Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tiga AP Indonesia dihadap ke majlis etika Dewan Rakyat

Dec 3, 2024 | 12:01 PM
Encik Yulius Setiarto disiasat berhubung video TikTok apabila beliau menuduh anggota polis berpihak kepada calon yang disokong oleh mantan  Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo dalam pilihan raya wilayah.
Encik Yulius Setiarto disiasat berhubung video TikTok apabila beliau menuduh anggota polis berpihak kepada calon yang disokong oleh mantan Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo dalam pilihan raya wilayah. - Foto INSTAGRAM  YULIUS 

JAKARTA: Majlis Etika Dewan Rakyat Indonesia telah menetapkan sesi persidangan berasingan pada 2 Disember melibatkan tiga Ahli Parlimen (AP) yang didakwa melanggar etika.

AP tersebut ialah Encik Yulius Setiarto dan Encik Haryanto daripada Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) serta Encik Nuroji daripada Parti Gerakan Indonesia Raya (Gerindra).

Dakwaan ke atas mereka termasuk tingkah laku tidak wajar, fitnah dan perkauman.

Menurut Pengerusi Majlis Etika, Encik Nazaruddin Dek Gam, Encik Haryanto dipanggil atas tuduhan terlibat dalam panggilan video yang mengandungi kandungan lucah.

“Saya telah melihat video itu dan perlu mendengar penjelasan beliau,” kata Encik Nazaruddin pada 1 Disember tanpa mendedahkan butiran lanjut.

Encik Yulius pula disiasat berhubung video TikTok apabila beliau menuduh anggota polis berpihak kepada calon yang disokong oleh mantan Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo dalam pilihan raya wilayah.

Tuduhan tersebut dibuat tanpa sebarang bukti kukuh.

Encik Jokowi, yang kini dilihat sebagai saingan politik kepada PDI-P, sebelum ini enggan menyokong calon presiden parti itu, Encik Ganjar Pranowo.

Polis negara berulang kali menegaskan tidak berpihak dalam pilihan raya.

Menjawab tuduhan itu, Encik Yulius menyatakan kenyataannya tidak bertujuan memfitnah pihak polis.

“Saya berasal daripada keluarga polis. Tiga adik-beradik saya adalah anggota polis, dan datuk saya juga pernah berkhidmat dalam pasukan itu. Saya tidak akan membuat tuduhan tidak berasas terhadap polis,” katanya.

Encik Yulius menjelaskan video TikTok tersebut adalah tindak balas kepada podcast yang mengkritik Jokowi dan polis, dengan menambah bahawa kenyataannya dibuat dalam batasan tertentu.

“Saya tidak menggunakan kata-kata kesat. Gaya saya mungkin lantang, tetapi setiap orang ada cara tersendiri untuk menyatakan pendapat. Saya tidak terlalu risau tentang panggilan ini,” tambahnya.

Kes ketiga melibatkan Encik Nuroji yang mencetuskan kontroversi semasa sesi perbincangan bersama Menteri Sukan.

Dalam sesi tersebut, beliau menyuarakan rasa kecewa terhadap kebergantungan pasukan bola sepak kebangsaan Indonesia kepada pemain naturalisasi, dengan mendakwa langkah itu telah mengehadkan peluang pemain tempatan menonjolkan bakat mereka.

Majlis Etika dijangka akan menilai semua kes ini dengan teliti.

Encik Nazaruddin menegaskan bahawa proses itu adalah sebahagian daripada usaha memastikan AP bertanggungjawab atas tindakan mereka dan mematuhi kod etika. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg