BANGKOK: Kerajaan Thailand akan memperhebat tindakan penguatkuasaan terhadap gula-gula jeli dan manisan lain yang mengandungi ekstrak ganja melebihi had yang dibenarkan, kata seorang jurucakap kerajaan pada 14 Julai.
Timbalan jurucakap kerajaan, Sasikarn Watthanachan, berkata pihak berkuasa bimbang makanan, minuman dan manisan yang mengandungi tetrahydrocannabinol (THC) dan cannabidiol (CBD) melebihi paras yang dibenarkan boleh memberi kesan kepada kanak-kanak dan golongan muda.
Bagi menangani isu ini, kerajaan telah mengarahkan Kementerian Kesihatan Awam untuk bekerjasama dengan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) serta pejabat kesihatan awam di setiap wilayah. Tugas utama mereka ialah meningkatkan pemeriksaan terhadap produk yang mengandungi ekstrak ganja.
Kementerian Kesihatan Awam juga telah meminta bantuan daripada Biro Pencegahan Narkotik dan Pejabat Kawalan Narkotik untuk menjalankan pemeriksaan ke atas kedai ganja di seluruh negara bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang.
Cik Sasikarn berkata pemilik kedai yang mencampurkan ganja ke dalam makanan tanpa kebenaran, atau menjual makanan dan manisan tanpa pelabelan yang sewajarnya untuk memberi amaran mengenai kandungan THC, boleh dikenakan tindakan undang-undang. Pesalah berisiko didenda maksimum 30,000 baht (S$1,186), hukuman penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.
Mereka yang didapati menjual produk dengan kandungan THC melebihi had yang dibenarkan boleh dikenakan denda sehingga 20,000 baht, hukuman penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya. - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg