KUALA LUMPUR: Pegawai tertinggi pertahanan Kemboja dan Thailand memulakan mesyuarat di Malaysia pada 7 Ogos bagi memuktamadkan pengakhiran kekal kepada permusuhan susulan konflik ganas selama lima hari di sempadan yang berakhir dengan gencatan senjata tanpa syarat pada akhir Julai.
Kedua-dua negara jiran Asia Tenggara itu mengalami pertempuran paling buruk dalam lebih sedekad pada bulan Julai, termasuk tembakan meriam dan serangan pengeboman oleh jet pejuang yang meragut sekurang-kurangnya 43 nyawa serta menyebabkan lebih 300,000 orang kehilangan tempat tinggal di kedua-dua belah sempadan.
Pertempuran berlarutan meskipun terdapat campur tangan diplomatik daripada China dan Malaysia, selaku pengerusi blok serantau Asean, yang menggesa kedua-dua pihak menahan diri. Pemimpin Kemboja dan Thailand hanya bersetuju untuk ke meja rundingan apabila Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, memberitahu bahawa rundingan tarif tidak akan diteruskan melainkan wujud keamanan, menurut laporan eksklusif Reuters.
Menteri Pertahanan Kemboja, Tea Seiha dan Pemangku Menteri Pertahanan Thailand, Nattaphon Narkphanit dijadualkan bertemu di ibu pejabat Angkatan Tentera Malaysia di Kuala Lumpur.
Kedua-dua negara akan membentuk garis panduan untuk menyelesaikan pertikaian sempadan, memulihkan kepercayaan antara angkatan tentera mereka dan bersetuju dengan gencatan senjata yang disertakan langkah-langkah untuk mengurangkan ketegangan serta melindungi orang awam, kata Encik Nattaphon dalam satu kenyataan sebelum rundingan berlangsung.
Syarat-syarat tersebut dirangka dalam rundingan selama tiga hari antara pegawai kanan di Kuala Lumpur dan akan dimuktamadkan pada hari keempat dengan kehadiran pemerhati dari China dan Amerika Syarikat.
Thailand dan Kemboja telah bertelagah selama beberapa dekad berhubung bahagian sempadan darat sepanjang 817 kilometer yang belum ditandakan secara rasmi, yang pertama kali dipetakan oleh Perancis pada tahun 1907 ketika negara itu merupakan penjajah kawasan berkenaan. - REUTERS
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg