Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Thailand, Kemboja adakan sesi khas dua hari tangani ketegangan sempadan

Oct 21, 2025 | 1:43 PM
Penunjuk perasaan Thailand memegang plakad dengan sepanduk anti-Kemboja dan mengecam penggunaan periuk api anti-personel semasa perhimpunan membantah pencerobohan wilayah Thailand oleh Kemboja, di Kedutaan Kemboja di Bangkok, Thailand, pada 16 Oktober 2025. Majlis Keselamatan Negara Thailand meluluskan operasi ketenteraan bagi menuntut semula kawasan sempadan yang diceroboh, di tengah-tengah pertikaian sempadan antara kedua-dua negara. Thailand menuduh penduduk kampung Kemboja menceroboh kedaulatannya dan mendakwa tentera Kemboja telah menanam periuk api anti-personel di sebahagian kawasan sempadan bersama.
Penunjuk perasaan Thailand memegang plakad dengan sepanduk anti-Kemboja dan mengecam penggunaan periuk api anti-personel semasa perhimpunan membantah pencerobohan wilayah Thailand oleh Kemboja, di Kedutaan Kemboja di Bangkok, Thailand, pada 16 Oktober 2025. Majlis Keselamatan Negara Thailand meluluskan operasi ketenteraan bagi menuntut semula kawasan sempadan yang diceroboh, di tengah-tengah pertikaian sempadan antara kedua-dua negara. Thailand menuduh penduduk kampung Kemboja menceroboh kedaulatannya dan mendakwa tentera Kemboja telah menanam periuk api anti-personel di sebahagian kawasan sempadan bersama. - Foto EPA

BANGKOK: Thailand dan Kemboja memulakan sesi khas dua hari bagi Suruhanjaya Sempadan Bersama (JBC) di Wilayah Chanthaburi, timur Thailand, bermula 21 Oktober.

Sesi ini bertujuan menangani ketegangan yang berlarutan di sempadan kedua-dua negara dan memperkukuh kerjasama dalam penandaan sempadan, keselamatan, serta pemulihan kepercayaan selepas beberapa insiden ketenteraan sejak Julai lalu.

Jurucakap kerajaan Thailand, Encik Siripong Angkasakulkiat, berkata pertemuan itu akan meneruskan agenda perbincangan yang diselaraskan dengan Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) dan Jawatankuasa Sempadan Wilayah (RBC), dalam usaha memulihkan keamanan dan kestabilan di sepanjang sempadan bersama.

“Objektif utama kami ialah menyelesaikan isu sempadan Thailand-Kemboja melalui mekanisme dua hala yang telah dipersetujui,” kata Encik Siripong pada sidang media di Bangkok pada 20 Oktober.

“Mesyuarat ini akan meneliti aspek keselamatan termasuk pembinaan pagar sempadan, mempercepatkan semakan Terma Rujukan (TOR) 2003 serta penggunaan teknologi LiDAR untuk pemetaan kawasan.”

Beliau menambah, isu pencerobohan di Ban Nong Chan dan Ban Nong Ya Kaeo di Wilayah Sa Kaeo turut akan dibincangkan, sambil menegaskan bahawa Mesyuarat JBC tidak akan menjejas kedaulatan Thailand, sebaliknya memberi tumpuan kepada penyelesaian secara aman dan mengikut undang-undang antarabangsa.

“Pelaksanaan di setiap peringkat, RBC, GBC dan JBC bukan dilakukan secara berasingan. Ia adalah sebahagian daripada strategi kerajaan yang diselaraskan dengan Kementerian Luar dan agensi keselamatan untuk memastikan manfaat maksimum kepada negara dan rakyat,” jelas Encik Siripong.

Dalam perkembangan berkaitan, jurucakap Kementerian Pertahanan Thailand, Laksamana Muda Surasak Kongsiri, mengumumkan bahawa Mesyuarat GBC seterusnya akan diadakan di Kuala Lumpur pada 23 Oktober, dengan penyertaan Malaysia dan Amerika Syarikat sebagai pemerhati.

Pertemuan itu dijangka membincangkan pelaksanaan Deklarasi Kuala Lumpur, sebuah pelan damai yang sedang dirangka bagi mengukuhkan gencatan senjata yang dimeterai pada 28 Julai di Putrajaya dengan pengantaraan Malaysia sebagai Pengerusi Asean.

Sumber diplomatik di Kemboja memaklumkan bahawa Bangkok telah bersetuju untuk membebaskan 18 anggota tentera Kemboja yang masih ditahan sejak pertempuran meletus pada akhir Julai.

“Kami telah mencapai persefahaman bahawa semua 18 anggota kami akan dibebaskan sebaik perjanjian damai ditandatangani,” kata Menteri Luar Kemboja, Encik Prak Sokhonn, sekembalinya dari rundingan di Malaysia. “Matlamat kami ialah memulihkan keyakinan antara kedua-dua negara dan memastikan kerjasama dalam penghapusan periuk api serta mengekang kegiatan penipuan dalam talian di kawasan sempadan.”

Walaupun kedua-dua negara telah bersetuju untuk menarik balik pasukan tentera secara berperingkat, jurucakap tentera Thailand, Mejar Jeneral Withai Laithomya, menegaskan bahawa pembebasan tahanan hanya akan dilakukan selepas Phnom Penh memenuhi empat syarat yang telah digariskan termasuk penarikan semula tentera dari pos sempadan, pembersihan periuk api, penghapusan operasi penipuan siber, dan penempatan semula rakyat Kemboja yang didakwa menceroboh kawasan Thailand.

“Kemboja perlu menunjukkan keikhlasan dan menghentikan semua tindakan provokatif sebelum langkah-langkah seterusnya boleh diambil,” katanya dalam satu kenyataan.

Menteri Luar Thailand, Encik Sihasak Phuangketkeow, pula berkata bahawa pembebasan tentera akan menjadi sebahagian daripada pelaksanaan Deklarasi Kuala Lumpur selepas semua langkah keselamatan dipenuhi.

“Kita mahu pelan tindakan yang jelas dan boleh disahkan. Keputusan ini bukan sekadar perjanjian atas kertas, tetapi mesti dilaksanakan dengan keyakinan dan kejujuran,” katanya.

Walaupun rundingan kali ini dilihat sebagai satu kemajuan, para penganalisis menjangka Deklarasi Kuala Lumpur hanya akan menjadi langkah pertama ke arah perdamaian jangka panjang antara Bangkok dan Phnom Penh. Isu sempadan sepanjang 817 kilometer yang berpunca daripada perjanjian tahun 1907 antara Siam dan Indochina Perancis masih memerlukan penyelesaian menyeluruh melalui penandaan sempadan bebas dan kompromi diplomatik. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg