BANGKOK: Bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra mencadangkan agar negara itu mewujudkan skim visa emas bagi menarik warga asing kaya menjadi penduduk jangka panjang, selain menggesa pengendali lapangan terbang, Airports of Thailand (AOT), menaikkan caj perkhidmatan penumpang untuk merangsang ekonomi yang perlahan.
Skim visa emas itu berpotensi menjana jumlah yang setara dengan ekonomi Thailand bernilai AS$500 bilion (S$642 bilion), kata Encik Thaksin dalam ucapannya di persidangan Unlocking Thailand’s Future di Bangkok pada 17 Julai.
Beliau mencadangkan agar Thailand menarik 600,000 individu yang sanggup mendepositkan AS$1 juta setiap seorang untuk mendapatkan visa tersebut. Sebagai balasan, mereka akan diberi hak untuk membeli hartanah di Thailand, sekali gus membantu sektor hartanah, dan hasilnya boleh digunakan untuk membiayai pendidikan rakyat Thai.
“Ia akan merangsang pertumbuhan KDNK (keluaran dalam negara kasar), mengurangkan hutang awam, dan meningkatkan penggunaan domestik,” kata Encik Thaksin. “Ini adalah wang baru dan segar, dan sangat berbaloi untuk diusahakan.”
Encik Thaksin masih mempunyai pengaruh besar dalam kalangan pembuat dasar melalui parti pemerintah Pheu Thai, yang kini diketuai oleh anak perempuannya, Cik Paetongtarn Shinawatra, walaupun beliau tidak memegang sebarang jawatan rasmi dalam kerajaan.
Ucapannya kepada para usahawan tentang bagaimana merancakkan semula pertumbuhan dibuat selepas Mahkamah Perlembagaan menggantung tugas Cik Paetongtarn sebagai perdana menteri sementara mahkamah menyiasat dakwaan pelanggaran etika berkaitan cara beliau mengendalikan pertikaian sempadan.
Encik Thaksin sendiri berdepan isu perundangan, termasuk kes fitnah diraja berusia sedekad yang dijangka diputuskan pada Ogos ini. Namun beliau tetap yakin akan dibebaskan daripada pertuduhan tersebut, katanya semasa seminar itu.
Ekonomi Thailand yang bergantung kepada eksport dan pelancongan telah berkembang kurang daripada dua peratus secara purata dalam sedekad lalu, jauh ketinggalan berbanding ekonomi utama Asia Tenggara lain.
KDNK dijangka berkembang antara 1.3 peratus hingga 2.3 peratus pada tahun 2025, dihambat oleh hutang isi rumah yang tinggi dan kejatuhan kemasukan pelancong. Ekonomi Thailand juga berisiko dikenakan tarif sebanyak 36 peratus oleh Amerika Syarikat, pasaran eksport terbesarnya.
Encik Thaksin turut mencadangkan agar AOT menaikkan caj perkhidmatan penumpang sebanyak 300 baht (S$12) seorang untuk menjana keuntungan tambahan sebanyak 40 bilion baht setahun. Ini mewakili peningkatan sekitar 40 peratus daripada kadar semasa. “AOT sepatutnya menjadi pemacu ekonomi dengan menjadi hab penerbangan, pusat kargo dan penyelenggaraan pesawat, yang mampu merancakkan ekonomi lebih jauh,” katanya.
Beliau menambah bahawa hasil tambahan itu boleh digunakan untuk menaik taraf enam lapangan terbang kendalian AOT dan membantu Thailand menjadi hab penerbangan Asia Tenggara, selain mengembangkan perniagaan berkaitan seperti kargo dan penyelenggaraan penerbangan.
Saham AOT meningkat sebanyak 11 peratus pada dagangan 17 Julai, ditutup pada paras tertinggi sejak Mac, selepas akhbar tempatan Kaohoon melaporkan bahawa AOT merancang untuk menaikkan caj perkhidmatan penumpang serta yuran pendaratan dan parkir, dan mula mengenakan caj transit serta pemindahan.
Terdapat gesaan supaya industri pelancongan negara dihidupkan semula. Awal minggu ini, Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand menurunkan unjuran kedatangan pelancong asing pada 2025 kepada 35 juta daripada 40 juta, selepas jumlah pelawat dari China tidak mencapai sasaran.
Hanya 2.3 juta pelancong China datang ke Thailand dalam separuh pertama tahun 2025 berbanding 3.4 juta pada tempoh sama tahun lalu, menurut data Kementerian Pelancongan dan Sukan.
Berita mengenai penculikan seorang pelakon China ke Myanmar melalui Thailand telah menimbulkan kebimbangan keselamatan, kata Thaksin, yang mencadangkan bahawa beliau sendiri sanggup memberi insurans kepada mana-mana pelancong China yang datang ke Thailand untuk meyakinkan mereka. - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg