Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tiga tebusan Israel dibebas dalam pertukaran terbaru gencatan senjata di Gaza

Feb 1, 2025 | 5:20 PM
Masjid Al-Saraya yang musnah di Bandar Gaza kelihatan dalam gambar yang diambil pada 31 Januari 2025. Israel dan Hamas melaksanakan fasa pertama pembebasan tebusan dan perjanjian gencatan senjata pada 19 Januari 2025.
Masjid Al-Saraya yang musnah di Bandar Gaza kelihatan dalam gambar yang diambil pada 31 Januari 2025. Israel dan Hamas melaksanakan fasa pertama pembebasan tebusan dan perjanjian gencatan senjata pada 19 Januari 2025. - Foto EPA-EFE

BAITULMAKDIS: Kumpulan Hamas telah menyerahkan tebusan Israel, Encik Yarden Bibas dan Encik Ofer Kalderon, dan warga Amerika-Israel, Encik Keith Siegel, pada 1 Februari, dalam pusingan terbaru gencatan senjata yang bertujuan menamatkan perang selama 15 bulan di Gaza.

Tentera Israel mengesahkan telah menerima Encik Kalderon, seorang warga Perancis-Israel, dan Encik Bibas selepas kedua-duanya diserahkan kepada seorang pegawai Palang Merah di bandar selatan Gaza, Khan Younis.

Encik Siegel kemudian diserahkan secara berasingan, beberapa jam kemudian di pelabuhan laut Bandar Gaza.

Encik Bibas ialah bapa kepada dua tebusan termuda, bayi Kfir, yang hanya berusia sembilan bulan apabila dia diculik oleh lelaki bersenjata pimpinan Hamas pada 7 Oktober 2023, dan Ariel, yang berusia empat tahun, ketika serangan rentas sempadan itu.

Hamas berkata pada November 2023, dua kanak-kanak lelaki itu dan ibu mereka, Cik Shiri, yang diambil pada masa yang sama, terbunuh dalam satu serangan udara Israel. Tiada khabar berita mengenai mereka sejak itu.

Israel dijangka memindahkan 182 tahanan Palestin, kata Hamas.

Pada 1 Februari juga, satu kumpulan rakyat Palestin pertama akan bergerak dari Gaza ke Mesir melalui persimpangan Rafah yang baru dibuka semula.

Ia mulanya dibuka bagi 50 anggota militan yang cedera dan 50 orang awam yang cedera, bersama-sama dengan orang yang mengiringi mereka. Lagi 100 orang, kemungkinan besar pelajar, juga dijangka melaluinya atas dasar kemanusiaan.

Seramai 17 daripada 33 tebusan yang sepatutnya dibebaskan pada peringkat pertama gencatan senjata itu, setakat ini, telah dibebaskan sebagai pertukaran untuk 400 tahanan Palestin.

Rundingan akan dimulakan pada 4 Februari mengenai perjanjian pembebasan lebih 60 tebusan yang tinggal dan pengunduran tentera Israel dari Gaza dalam fasa kedua perjanjian itu.

Gencatan senjata awal selama enam minggu itu, yang dipersetujui dengan pengantara Mesir dan Qatar serta disokong Amerika, setakat ini kekal mengikut jadual walaupun terdapat beberapa insiden yang menyebabkan kedua-dua pihak saling menuduh kerana melanggar perjanjian itu.

Serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 telah membunuh kira-kira 1,200 orang dan menjadikan lebih 250 orang sebagai tebusan, menurut angka Israel.

Sebagai tindak balas, kempen Israel telah memusnahkan sebahagian besar Jaluran Gaza yang padat dengan penduduk dan membunuh lebih 47,000 rakyat Palestin, menurut pihak berkuasa kesihatan Palestin. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg