BANGKOK: Kerajaan Thailand sedang merombak secara besar-besaran undang-undang kawalan senjata api negara itu, termasuk memperketat pembelian, pemilikan dan penjualan senjata serta pengurusan peluru, susulan dua kejadian tembakan maut di Nonthaburi baru-baru ini.

Draf pindaan undang-undang itu dijangka dikemukakan kepada Kabinet sekitar pertengahan September selepas proses rundingan awam selanjutnya, lapor Bangkok Post, pada 20 Ogos.

Timbalan Perdana Menteri Thailand yang bertanggungjawab dalam hal ehwal undang-undang, Encik Pakorn Nilprapunt, berkata sistem sedia ada perlu dimodenkan sepenuhnya dengan pemeriksaan lebih ketat, pengawasan lebih kukuh serta kelemahan dalam peraturan semasa diperbaiki.

Langkah itu turut memberi tumpuan kepada usaha membendung pemilikan senjata api haram dan tanpa lesen.

Menurut Encik Pakorn, Kementerian Dalam Negeri telah mengadakan perbincangan awal sebelum menyelaraskan langkah seterusnya dengan Majlis Negara.

“Isunya bukan hanya senjata api malah juga peluru, yang perlu dikawal selaras dengan peraturan baharu,” katanya.

Menurutnya, sistem semasa masih banyak bergantung kepada rekod secara manual, menyebabkan pihak berkuasa menghadapi kesukaran menjejaki lesen senjata api.

Justeru, teknologi akan digunakan bagi mempercepat proses berkaitan lesen dan membolehkan pemilikan serta pergerakan senjata dipantau dengan lebih berkesan.

Buat masa ini, kelulusan baharu berkaitan senjata api turut digantung.

Perdana Menteri Thailand, Encik Anutin Charnvirakul, yang juga Menteri Dalam Negeri, telah mengarahkan beberapa proses pelesenan, termasuk permit P.3 bagi pembelian senjata dan P.4 bagi pemilikan serta penggunaan senjata, digantung sehingga Kabinet membuat keputusan selanjutnya.

Kerajaan turut memberi isyarat bahawa lesen P.12, yang membenarkan seseorang membawa senjata api, tidak akan dibuka semula buat masa ini.

Kedai senjata pula dijangka dikenakan tanggungjawab lebih besar bagi memastikan senjata hanya dijual kepada individu yang layak.

Encik Pakorn turut mencadangkan penilaian kesihatan mental dimasukkan sebagai sebahagian daripada proses kawalan senjata, selain memperketat pengawasan terhadap pegawai yang bertanggungjawab menguruskan pelesenan.

Kerajaan juga sedang mempertimbangkan satu langkah yang membolehkan pemilik senjata api tanpa lesen menyerahkannya kepada pihak berkuasa dalam tempoh tertentu tanpa dikenakan tindakan jenayah.

Saranan itu boleh meliputi senjata tidak berdaftar, senjata yang tidak boleh dipindah milik secara sah dan senjata yang diwarisi tetapi tidak dapat didaftarkan oleh penerimanya.

Bagaimanapun, syarat pelaksanaan perlu ditetapkan dengan jelas bagi memastikan langkah itu tidak menjadi pengampunan secara tidak langsung kepada pemilik senjata haram.

Usaha memperketat undang-undang itu dipercepat selepas dua kejadian tembakan maut di wilayah Nonthaburi pada Ogos.

Pada 7 Ogos, seorang pelajar berusia 14 tahun dari Sekolah Debsirin Nonthaburi, dilaporkan menembak datuk dan neneknya sebelum melepaskan tembakan di sekolahnya.

Enam guru dan kakitangan sekolah terbunuh dalam serangan tersebut.

Remaja berkenaan kemudian ditemukan mati di sekolah dengan kesan tembakan di kepala.

Pelajar itu dilaporkan menggunakan senjata api milik datuknya, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai tahap keselamatan penyimpanan senjata di rumah dan akses kanak-kanak kepada senjata api.

Tiga hari kemudian, pada 10 Ogos, bekas anggota Parlimen Thailand, Encik Chalong Riewraeng, dituduh menembak mati Presiden Pertubuhan Pentadbiran Wilayah Nonthaburi (PAO), Kolonel Polis Thongchai Yenprasert, di pejabat PAO.

Pemandu mangsa turut cedera dalam kejadian tersebut.

Susulan dua insiden itu, Encik Anutin mengarahkan kajian segera terhadap peraturan senjata api serta penggantungan permit pembelian baharu.

Langkah terkini itu bukan sekadar bertujuan memperketat penguatkuasaan, tetapi merombak keseluruhan sistem kawalan senjata Thailand, daripada pembelian dan pemilikan kepada penjualan, membawa senjata, urus niaga dalam talian dan pengurusan senjata haram.

Kerajaan berharap sistem baharu itu dapat membolehkan pihak berkuasa mengetahui dengan lebih tepat siapa yang memiliki senjata, lokasi senjata disimpan dan sama ada pemegang lesen masih memenuhi syarat untuk memiliki senjata api. – Agensi berita.