Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Thailand lancar serbuan susulan budak jadi mangsa produk ganja

Jul 8, 2025 | 2:51 PM
ganja, thailand
Aktivis daripada kumpulan, Writing Thailand’s Cannabis Future, menghadiri tunjuk perasaan di Kementerian Kesihatan Awam bagi mendesak pendekatan yang bertanggungjawab dan dikawal selia dengan baik terhadap penggunaan ganja, di samping mendesak kelulusan segera satu akta khas. Tunjuk perasaan itu diadakan ketika Thailand sedang mempertimbang mengklasifikasikan semula ganja sebagai dadah terlarang, di wilayah Nonthaburi, Thailand, pada 7 Julai. - Foto REUTERS

BANGKOK: Kementerian Kesihatan Awam Thailand telah melancarkan operasi tergempar di seluruh negara bagi membanteras penjualan makanan, minuman dan snek yang mengandungi ganja.

Ia susulan kejadian seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun dimasukkan ke hospital selepas memakan gula-gula getah snek ‘gummy’ yang dicampur ganja.

Insiden itu mendorong pihak berkuasa mempergiat usaha membersihkan pasaran daripada produk yang tidak dikawal selia dan memperketat penguatkuasaan terhadap penjual tanpa lesen.

Menteri Kesihatan Awam, Encik Somsak Thepsutin, melahirkan kebimbangan mendalam terhadap kejadian yang menimpa kanak-kanak tersebut.

Beliau menegaskan bahawa akses mudah terhadap ganja dalam kalangan kanak-kanak dan kesannya terhadap kesihatan telah lama menjadi kebimbangan pihak berkuasa.

Sebaik sahaja dimaklumkan mengenai kejadian itu, Encik Somsak segera mengarahkan Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) serta Pejabat Kesihatan Awam Wilayah (PPHO) di seluruh negara agar menjalankan serbuan secara berterusan sehingga semua produk sedemikian dapat dihapuskan sepenuhnya.

“Mulai hari ini, semua pihak mesti bekerjasama dan membantu memberikan maklumat untuk menghapuskan produk seperti ini.

“Apa yang saya sentiasa bimbangkan ialah akses terhadap ganja yang tidak disedari oleh kanak-kanak dan golongan muda,” tambah beliau.

Beliau turut memetik data daripada Jabatan Psikiatri, Fakulti Perubatan, Universiti Chulalongkorn yang menjalankan tinjauan mengenai kesan dan penyelesaian penyalahgunaan dadah dalam kalangan pakar.

“Berdasarkan data yang dikumpulkan khususnya pada 2022, tabiat merokok ganja dalam kalangan remaja Thailand berumur antara 18 dengan 19 tahun meningkat 10 kali ganda, daripada 1 hingga 2 peratus pada 2020 kepada 9.7 peratus.

“Oleh itu, kita mesti teruskan usaha memastikan ganja benar-benar digunakan untuk tujuan perubatan sahaja, bagi mengurangkan kesannya ke atas kanak-kanak, remaja dan masyarakat,” jelas Encik Somsak.

Menurut kementerian, pegawai penguat kuasa mempunyai kuasa menyeluruh untuk bertindak terhadap semua bentuk produk mengandungi ganja termasuk makanan, manisan, minuman atau sebarang produk lain terutama jika ia mengandungi ekstrak ganja melebihi had yang dibenarkan undang-undang.

Pihak berkuasa boleh menyita produk terbabit serta-merta, mengenakan denda dan menyerahkan kes kepada polis untuk tindakan undang-undang lanjut.

Hukuman terhadap produk makanan berasaskan ganja yang tidak dibenarkan atau tidak mematuhi peraturan pelabelan adalah berat.

Denda boleh mencecah sehingga 30,000 baht ($1,181), dengan hukuman penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

Sekiranya siasatan mendapati produk berkenaan dihasilkan atau diimport tanpa kebenaran, atau mengandungi tahap tetrahydrocannabinol (THC) yang berbahaya, produk itu akan diklasifikasikan sebagai “makanan tercemar”.

Ia boleh membawa hukuman penjara sehingga dua tahun, denda maksimum 20,000 baht, atau kedua-duanya sekali. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg