BANGKOK: Kerajaan Thailand meluluskan pakej bantuan bernilai lebih 2 bilion baht (S$795 juta) bagi membantu pengendali pengangkutan awam yang terjejas akibat kenaikan harga bahan api susulan konflik di Asia Barat.

Jurucakap kerajaan, Encik Ratchada Thanadirek, berkata kabinet telah meluluskan langkah tersebut bagi mengurangkan tekanan kos dalam sektor pengangkutan, melibatkan bas awam, trak kargo dan kenderaan sewa.

“Langkah ini membantu menstabilkan kos pengangkutan sambil memastikan perkhidmatan terus berjalan, supaya bantuan yang diberikan lebih tepat, telus dan berkesan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, pakej bantuan berjumlah kira-kira 2.06 bilion baht itu bertujuan mengekalkan kadar tambang dan mengawal kos sara hidup rakyat, khususnya ketika permintaan meningkat semasa perayaan Songkran.

Perdana Menteri Thailand, Encik Anutin Charnvirakul, turut mengarahkan supaya pelaksanaan bantuan dilakukan secara berhati-hati. “Pelaksanaan mesti telus dan boleh disahkan bagi memastikan bantuan sampai kepada pihak yang benar-benar layak,” katanya.

Dalam pada itu, Jabatan Pengangkutan Darat membuka pendaftaran kepada pengendali yang layak dari 16 hingga 19 April melalui platform dalam talian atau di pejabat pengangkutan seluruh negara.

Encik Ratchada berkata pembayaran akan dibuat melalui sistem PromptPay selepas proses pengesahan selesai.

Langkah ini dilihat sebagai usaha segera kerajaan Thailand untuk mengurangkan kesan kenaikan harga minyak terhadap sektor pengangkutan, sekali gus memastikan perkhidmatan kepada orang ramai tidak terjejas. - Agensi berita

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.
Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti