Topik diikuti
Pergi ke BHkuThailand timbang pertingkat keselamatan sekolah susulan kes tembakan beramai-ramai
BANGKOK: Kementerian Pendidikan Thailand akan meneliti langkah keselamatan di sekolah selepas kejadian tembakan beramai-ramai pada 7 Ogos yang menyebabkan lapan orang, termasuk pelaku, maut dan 23 yang lain cedera, kata Perdana Menteri Anutin Charnvirakul.
Bagaimanapun, tiada rancangan konkrit pada masa ini, katanya, sambil menambah bahawa langkah memasang pengesan logam di sekolah adalah “tidak normal”.
“Tetapi Menteri Pendidikan telah memberitahu saya bahawa beliau perlu melakukan sesuatu untuk memberi jaminan kepada ibu bapa semua pelajar bahawa kami akan mengambil langkah perlindungan yang lebih baik berkenaan kanak-kanak yang membawa senjata api ke sekolah,” katanya kepada pemberita selepas lawatan ke Sekolah Debsirin Nonthaburi, tempat kejadian tembakan itu.
Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun didakwa membunuh tujuh orang, termasuk dua guru dan tiga kakitangan sekolah lain, sebelum menembak dirinya sendiri.
Remaja itu didakwa menggunakan senjata berdaftar milik datuknya.
Polis berkata dia telah membunuh nenek dan datuknya di rumah mereka, tempat dia tinggal, sebelum pergi ke sekolah pada pagi itu.
Di salah sebuah hospital tempat mangsa menerima rawatan, Menteri Pendidikan Prasert Jantararuangtong, memberitahu pemberita bahawa langkah keselamatan di sekolah akan “diperkukuhkan dengan ketara”.
Maklumat awal menunjukkan senjata itu mungkin telah dibawa masuk ke sekolah di dalam beg, katanya, sambil menyatakan sekolah tidak pernah menjalankan pemeriksaan terhadap barang-barang pelajar secara menyeluruh.
“Oleh itu, kejadian itu akan mendorong semakan semula prosedur keselamatan, terutamanya langkah untuk mencegah senjata dan barang berbahaya daripada dibawa masuk ke premis sekolah,” kata Encik Prasert.
Sekolah juga akan mengawal akses yang lebih ketat terhadap individu yang tidak mendapat kebenaran, tambahnya.
Pengarah daerah pendidikan di seluruh negara dijadual bermesyuarat pada 8 Ogos untuk membincangkan langkah meningkatkan keselamatan di sekolah dan keperluan melindungi pelajar.
Remaja berkenaan dikatakan menjadi mangsa buli di sekolah, dan The Straits Times (ST) difahamkan bahawa dia telah dikunci di dalam tandas oleh beberapa pelajar lain sehari sebelum kejadian itu.
Tidak jelas sama ada remaja itu menyasarkan sesiapa apabila dia melepaskan tembakan.
Seorang pelajar berusia 16 tahun berkata pada mulanya dia menyangka seseorang sedang melepaskan tembakan untuk menakutkan burung tetapi menjadi curiga apabila tembakan berulang.
“Semua orang mula menjerit meminta kami mencari tempat untuk bersembunyi. Kami mencangkung dan cuba berada sejauh mungkin,” katanya kepada ST.
