Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Thailand rampas lebih 2 juta alat sedut herba bernilai 120j baht dari kilang haram

Oct 31, 2025 | 2:16 PM
Pihak Berkuasa Makanan dan Ubat-ubatan Thailand (FDA) telah merampas lebih dua juta unit alat sedut  (inhaler ) herba jenama Hong Thai bernilai kira-kira 120 juta baht daripada empat kilang pengeluaran haram.
Pihak Berkuasa Makanan dan Ubat-ubatan Thailand (FDA) telah merampas lebih dua juta unit alat sedut  (inhaler ) herba jenama Hong Thai bernilai kira-kira 120 juta baht daripada empat kilang pengeluaran haram. - Foto Facebook/FDA Thai

BANGKOK: Pihak Berkuasa Makanan dan Ubat-ubatan Thailand (FDA) bersama Bahagian Polis Perlindungan Pengguna (CPPD) dan Pejabat Kesihatan Awam Wilayah Samut Sakhon telah merampas lebih dua juta unit alat sedut (inhaler) herba bernilai lebih 120 juta baht (S$4.8 juta) daripada empat tapak pengeluaran haram di sekitar Bangkok dan wilayah berhampiran.

Serbuan besar-besaran itu dilakukan selepas makmal kerajaan mengesan pencemaran mikroorganisma berbahaya dalam produk Hong Thai Herbal Inhaler, lapor akhbar The Nation.

Siasatan mendapati syarikat berkenaan mempunyai lesen sah untuk mengeluarkan produk di kilang berdaftar di Bang Phai, Daerah Bang Khae, Bangkok, namun menjalankan pengeluaran rahsia di beberapa lokasi tidak diluluskan oleh FDA.

Pada 30 Oktober, pasukan penguat kuasa menyerbu empat lokasi berkenaan yang berfungsi sebagai pusat pengeluaran dan stor simpanan, dan menemui lebih 2.35 juta unit daripada sembilan jenis produk herba. Semua barangan tersebut dianggarkan bernilai lebih 120 juta baht.

Jurucakap polis berkata, “Pengilang ini menyalahgunakan lesen sah mereka untuk mengelak kawalan ketat. Mereka menghasilkan produk di lokasi rahsia tanpa pengawasan kesihatan awam, yang jelas menyalahi undang-undang.”

Setiausaha Agung FDA Thailand, Cik Supatra Boonserm, menggesa semua pengusaha produk herba supaya mematuhi undang-undang bagi melindungi keselamatan pengguna.
“Mengeluarkan atau menjual ubat herba tiruan adalah satu kesalahan serius. Pelakunya boleh dipenjara sehingga 10 tahun, didenda maksimum satu juta baht, atau kedua-duanya sekali,” tegas beliau.

Cik Supatra turut memaklumkan bahawa pihaknya akan segera menarik balik semua produk Hong Thai yang disyaki tercemar dari pasaran. Sampel telah dihantar ke Jabatan Sains Perubatan untuk analisis lanjut, dan keputusan rasmi akan diumumkan tidak lama lagi.

Beliau menambah bahawa hasil pemeriksaan menunjukkan alat sedut Hong Thai yang ditemui di empat lokasi haram itu dihasilkan dalam pelbagai formulasi dan kelompok pengeluaran, tanpa kawalan mutu yang sah.

“Produk yang dibuat di tempat tidak dibenarkan tidak boleh dijamin keselamatannya. Ia mungkin mengandungi bahan kimia berbahaya yang boleh menjejaskan kesihatan pengguna,” katanya.

Cik Supatra turut mengingatkan pengguna agar berhati-hati ketika membeli produk herba, terutama yang tidak mempunyai label rasmi atau tanda kelulusan FDA. “Pengguna perlu memeriksa nombor pendaftaran dan tanda keselamatan. Jika ragu-ragu, jangan beli,” katanya.

FDA kini sedang melaksanakan siasatan menyeluruh terhadap rangkaian pengedaran produk haram tersebut dan akan bekerjasama dengan pihak polis untuk mendakwa individu yang terlibat.

Pihak berkuasa juga menyeru orang ramai agar membantu dengan melaporkan produk yang mencurigakan. “Jika anda menemui produk herba tanpa lesen atau mencurigakan, laporkan segera kepada talian hotline FDA 1556 atau Pejabat Kesihatan Awam wilayah berhampiran,” tambah Cik Supatra.

Dalam kenyataannya kepada The Nation, beliau menegaskan bahawa operasi ini membuktikan komitmen FDA dalam memerangi pengeluaran produk kesihatan palsu yang semakin berleluasa di pasaran.

“Kami akan memastikan setiap produk kesihatan di pasaran selamat, bersih, dan mematuhi piawaian undang-undang. Kes ini menjadi amaran keras kepada mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan terhadap kepercayaan pengguna,” ujar beliau.

Rampasan besar ini dilihat sebagai kejayaan penting bagi pihak berkuasa Thailand dalam usaha membanteras pengeluaran produk kesihatan tidak berlesen dan memastikan keselamatan pengguna di seluruh negara terjamin. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg