Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kastam M’sia gagalkan cubaan seludup ganja RM20.57j ke Eropah

Dadah disembunyi dalam bungkusan produk makanan ringan, makanan haiwan peliharaan
Apr 14, 2025 | 2:19 PM
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Dr Ahmad Taufik Sulaiman (tengah), menunjukkan bunga ganja yang dirampas pada sidang media mengenai kejayaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah menumpaskan penyeludupan dadah bernilai RM20.57 juta di Kompleks Kastam Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Dr Ahmad Taufik Sulaiman (tengah), menunjukkan bunga ganja yang dirampas pada sidang media mengenai kejayaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah menumpaskan penyeludupan dadah bernilai RM20.57 juta di Kompleks Kastam Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). - Foto BERNAMA

SEPANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menggagalkan cubaan menyeludup dadah disyaki jenis ganja dengan anggaran berat 210 kilogram (kg) bernilai RM20.57 juta ($6.1 juta) di Zon Perdagangan Bebas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 15 Mac.

Pemangku Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Dr Ahmad Taufik Sulaiman, berkata dadah itu dirampas selepas pihaknya membuat pemeriksaan ke atas satu dagangan di sebuah pengendali terminal kargo udara yang beroperasi di kawasan berkenaan.

“Modus operandi sindiket adalah dengan menyembunyikan dadah dalam bungkusan produk makanan ringan serta makanan haiwan peliharaan bagi mengelirukan pihak berkuasa.

“Dadah itu dipercayai cuba diseludup dari sebuah negara Asia Tenggara dan transit di Malaysia sebelum dihantar ke destinasi terakhir di Eropah,” katanya dalam sidang media di sini pada 14 April, lapor Berita Harian Malaysia.

Dr Ahmad Taufik berkata tiada penahanan dibuat susulan rampasan itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Pegawai kastam menjalankan pemeriksaan di terminal kargo di Zon Perdagangan Bebas KLIA dan menemui kargo itu.

“Kargo itu diisytiharkan sebagai pakaian kitar semula untuk melalui pemeriksaan,” katanya.

Pucuk ganja bernilai RM98,000 sekilogram, berbanding RM33,000 sekilogram untuk daun ganja.

“Pucuk ganja lebih bernilai kerana ia boleh ditanam semula untuk menghasilkan lebih banyak daun ganja.

“Kami akan bekerjasama dengan polis untuk menyiasat lebih lanjut dan mendedahkan mereka yang bertanggungjawab ke atas kargo dalam transit.

“Kami pernah menemui modus operandi ini sebelum ini,” tambah Dr Ahmad Taufik, lapor The Star.

Dr Ahmad menambah: “Kami menggesa orang ramai membantu kami membanteras penyeludupan dadah, rokok dan minuman beralkohol. Penyeludupan bukan sahaja menyebabkan kerugian negara, tetapi juga membahayakan orang ramai.”

Sebelum ini, dua lelaki warga tempatan ditahan bersama 18.97 kg dadah disyaki methamphentamine dalam dua tangkapan berasingan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 pada 7 dan 8 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah KLIA, Penolong Pesuruhjaya Azman Shari’at, berkata dadah yang dianggarkan bernilai RM607,200 itu dipercayai untuk dipasarkan ke Sarawak.

“Modus operandi yang digunakan oleh suspek adalah dengan menyembunyikan bungkusan dadah dalam kotak makanan dan mencampurkannya dengan bungkusan makanan ringan lain bagi mengaburi pihak keselamatan.

“Mereka seterusnya menggunakan perkhidmatan self check-in yang mungkin dianggap sukar untuk dikesan pihak berkuasa,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg