Topic followed successfully
Go to BHkuThailand rombak harga tenaga untuk bantu rakyat
Thailand rombak harga tenaga untuk bantu rakyat
Thailand rombak harga tenaga untuk bantu rakyat
BANGKOK: Kerajaan Thailand akan merombak struktur harga bahan api dan elektrik bagi menurunkan kos kepada pengguna, meskipun bekalan dijangka kekal mahal dan kadangkala terhad susulan krisis tenaga global.
Perdana Menteri Thailand, Encik Anutin Charnvirakul, berkata langkah itu merupakan antara keutamaan kerajaan baharunya, selepas mesyuarat pertama Kabinet pada 6 April.
“Kerajaan akan menyesuaikan struktur harga bahan api dan elektrik untuk menurunkan kos, selain melaksanakan langkah lain bagi membantu rakyat,” katanya.
Namun, beliau akui bekalan tenaga mungkin masih mahal dan tidak mencukupi dalam tempoh terdekat.
“Bahan api dan produk berkaitan mungkin kekal mahal dan terhad.
“Kerajaan akan berusaha sedaya upaya untuk mengurangkan kesan kepada rakyat,” katanya.
Selain penyusunan harga, kerajaan turut merancang beberapa langkah bantuan termasuk skim bayaran bersama, diskaun barangan keperluan serta pinjaman mudah kepada petani, syarikat kecil dan sederhana (SME), serta sektor industri.
Kerajaan juga akan mengurangkan perbelanjaan tertentu bagi menyalurkan lebih banyak dana untuk membantu rakyat.
“Kita sedang berdepan krisis global dan perlu bekerjasama untuk mengatasinya,” kata Encik Anutin, merujuk kepada konflik berterusan di Asia Barat sebagai punca utama tekanan ekonomi.
Menurut beliau, perang tersebut telah merosakkan kemudahan pengeluaran petroleum dan kimia di rantau itu, sekali gus menjejaskan bekalan bahan api dan gas global.
“Kekurangan bekalan dari Asia Barat menyukarkan usaha mendapatkan sumber alternatif,” katanya.
Thailand, yang mengimport kira-kira separuh minyaknya dari rantau itu, kini berdepan kenaikan harga tenaga, baja dan bahan mentah seperti plastik.
Encik Anutin, yang mengetuai parti Bhumjaithai selepas kemenangan pilihan raya Februari lalu, berkata kerajaan akan memberi keutamaan kepada usaha menangani kos sara hidup yang meningkat.
Antara langkah yang dirancang termasuk bantuan tunai, pinjaman kadar faedah rendah dan peningkatan perbelanjaan awam bagi merangsang ekonomi.
Beliau dijadual membentangkan dasar kerajaan di Parlimen pada 9 April, sebagai langkah penting sebelum pentadbiran baharu mengambil alih sepenuhnya.
Krisis tenaga global turut memberi kesan kepada prospek ekonomi Thailand, dengan beberapa ahli ekonomi menurunkan unjuran pertumbuhan negara yang bergantung kepada eksport dan pelancongan.
Dalam masa sama, kerajaan merancang strategi jangka panjang untuk mengurangkan kesan konflik, termasuk menarik pelaburan asing dan mengukuhkan peranan Thailand sebagai hab keselamatan makanan global.
“Kita perlu menerima realiti dan menyesuaikan diri untuk mengharungi krisis ini,” kata Encik Anutin.
Kerajaan turut memberi jaminan bahawa semua dasar akan dilaksanakan secara berdisiplin dari segi kewangan, termasuk mempercepatkan penyediaan Belanjawan 2027 dan mengurangkan perbelanjaan yang tidak perlu.
Langkah mengekalkan menteri ekonomi utama dalam Kabinet juga dilihat sebagai usaha memastikan kesinambungan dasar dan meredakan kebimbangan pelabur selepas tempoh ketidaktentuan politik di negara itu. – Agensi berita.

