boleh diketahui menerusi mangsa yang diselamatkan.

Kerajaan harus sedar, komitmen untuk membawa pulang rakyat kita sebenarnya menanggung kos tinggi. Maklumat diperoleh daripada mangsa sepatutnya boleh dijadikan petunjuk untuk mengesan ejen serta sindiket ini, sekali gus membuka jalan untuk proses siasatan, tangkapan dan pendakwaan.

Bermakna, usaha dan kesungguhan untuk bertindak memerlukan tindakan bersepadu agensi kerajaan berkaitan dan pihak berkuasa bagi menamatkan kelicikan sindiket memanipulasi rakyat kita daripada menjadi mangsa penipuan pekerjaan.

Sedutan rencana ini disiarkan di Berita Harian Malaysia.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >