Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tiga mati, 10 cedera dalam tembakan di pasar raya Arkansas

Jun 22, 2024 | 3:00 PM
Tembakan berlaku di kedai runcit Mad Butcher di Fordyce, sebuah bandar dengan 3,200 orang penduduk, kira-kira  100 kilometer ke selatan Little Rock di Amerika Syarikat.
Tembakan berlaku di kedai runcit Mad Butcher di Fordyce, sebuah bandar dengan 3,200 orang penduduk, kira-kira 100 kilometer ke selatan Little Rock di Amerika Syarikat. - Foto REUTERS

LITTLE ROCK (Amerika Syarikat): Seorang penembak melepaskan tembakan di sebuah pasar raya Arkansas di Amerika Syarikat pada 21 Jun, membunuh tiga orang awam dan mencederakan 10 orang lain, termasuk dua pegawai polis, kata Polis Negeri Arkansas.

Suspek juga cedera dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis, kata pengarah Polis Negeri Arkansas, Encik Mike Hagar, kepada pemberita.

Tembakan berlaku di kedai runcit Mad Butcher di Fordyce, sebuah bandar yang memiliki 3,200 orang penduduk, kira-kira 100 kilometer dari selatan Little Rock.

“Malangnya, kami boleh mengesahkan bahawa 11 orang awam yang tidak bersalah ditembak, dan tiga daripada mereka maut. Dua pegawai penguatkuasa undang-undang cedera dalam kejadian tembakan itu. Suspek juga ditembak dan ditahan,” kata Encik Hagar.

Beliau tidak pula menjelaskan lebih lanjut kejadian tembakan itu dan tidak juga menjawab beberapa pertanyaan yang diajukan.

Anggota polis yang cedera dan suspek mengalami kecederaan yang tidak mengancam nyawa, katanya.

Kecederaan orang awam dikatakan tidak mengancam nyawa, namun ada juga yang kritikal, katanya.

Gabenor wilayah itu, Cik Sarah Huckabee Sanders, berkata di platform media sosial X bahawa beliau telah diberi taklimat mengenai kejadian itu.

“Saya berterima kasih kepada penguatkuasa undang-undang dan responden pertama atas tindakan pantas dan berani mereka untuk menyelamatkan nyawa.

“Doa saya bersama mangsa dan semua yang terkesan dengan kejadian ngeri ini,” katanya.

Peraturan penggunaan senjata api yang longgar di Amerika di kalangan penduduk awam di negara itu mengakibatkan sering berlaku kejadian penembakan rambang dan menyebabkan kadar kematian tertinggi berbanding negara-negara maju lain.

Seorang penembak rambang yang membunuh lima orang di sebuah kelab gay di negeri Colorado, Amerika, mengaku bersalah pada 18 Jun atas pembunuhan beramai-ramai yang mengerikan pada 2022, dan dikenakan satu lagi hukuman berat.

Anderson Lee Aldrich telah pun menjalani hukuman penjara seumur hidup lima kali kerana mengamuk di Club Q di Colorado Springs, yang turut mencederakan 22 orang. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg