BANGKOK: Thailand sedang mengkaji semula dasar kemasukan bebas visa selama 60 hari dan berkemungkinan menamatkan pelaksanaan secara menyeluruh bagi semua negara, sebagai langkah memperketat saringan kemasukan serta mengekang penyalahgunaan.

Menteri Pelancongan dan Sukan Thailand, Surasak Phancharoenworakul berkata semakan itu dibuat hasil perbincangan bersama Kementerian Luar, agensi keselamatan dan kementeriannya.

“Tujuan utama semakan ini adalah untuk menjadikan sistem visa sebagai alat saringan awal, mengurangkan masalah pelawat tidak diingini dan memberi tumpuan kepada pelancong yang membawa nilai jangka panjang kepada ekonomi dan masyarakat,” katanya.

Menurut Encik Surasak, kerajaan bercadang beralih daripada tempoh bebas visa 60 hari kepada pendekatan yang lebih sesuai mengikut negara. Langkah itu juga akan disokong dengan saluran visa lain bagi pelancong yang ingin tinggal lebih lama.

“Haluan semasa adalah kembali kepada rangka kerja yang lebih tersasar mengikut negara, bukan lagi pendekatan menyeluruh,” jelasnya.

Semakan ini turut didorong oleh data yang menunjukkan sekitar 90 peratus pelancong hanya berada di Thailand kurang daripada 30 hari. Keadaan itu menunjukkan tempoh 60 hari mungkin tidak lagi mencerminkan corak perjalanan sebenar pelancong.

“Tempoh yang lebih pendek mungkin lebih sesuai dengan tingkah laku pelawat,” katanya.

Bagi pelancong yang memerlukan tempoh tinggal lebih lama, kerajaan menggalakkan penggunaan kategori visa lain seperti visa Destinasi Thailand yang membenarkan tempoh tinggal sehingga 180 hari.

Perkara itu, menurut Encik Surasak, membolehkan kawalan lebih baik tanpa menjejaskan sektor pelancongan.

Beliau berkata Kementerian Luar telah memulakan perbincangan awal dan cadangan itu akan dibawa ke Kabinet kerana dasar sedia ada diluluskan melalui keputusan Kabinet sebelum ini.

Matlamat utama, katanya, adalah memastikan pertumbuhan pelancongan yang mampan dengan menekankan aspek keselamatan, keyakinan dan pembangunan mesra alam.

“Kita mahu pelancongan memberi manfaat sebenar kepada komuniti tempatan dan ekonomi negara,” katanya.

Mengulas kebimbangan mengenai pelawat asing yang memegang visa jangka panjang, Encik Surasak menegaskan setiap kategori visa tertakluk kepada pemeriksaan ketat.

“Saringan dilakukan termasuk semakan pelaburan dan dokumen sokongan. Sebarang salah laku atau pengelakan cukai akan disiasat dan diambil tindakan tegas,” katanya.

Selain pembaharuan visa, kerajaan turut merancang langkah segera untuk merangsang pelancongan domestik.

Ini termasuk sokongan baharu yang menyerupai inisiatif sebelum ini serta kemungkinan pelepasan cukai bagi mengurangkan kos perjalanan dalam negara.

Kerajaan juga mahu memberi perhatian kepada pengukuhan tenaga kerja dalam sektor pelancongan melalui program peningkatan kemahiran dan latihan semula. Langkah ini dilihat penting untuk memastikan industri kekal berdaya saing dalam jangka panjang. – Agensi berita.