ROME: Sebuah mahkamah Italy menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap tiga pegawai keselamatan Mesir selepas mendapati mereka bersalah menculik seorang pelajar kedoktoran warga Italy, Cik Giulio Regeni, yang mayatnya ditemukan dengan kesan penyeksaan teruk di pinggir Kahirah pada 2016.

Keputusan yang diumumkan pada 28 September itu menandakan perkembangan penting dalam kes berprofil tinggi yang berlarutan selama sedekad, mencetuskan krisis diplomatik antara Italy dengan Mesir serta meningkatkan penelitian antarabangsa terhadap rekod hak asasi manusia negara Afrika Utara tersebut.

Ketiga-tiga pegawai berkenaan, Mejar Magdi Ibrahim Abdelal Sharif; Kolonel Athar Kamel Mohamed Ibrahim; dan Kolonel Uhsam Helmi, masing-masing dijatuhi hukuman penjara 10 tahun selepas dibicarakan tanpa kehadiran mereka.

Mahkamah turut memerintahkan mereka membayar pampasan kepada keluarga Cik Regeni serta menanggung kos perbicaraan.

Bagaimanapun, Mejar Sharif, satu-satunya tertuduh yang turut menghadapi pertuduhan membunuh Cik Regeni, dibebaskan daripada dakwaan tersebut.

Seorang lagi tertuduh, Jeneral Tariq Sabir, dibebaskan daripada semua pertuduhan.

Keempat-empat pegawai itu tidak menghadiri perbicaraan, manakala lokasi semasa mereka tidak diketahui.

Pemerintah Mesir enggan mengulas keputusan mahkamah tersebut, namun pihak pendakwa raya negara itu sebelum ini menegaskan bahawa pertuduhan yang dikemukakan oleh Italy tidak disokong bukti kukuh.

Peguam keluarga Ck Regeni, Cik Alessandra Ballerini, menyifatkan keputusan berkenaan sebagai kemenangan penting selepas perjuangan panjang keluarga mangsa untuk mendapatkan keadilan.

Menurutnya, keputusan itu membawa mesej bahawa maruah manusia tidak boleh dicabuli dan pemerintah yang mengamalkan pemerintahan autoritarian perlu bertanggungjawab terhadap tindakan mereka.

Beliau turut menyifatkan usaha membawa kes tersebut ke mahkamah sebagai perjuangan penuh halangan yang mengambil masa bertahun-tahun.

Cik Regeni, 28 tahun, merupakan pelajar possiswazah Universiti Cambridge, Britain, yang menjalankan penyelidikan mengenai gerakan pekerja tidak formal di Kahirah ketika beliau dilaporkan hilang pada 25 Januari 2016.

Kehilangannya berlaku ketika pasukan keselamatan Mesir memperketat kawalan di ibu negara bagi menghalang tunjuk perasaan sempena ulang tahun kelima kebangkitan rakyat yang menggulingkan Presiden Hosni Mubarak, pada 2011.

Sembilan hari kemudian, mayat Cik Regeni ditemukan di pinggir Kahirah dengan kesan kecederaan serius yang menunjukkan beliau mengalami penyeksaan berulang kali sebelum dibunuh.

Hasil bedah siasat yang dijalankan di Rome mendapati mangsa dipukul, dibakar, ditikam dan dipercayai disebat pada tapak kakinya sepanjang tempoh empat hari.

Pemeriksaan turut mendapati beliau meninggal dunia akibat kecederaan parah pada lehernya.

Kes tersebut segera mencetuskan pertikaian diplomatik apabila Mesir menafikan penglibatan pasukan keselamatannya dan mencadangkan kemungkinan Cik Regeni dibunuh oleh kumpulan penjenayah yang menyasarkan warga asing.

Bagaimanapun, berdasarkan bentuk kecederaan yang dialami mangsa, penyiasat Italy membuat kesimpulan anggota keselamatan Mesir terbabit dalam kejadian tersebut.

Pendakwa raya Italy memulakan prosiding undang-undang secara rasmi pada Disember 2018 selepas mengenal pasti beberapa pegawai Agensi Keselamatan Negara Mesir sebagai suspek.

Bagaimanapun, perbicaraan menghadapi pelbagai halangan kerana tertuduh tidak pernah menerima pemberitahuan rasmi mengenai pertuduhan terhadap mereka.

Kes itu hanya dapat diteruskan selepas Mahkamah Perlembagaan Italy memutuskan pada 2023 bahawa perbicaraan boleh dijalankan tanpa kehadiran tertuduh.

Perbicaraan akhirnya bermula pada Februari 2024.

Peguam bela mempertikaikan keputusan tersebut dengan berhujah bahawa anak guam mereka dinafikan hak untuk membela diri dan mengemukakan saksi.

Peguam Mejar Sharif, Cik Anna Lisa Ticconi, menyifatkan perbicaraan itu sebagai kegagalan sistem keadilan kerana beliau sendiri tidak pernah berkomunikasi dengan anak guamnya.

Sementara itu, Ketua Pendakwa Raya Rome, Encik Francesco Lo Voi, menyambut baik keputusan mahkamah walaupun menyifatkan kerjasama pihak berkuasa Mesir sepanjang siasatan sebagai tidak begitu membuahkan hasil.

Keputusan itu bagaimanapun belum menamatkan persoalan mengenai pembunuhan Cik Regeni kerana tiada tertuduh disabitkan atas kesalahan membunuhnya.

Memandangkan ketiga-tiga pegawai yang dijatuhi hukuman masih berada di luar Italy, pelaksanaan hukuman penjara tersebut juga kekal tidak menentu. – Agensi berita.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti