BANGKOK – Kerajaan Thailand melantik bekas Ratu Cantik Miss Thailand 2000, Panadda “Boom” Wongphudee, sebagai jurucakap sukarela bagi menangani penyebaran maklumat palsu yang didakwa berpunca dari pihak Kemboja, ketika kedua-dua negara masih berada dalam tempoh gencatan senjata susulan pertempuran di sempadan.
Pengumuman itu dibuat oleh Timbalan Menteri Pertahanan Thailand, Jeneral Natthaphon Narkphanit, yang juga memangku jawatan Menteri Pertahanan, dalam satu sidang media di Rumah Kerajaan pada Jumaat, 8 Ogos.
“Pelantikan ini adalah untuk memberi tindak balas kepada Leftenan Jeneral Maly Socheata,” katanya merujuk kepada jurucakap Kementerian Pertahanan Nasional Kemboja. “Sekurang-kurangnya saya yakin kita ada satu kelebihan berbanding Kemboja, beliau (Panadda) lebih cantik,” tambahnya sambil berseloroh.
Cik Panadda, 49 tahun, yang terkenal sebagai pelakon, aktivis sosial dan pempengaruh berkata beliau bersedia untuk menjadi suara Thailand di peringkat antarabangsa, memastikan maklumat tepat tentang situasi sempadan disampaikan, serta menangkis sebarang maklumat palsu yang disebarkan.
“Saya sudah lama terlibat dalam kerja sukarela dan mempunyai pengalaman di kawasan terjejas. Saya akan memastikan setiap kenyataan saya berdasarkan fakta, bukan berita palsu,” katanya. Beliau turut menegaskan bahawa maklumat yang dikongsikannya adalah rasmi dan berpunca daripada pengalaman langsung di lapangan.
Jeneral Natthaphon menjelaskan, pihak berkuasa keselamatan akan membekalkan data dan maklumat sokongan kepada Cik Panadda untuk membolehkannya menjawab dakwaan Kemboja di media sosial dan platform antarabangsa. Beliau turut meluahkan rasa kecewa terhadap dakwaan penyebaran maklumat palsu oleh pihak Kemboja yang bertujuan merosakkan imej Thailand di mata dunia.
Menurut laporan The Bangkok Post, Leftenan Jeneral Maly Socheata dianggap sebagai individu utama yang dipertanggungjawabkan oleh pemerintah Kemboja untuk mendapatkan sokongan antarabangsa, terutama ketika pertempuran lima hari yang bermula pada 24 Julai lalu.
Pertempuran itu meragut nyawa 14 orang awam dan 15 anggota tentera di pihak Thailand, selain mencederakan 53 orang awam dan 230 anggota tentera.
Kedua-dua negara mencapai persetujuan gencatan senjata pada 28 Julai, namun suasana tegang masih dirasai. Pelantikan Cik Panadda dibuat sehari selepas mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Umum di Kuala Lumpur, di mana kedua-dua negara mengulangi komitmen untuk memulihkan keamanan di sempadan.
Cik Panadda berkata keputusan menerima tawaran itu dibuat selepas melihat ketabahan rakyat dan pengorbanan anggota tentera Thailand di sempadan. “Angkatan tentera bersetuju dalam mesyuarat bahawa saya adalah jurucakap paling sesuai untuk berdepan jurucakap dari Kemboja. Jadi, saya terima tawaran itu,” jelasnya.
Walaupun pertempuran bersenjata telah berakhir, kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan kedua-dua pihak menunjukkan bahawa ‘perang kata-kata’ masih berterusan. Seperti kata Jeneral Natthaphon, “Kita bukan sahaja perlu mempertahankan sempadan negara, tetapi juga mempertahankan kebenaran di mata dunia.” - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg