Thailand, Vietnam galak kerja dari rumah susulan lonjakan harga minyak

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Thailand, Vietnam galak kerja dari rumah susulan lonjakan harga minyak

Mar 10, 2026 | 6:31 PM

Thailand, Vietnam galak kerja dari rumah susulan lonjakan harga minyak

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Thailand, Vietnam, work from home, West Asia, Middle East, conflict, oil price
Penunggang motosikal beratur untuk mengisi petrol di sebuah stesen minyak di Hanoi pada 10 Mac. Vietnam mengumumkan pada 9 Mac bahawa negara itu akan memansuhkan tarif import bahan api sebagai langkah menstabilkan bekalan selepas perang Amerika Syarikat dan Israel dengan Iran mengganggu rantaian bekalan minyak global serta mendorong harga ke paras tertinggi sejak 2022. Langkah tersebut diambil ketika harga petrol di Vietnam meningkat lebih 20 peratus sejak konflik bermula, manakala kerajaan berusaha memastikan bekalan tenaga domestik kekal stabil. - Foto AFP

BANGKOK: Thailand dan Vietnam menggesa kakitangan awam bekerja dari rumah serta mengambil langkah penjimatan tenaga selepas perang di Asia Barat mengganggu bekalan minyak global dan menyebabkan harga bahan api naik turun.

Langkah itu diambil ketika ketegangan di Timur Tengah menjejaskan pasaran tenaga dunia, sekali gus memberi tekanan kepada negara-negara yang bergantung kepada import minyak seperti Thailand dan Vietnam.

Kerajaan Thailand berkata pekerja sektor awam digalakkan bekerja dari rumah sekiranya tugasan mereka membenarkan, bagi mengurangkan penggunaan bahan api dan tenaga.

Dalam satu kenyataan pada 10 Mac, pihak berkuasa juga mengarahkan semua pejabat kerajaan menetapkan suhu penghawa dingin pada 26 darjah Celsius sebagai langkah menjimatkan tenaga.

“Pemerintah mahu semua sektor menggunakan sumber secara bijak dan berkesan,” menurut kenyataan tersebut.

Selain itu, kakitangan pemerintah turut digesa mengelakkan perjalanan ke luar negara kecuali bagi urusan penting.

Langkah tersebut diambil ketika Thailand berusaha mengekalkan kestabilan bekalan tenaga di tengah-tengah ketidaktentuan pasaran minyak global.

Minggu lalu, Bangkok memaklumkan bahawa negara itu masih mempunyai bekalan minyak yang mencukupi untuk tempoh kira-kira dua bulan.

Namun, pemerintah turut mengambil langkah tambahan dengan menggantung eksport minyak bagi memastikan stok domestik mencukupi.

Dalam masa sama, harga diesel turut dihadkan kepada kurang daripada 30 baht (S$1.21) seliter bagi tempoh 15 hari bagi mengurangkan tekanan kos terhadap rakyat.

Di negara jiran Vietnam, pemerintah turut mengambil langkah drastik untuk menstabilkan pasaran tenaga domestik.

Hanoi pada 9 Mac mengumumkan pemansuhan duti import ke atas beberapa produk petroleum sebagai usaha mengelakkan kekurangan bekalan bahan api.

Selain itu, pemerintah turut menggalakkan syarikat membenarkan pekerja mereka bekerja dari rumah apabila boleh.

Menurut kenyataan yang diterbitkan di laman web pemerintah Vietnam, langkah tersebut bertujuan mengurangkan permintaan bahan api yang meningkat akibat penggunaan kenderaan harian.

Pihak berkuasa juga menggesa orang ramai mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian.

Sebaliknya, mereka digalakkan menggunakan pengangkutan awam, berbasikal atau berkongsi kenderaan bagi menjimatkan bahan api.

Walaupun langkah-langkah tersebut dilaksanakan, ramai pengguna di Vietnam dilihat mula bimbang terhadap kemungkinan kekurangan bahan api.

Di beberapa bandar, termasuk Hanoi, ribuan penunggang motosikal beratur panjang di stesen minyak untuk mendapatkan petrol.

Harga petrol tanpa plumbum di negara itu dilaporkan meningkat lebih 20 peratus sejak perang antara Amerika Syarikat dan Israel dengan Iran bermula lebih seminggu lalu.

Seorang lelaki berusia 57 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Tuan berkata beliau terpaksa menunggu hampir sejam untuk mengisi minyak motosikalnya.

“Saya masih ada minyak yang cukup untuk digunakan hari ini, tetapi saya tetap perlu mengisi malam ini. Adakah saya perlu beratur lagi malam nanti?” katanya dengan nada kecewa ketika ditemui di sebuah stesen minyak di Hanoi.

Setakat ini, Vietnam masih belum mengalami kekurangan bahan api secara besar-besaran.

Namun media pemerintah melaporkan bahawa puluhan stesen minyak kecil di seluruh negara terpaksa menutup operasi sementara atau memendekkan waktu perniagaan.

Langkah tersebut diambil kerana bekalan petrol semakin berkurangan susulan peningkatan permintaan dan ketidaktentuan bekalan global.

Keadaan ini mencerminkan bagaimana konflik di Asia Barat kini memberi kesan langsung kepada ekonomi dan kehidupan harian negara-negara Asia Tenggara, khususnya dalam sektor tenaga. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg