Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tiada tolak ansur bagi rasuah, khianat di Ukraine: Zelensky

Jul 26, 2023 | 3:12 PM
ENCIK Volodymyr Zelenskiy: Telah umumkan rancangan untuk mengaudit pejabat kerahan tentera untuk cuba menghapuskan rasuah.
ENCIK Volodymyr Zelenskiy: Telah umumkan rancangan untuk mengaudit pejabat kerahan tentera untuk cuba menghapuskan rasuah. - Foto REUTERS

KYIV: Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelensky, berkata pada Selasa bahawa beliau tidak akan bertolak ansur dengan rasuah atau pengkhianatan dalam hal ehwal negara, sedang negara itu bergelut mencari cara untuk mempertahankan diri daripada penceroboh Russia.

Encik Zelensky membuat rayuan antirasuah dalam ucapan video setiap malamnya, ketika dua kes penting terbongkar – penahanan seorang pegawai pengambilan tentera yang dituduh melakukan penyelewengan besar-besaran dan seorang ahli parlimen yang dituduh bekerjasama dengan Russia.

Pada Jun lalu, Presiden Ukraine itu mengumumkan rancangan untuk mengaudit pejabat kerahan tentera untuk cuba menghapuskan rasuah.

Langkah itu adalah sebahagian daripada dasar lama untuk membersihkan jabatan tentera dan pemerintah demi menunjukkan kepada penyokong Barat bahawa beliau serius dalam menangani rasuah yang berakar umbi – langkah yang merupakan elemen utama dalam proses panjang menjadi anggota Kesatuan Eropah (EU).

Rakyat Ukraine biasa yang menyokong usaha perang, marah dengan amalan rasuah, kata Encik Zelensky.

“Biar saya memberi amaran kepada semua Ahli Parlimen, pegawai dan semua yang bekerja sebagai penjawat awam,” katanya.

“Apabila anda menghabiskan masa berhari-hari mencari senjata untuk negara, apabila perhatian semua orang tertumpu pada sama ada terdapat artileri, peluru berpandu dan dron, anda berasakan kekuatan moral yang diberikan oleh askar kita kepada Ukraine.

“Tiada siapa yang akan memaafkan Ahli Parlimen, hakim, pegawai tentera atau mana-mana pegawai lain kerana meletakkan diri mereka sebagai pembangkang kepada negara ini.”

Tentera Russia menyerang Ukraine pada Februari 2022 dan sejak itu perang telah membunuh ribuan orang awam dan anggota tentera, menyebabkan berjuta-juta orang kehilangan tempat tinggal dan menghancurkan bandar-bandar Ukraine.

Encik Zelensky, ketika berucap kepada Ahli Parlimen, berkata beliau tidak akan lagi bertolak ansur dengan mereka yang “mencari keuntungan peribadi” dan enggan menyokong undang-undang yang diperlukan untuk Ukraine memulakan kempen panjangnya untuk mendapatkan keahlian EU.

“Saya tidak mahu lagi melihat sebarang penolakan seperti itu,” katanya. “Tiada siapa yang mahu melihatnya. Ukraine tidak mempunyai masa lagi untuk itu.”

Sebelum ini, pihak berkuasa undang-undang berkata ketua pusat pengambilan tentera di selatan Ukraine yang dituduh melakukan rasuah dan penyelewengan telah diperintahkan ditahan dalam tahanan praperbicaraan, dengan jaminan ditetapkan bersamaan hanya lebih AS$4 juta ($5.32 juta).

Agensi Kebangsaan Pencegahan Rasuah Ukraine berkata Encik Yevhen Borysov, ketua pejabat pengambilan tentera di Odesa, dituduh memperoleh dana tanpa penjelasan bersamaan dengan lebih sedikit daripada AS$5 juta.

Media Ukraine telah melaporkan dalam beberapa bulan kebelakangan ini tentang bagaimana keluarganya memperoleh harta di Sepanyol.

Siasatan awal menunjukkan bahawa Encik Borysov telah memperoleh jumlah wang yang besar melalui pinjaman daripada rakan kongsi perniagaan, manakala Ukraine menghadapi serangan Russia setiap hari.

Dan pejabat pendakwa raya berkata Ahli Parlimen, Encik Oleksandr Ponomaryov, yang disyaki bekerjasama dengan Russia di wilayah tenggara yang diduduki, telah ditangkap sementara menunggu perbicaraan atas tuduhan pengkhianatan.

Encik Ponomaryov, seorang Ahli Parlimen yang dipilih untuk parti yang kini diharamkan, yang dituduh mempunyai hubungan dengan Russia, telah ditahan dalam tahanan tanpa jaminan oleh mahkamah daerah Pechersk, Kyiv.

Beliau menafikan telah bekerjasama dengan Russia. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg