WASHINGTON: Aplikasi media sosial TikTok barangkali akan diberikan penangguhan daripada larangan akses di Amerika Syarikat setelah bakal Presiden, Encik Donald Trump, berkata pada 18 Januari beliau “berkemungkinan besar” memberi penangguhan selama 90 hari selepas mengambil alih jawatan secara rasmi pada 20 Januari.
Dalam satu temu bual bersama media tempatan Amerika Syarikat, Encik Trump berkata: “Tempoh lanjutan selama 90 hari adalah sesuatu yang berkemungkinan besar akan saya lakukan, kerana ia (keputusan) sesuai.
“Jika saya memutuskan untuk berbuat demikian, saya mungkin akan mengumumkannya pada Isnin (20 Januari).”
Ini sedang pengguna TikTok di Amerika dikejutkan pada 18 Januari dengan mesej yang menyatakan khidmat aplikasi itu tidak tersedia buat sementara waktu atas tuntutan undang-undang.
Aplikasi itu mempunyai sekitar 170 juta pengguna dari Amerika.
Larangan sedemikian dikenakan susulan pentadbiran Presiden Joe Biden dan Mahkamah Agung mengesahkan undang-undang yang melarang TikTok di Amerika atas alasan keselamatan negara.
TikTok boleh meneruskan operasi sekiranya syarikat induk aplikasi itu, ByteDance dari China, menjual aplikasi tersebut kepada syarikat Amerika.
Undang-undang ini diluluskan dengan sokongan besar daripada kedua-dua parti Republikan dan Demokrat di Kongres pada 2024 dan ditandatangani Presiden Biden.
Di bawah undang-undang yang diluluskan dan dikekalkan pada 17 Januari oleh Mahkamah Agung secara sebulat suara, TikTok mempunyai masa sehingga 19 Januari untuk memutuskan pertalian dengan ByteDance atau menutup operasinya di Amerika.
Kedutaan China di Washington pada 17 Januari menuduh Amerika menggunakan kuasa negara secara tidak adil untuk menyekat TikTok.
Jurucakapnya berkata: “China akan mengambil semua langkah yang perlu untuk melindungi hak dan kepentingannya yang sah.”
Sementara itu, pengguna TikTok di Amerika giat mencari wadah alternatif, termasuk wadah berpangkalan di China iaitu RedNote atau lebih dikenali sebagai Xiaohongshu.
Pesaing ByteDance iaitu Meta turut menyaksikan nilai saham melonjak, sedang pelabur menjangkakan peningkatan pada jumlah pengguna dan iklan.
Setakat 17 Januari, saham Meta bernilai AS$612.77 ($838), naik 2.89 peratus sejak sebulan lalu.
Firma pemasaran yang bergantung pada TikTok juga tergesa-gesa untuk menyediakan pelan kontingensi selepas penantian desas-desus bahawa penyelesaian dapat disepakati bagi memastikan aplikasi itu terus beroperasi seperti biasa.
Namun demikian, terdapat beberapa isyarat bahawa TikTok mungkin kembali beroperasi di Amerika di bawah pentadbiran Encik Trump.
Beliau berkata beliau ingin meneruskan “penyelesaian politik” berkenaan isu itu dan pada Disember menggesa Mahkamah Agung untuk menghentikan seketika pelaksanaan larangan itu.
Ketua Pegawai Eksekutif TikTok, Encik Chew Shou Zi, merancang menghadiri upacara perasmian Presiden Amerika pada 20 Januari dan hadir dalam kalangan tetamu berprofil tinggi yang dijemput oleh Encik Trump. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg