Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump utus surat kepada PM Thai desak penyelesaian konflik sempadan dengan Kemboja

Oct 9, 2025 | 4:35 PM
Foto edaran ini yang diambil dan dikeluarkan oleh Tentera Diraja Thailand pada 17 September 2025 menunjukkan anggota Polis Rondaan Sempadan Thailand (BPP) dan polis berhadapan dengan sekumpulan penduduk Kemboja di kawasan pertikaian sepanjang sempadan Kemboja–Thailand di wilayah Sa Kaeo.
Pihak tentera Thailand memaklumkan bahawa pasukan keselamatannya melepaskan peluru getah dan gas pemedih mata ketika berdepan tunjuk perasaan oleh penduduk Kemboja di kawasan berkenaan pada 17 September, satu tindakan yang menurut Phnom Penh telah mencederakan lebih 20 orang.
Menurut kenyataan pihak tentera Thailand, insiden berlaku ketika anggota tenteranya sedang memasang kawat duri di sepanjang sempadan di Sa Kaeo apabila kira-kira 200 penduduk Kemboja berkumpul untuk membantah tindakan tersebut.
Foto edaran ini yang diambil dan dikeluarkan oleh Tentera Diraja Thailand pada 17 September 2025 menunjukkan anggota Polis Rondaan Sempadan Thailand (BPP) dan polis berhadapan dengan sekumpulan penduduk Kemboja di kawasan pertikaian sepanjang sempadan Kemboja–Thailand di wilayah Sa Kaeo. Pihak tentera Thailand memaklumkan bahawa pasukan keselamatannya melepaskan peluru getah dan gas pemedih mata ketika berdepan tunjuk perasaan oleh penduduk Kemboja di kawasan berkenaan pada 17 September, satu tindakan yang menurut Phnom Penh telah mencederakan lebih 20 orang. Menurut kenyataan pihak tentera Thailand, insiden berlaku ketika anggota tenteranya sedang memasang kawat duri di sepanjang sempadan di Sa Kaeo apabila kira-kira 200 penduduk Kemboja berkumpul untuk membantah tindakan tersebut. - Foto AFP

BANGKOK: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, telah menghantar sepucuk surat kepada Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, menyatakan hasrat beliau untuk melihat Thailand dan Kemboja menyelesaikan ketegangan di sempadan kedua-dua negara yang semakin meruncing, menurut Encik Anutin pada Khamis, 9 Oktober.

Surat itu diterima ketika Encik Anutin menegaskan bahawa Thailand tetap berpegang kepada empat syarat utama sebelum sebarang rundingan damai boleh diteruskan, walaupun Encik Trump menyatakan kesediaannya menjadi pengantara dalam konflik itu.

“Presiden Trump telah menghantar surat kepada saya, menyuarakan keinginannya agar Thailand dan Kemboja mencari jalan penyelesaian melalui rundingan. Saya akan membalas surat itu dengan menjelaskan pendirian Thailand,” kata Encik Anutin kepada wartawan di Bangkok.

Beliau menambah: “Jika Kemboja bersetuju dengan empat syarat yang telah ditetapkan, Thailand bersedia untuk meneruskan proses perundingan. Kami tidak menolak rundingan, tetapi semuanya mesti berpandukan kepada prinsip yang telah dipersetujui.”

Menurut Encik Anutin, syarat pertama ialah pengunduran semua anggota tentera dan senjata berat Kemboja dari kawasan pertikaian. Kedua, penyingkiran periuk api darat yang mengancam keselamatan penduduk tempatan.

Ketiga, tindakan tegas terhadap sindiket penipuan dalam talian yang beroperasi di kawasan sempadan. Dan keempat, pemindahan penduduk Kemboja yang tinggal di kawasan yang dianggap sebahagian daripada wilayah Thailand.

“Thailand tidak akan bertolak ansur dengan pencerobohan. Kami adalah pihak yang menjadi mangsa, bukan pelaku,” tegas Encik Anutin. “Kami mahu keselamatan rakyat dan kedaulatan negara dihormati.”

Kemboja sebelum ini menyatakan bahawa penduduknya telah mendiami kampung di kawasan pertikaian itu sejak berdekad lamanya. Namun Thailand berpendapat penempatan tersebut melanggar sempadan asal dan menjejaskan keselamatan negara.

Pertikaian sempadan antara kedua-dua negara kembali tercetus pada Julai lalu, mengakibatkan pertempuran paling berdarah dalam beberapa dekad. Lebih 40 orang terbunuh dan sekitar 300,000 penduduk terpaksa melarikan diri.

Pertempuran itu akhirnya dihentikan selepas gencatan senjata selama lima hari yang sebahagiannya diusahakan oleh Encik Trump. Namun kedua-dua pihak terus saling menuduh melanggar perjanjian tersebut.

Perdana Menteri Kemboja, Encik Hun Manet, kemudiannya mencalonkan Encik Trump untuk Anugerah Keamanan Nobel, memuji beliau kerana “diplomasi inovatif” yang berjaya menamatkan pertempuran.

Namun Encik Anutin menolak pandangan bahawa pencalonan itu memberi kelebihan kepada Kemboja dalam rundingan akan datang. “Saya hanya mementingkan kepentingan Thailand, keselamatan rakyat dan kedaulatan negara. Jika ada yang menang anugerah, itu urusan mereka, tetapi ia tidak akan mempengaruhi tindakan kami,” katanya.

Laporan portal Politico menyebut bahawa Trump sedia hadir ke Sidang Kemuncak Asean di Kuala Lumpur pada 26 hingga 28 Oktober ini dengan syarat beliau dapat menyaksikan majlis menandatangani perjanjian damai antara Thailand dan Kemboja di luar sidang rasmi.

Namun Encik Anutin menegaskan sebarang perjanjian hanya akan berlaku jika Kemboja memenuhi empat syarat Thailand. “Jika mereka benar-benar mahu keamanan, ini bukan hal yang sukar. Hanya perlu panggilan telefon dan satu arahan rasmi untuk melaksanakan empat perkara ini,” katanya.

Ditanya mengenai laporan bahawa Thailand memberi tarikh akhir 10 Oktober untuk penduduk Kemboja keluar dari kawasan Ban Nong Jan, Encik Anutin menjelaskan bahawa tiada tarikh muktamad ditetapkan. “Yang penting ialah tindakan. Jika Kemboja tidak bertindak, kami ada mekanisme sendiri untuk menguatkuasakan undang-undang,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa Gabenor Sa Kaeo diberi tanggungjawab menguruskan situasi itu bersama pihak tentera, polis, dan pentadbiran tempatan. “Undang-undang tentera boleh digunakan jika perlu,” katanya.

Mengulas mengenai cadangan untuk membatalkan Memorandum Persefahaman (MoU) 43 dan 44 yang ditandatangani antara kedua-dua negara pada masa lalu, Encik Anutin berkata satu jawatankuasa khas sedang meneliti dokumen itu.

“Parlimen sedang mengkaji setiap butiran dengan teliti. Kami mahu memastikan segala tindakan berpandukan undang-undang dan mengambil kira suara rakyat,” katanya.

Namun beliau mengingatkan rakyat agar tidak meletakkan harapan terlalu tinggi dalam tempoh singkat. “Kerajaan ini baru empat bulan memerintah. Fokus kami ialah menyelesaikan krisis semasa sebaik mungkin,” katanya. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg