BANKOK: Bekas Perdana Menteri Thailand, Encik Thaksin Shinawatra, menerima pengampunan diraja yang membolehkan beliau dibebaskan sepenuhnya daripada baki hukuman penjara lebih awal daripada jadual asal.

Menteri Kehakiman Thailand, Encik Rutthapon Naowarat, mengesahkan pada 3 Jun bahawa nama Encik Thaksin termasuk dalam senarai penerima pengampunan diraja sempena sambutan ulang tahun ke-48 Permaisuri Thailand, Permaisuri Suthida.

Pengampunan itu diumumkan menerusi Warta Diraja Thailand pada 2 Jun dan mula berkuat kuasa sehari selepas penerbitannya.

Bercakap kepada wartawan di Sanam Luang di Bangkok pada awal pagi 3 Jun, Encik Rutthapon berkata Encik Thaksin layak menerima pengampunan kerana baki hukuman beliau kurang daripada setahun, selaras dengan Seksyen 8 dekri pengampunan diraja tersebut.

“Mengikut undang-undang, beliau dibebaskan serta-merta kerana baki hukumannya kurang daripada satu tahun,” katanya.

Apabila ditanya sama ada gelang pemantauan elektronik atau EM yang dipakai Encik Thaksin boleh ditanggalkan segera, beliau menjawab: “Ia boleh ditanggalkan terus.”

Menurut beliau, beberapa prosedur pentadbiran masih perlu dilaksanakan oleh jawatankuasa berkaitan di setiap wilayah sebelum proses pembebasan selesai sepenuhnya.

Namun beliau menegaskan bahawa Encik Thaksin sememangnya termasuk dalam kumpulan yang menerima pengampunan diraja itu.

Dekri tersebut meliputi banduan yang sedang menjalani parol atau pengawasan percubaan dan mempunyai baki hukuman yang memenuhi syarat pelepasan penuh.

Sebelum ini, Encik Thaksin dijadualkan menamatkan hukuman pada 9 September 2026 selepas dibebaskan secara parol pada 11 Mei lalu.

Bagaimanapun, selepas dekri baharu itu berkuat kuasa, baki hukuman beliau yang tinggal lebih sedikit daripada tiga bulan membolehkannya dibebaskan sepenuhnya lebih awal.

Ini bermakna beliau tidak lagi perlu berada di bawah pengawasan pegawai parol atau memakai gelang pemantauan elektronik sehingga September.

Jabatan Penjara Thailand dan Jabatan Parol dijangka melaksanakan langkah rasmi termasuk mengemas kini status undang-undang EncikThaksin, menanggalkan gelang EM dan mengeluarkan dokumen pelepasan berkaitan.

Dalam konteks undang-undang, Encik Thaksin kini dianggap telah menamatkan hukuman sepenuhnya dan bukannya sekadar dibebaskan dengan syarat tertentu.

Perkembangan terbaru itu sekali lagi menarik perhatian rakyat Thailand terhadap perjalanan politik dan undang-undang tokoh berusia 76 tahun tersebut.

Encik Thaksin pulang ke Thailand pada 2023 selepas bertahun-tahun hidup dalam buangan sendiri di luar negara.

Sekembalinya ke tanah air, beliau dijatuhi hukuman penjara atas kes rasuah dan penyalahgunaan kuasa berkaitan pentadbirannya ketika menjadi perdana menteri.

Hukuman asal lapan tahun penjara kemudian dikurangkan kepada satu tahun menerusi pengampunan diraja.

Pada September 2025, Mahkamah Agung Thailand memutuskan bahawa tempoh rawatan beliau di hospital sebelum ini tidak boleh dianggap sebagai sebahagian daripada tempoh menjalani hukuman penjara.

Keputusan itu memaksanya menjalani hukuman penjara selama setahun secara rasmi sebelum akhirnya layak menerima parol.

Kementerian Kehakiman Thailand sebelum ini berkata faktor usia, tingkah laku baik dalam penjara serta risiko rendah untuk mengulangi kesalahan menjadi antara pertimbangan utama dalam meluluskan parol terhadap Thaksin.

Selepas dibebaskan pada Mei lalu, beliau kembali ke kediamannya di Chan Song La tetapi masih tertakluk kepada syarat pengawasan dan pemantauan elektronik.

Dekri pengampunan terbaru kini menamatkan semua syarat tersebut lebih awal daripada jadual.

Perkembangan itu dilihat penting dalam landskap politik Thailand memandangkan Encik Thaksin masih mempunyai pengaruh besar dalam politik negara itu walaupun tidak lagi memegang jawatan rasmi.

Beliau merupakan tokoh utama di belakang parti pemerintah Thailand dan bapa kepada bekas Perdana Menteri, Cik Paetongtarn Shinawatra.

Walaupun terus menjadi figura kontroversi, Encik Thaksin masih mempunyai sokongan kuat khususnya dalam kalangan penyokong luar bandar dan kumpulan politik pro-Shinawatra.

Setakat ini, pihak kerajaan Thailand belum memberikan maklumat lanjut mengenai tarikh rasmi semua proses pentadbiran berkaitan pembebasan penuh beliau akan diselesaikan. - Agensi berita