TikTok elak diharamkan di AS, CEO hargai sokongan pengguna

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

TikTok elak diharamkan di AS, CEO hargai sokongan pengguna

TikTok, ByteDance muktamadkan perjanjian pindah sebahagian operasi di AS kepada pelabur tempatan
Jan 23, 2026 | 1:55 PM

TikTok elak diharamkan di AS, CEO hargai sokongan pengguna

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
TikTok di AS, CEO, Chew Shou Zi, ByteDance, Oracle TikTok, TikTok USDS Joint Venture, Larangan TikTok AS 2026
Ketua Pegawai Eksekutif TikTok, Encik Chew Shou Zi, merakamkan penghargaan kepada lebih satu bilion pengguna antarabangsa aplikasi itu serta 200 juta pengguna di Amerika Syarikat. - Foto TANGKAP LAYAR SHOU.TIME/TIKTOK

WASHINGTON: Ketua Pegawai Eksekutif TikTok, Encik Chew Shou Zi, mengucapkan terima kasih kepada pengguna platform itu di seluruh dunia, hanya beberapa jam selepas TikTok menubuhkan sebuah entiti baru di Amerika Syarikat bersama rakan kongsi tempatan bagi mengelakkan larangan operasi di negara itu.

Dalam satu video TikTok yang dimuat naik pada 23 Januari, Encik Chew tidak menyentuh secara langsung mengenai penubuhan entiti baru di Amerika, sebaliknya menzahirkan penghargaan kepada lebih satu bilion pengguna global dan kira-kira 200 juta pengguna di Amerika.

“Kami berterima kasih kerana anda terus berkongsi kreativiti dan minat anda,” kata Encik Chew, yang merupakan warga Singapura.

“Kami bersyukur anda menjadi sebahagian daripada komuniti TikTok dan tidak sabar untuk melihat lebih banyak semangat kreatif, penceritaan hebat serta kegembiraan yang dibawa kepada semua orang, di mana sahaja,” katanya.

Ucapan itu dibuat beberapa jam selepas TikTok dan syarikat induknya dari China, ByteDance, memuktamadkan perjanjian untuk memindahkan sebahagian operasi TikTok di Amerika kepada pelabur tempatan, termasuk syarikat teknologi Oracle dan firma ekuiti persendirian Silver Lake.

Langkah itu membolehkan aplikasi video pendek popular tersebut terus beroperasi di Amerika selepas bertahun-tahun berdepan ancaman larangan atas alasan keselamatan negara.

Pada 2024, Kongres Amerika meluluskan undang-undang yang mengarahkan TikTok diharamkan kecuali ByteDance melepaskan pemilikan ke atas aplikasi itu.

Undang-undang tersebut didorong oleh kebimbangan bahawa China berpotensi menggunakan TikTok untuk mengumpul data rakyat Amerika atau mempengaruhi mereka melalui algoritma kandungan.

Perjanjian penstrukturan semula itu pada asalnya dijadualkan dilaksanakan pada Januari 2025, namun tarikh akhir tersebut ditangguhkan beberapa kali menerusi perintah eksekutif.

Di bawah perjanjian terbaru, Encik Chew akan terus mengetuai TikTok di peringkat global dan turut dilantik sebagai ahli lembaga pengarah entiti baru yang dinamakan TikTok USDS Joint Venture LLC.

Entiti tersebut akan dimiliki majoriti oleh pelabur Amerika, manakala ByteDance mengekalkan pegangan sebanyak 19.9 peratus, iaitu di bawah had 20 peratus yang ditetapkan oleh undang-undang Amerika.

Tiga pelabur utama, Silver Lake, Oracle dan dana pelaburan kecerdasan buatan berpangkalan di Abu Dhabi, MGX, masing-masing memiliki pegangan sebanyak 15 peratus dalam usaha sama itu.

Pengerusi eksekutif Oracle, Encik Larry Ellison, yang dikenali sebagai sekutu lama Presiden Amerika Donald Trump, dinamakan oleh Encik Trump sebagai antara tokoh penting dalam perjanjian tersebut.

Pelabur lain termasuk Dell Family Office, sekutu kepada Susquehanna International Group, General Atlantic serta beberapa firma pelaburan lain.

Menurut kenyataan TikTok, usaha sama itu akan berkhidmat kepada lebih 200 juta pengguna dan 7.5 juta perniagaan di Amerika, sambil melaksanakan kawalan ketat berkaitan perlindungan data, keselamatan algoritma dan penyederhanaan kandungan.

TikTok USDS Joint Venture LLC akan mempunyai kuasa membuat keputusan terhadap dasar kepercayaan dan keselamatan serta penyederhanaan kandungan untuk pengguna di Amerika Syarikat.

Sementara itu, entiti global TikTok akan terus menguruskan integrasi produk antarabangsa serta aktiviti komersial seperti e-dagang dan pengiklanan.

Usaha sama itu akan ditadbir oleh lembaga pengarah tujuh ahli yang majoritinya warga Amerika, termasuk Encik Chew dan wakil daripada firma pelaburan utama.

Eksekutif TikTok, Encik Adam Presser, dilantik sebagai ketua pegawai eksekutif entiti baharu, manakala Encik Will Farrell dilantik sebagai ketua pegawai keselamatan.

Perjanjian ini dianggap sebagai detik penting bagi TikTok selepas pertikaian panjang yang bermula sejak Ogos 2020, apabila Encik Trump pada penggal pertamanya cuba mengharamkan aplikasi itu atas alasan keselamatan negara, namun gagal melaksanakannya sepenuhnya.

Walaupun undang-undang 2024 diluluskan ketika kebimbangan terhadap China memuncak, Encik Trump sejak kebelakangan ini menunjukkan pendekatan lebih lunak terhadap TikTok.

Beliau mengakui aplikasi itu membantu meningkatkan sokongannya dalam kalangan pengundi muda dan beberapa kali menangguhkan penguatkuasaan larangan tersebut.

Encik Trump kini mempunyai lebih 16 juta pengikut di akaun TikTok peribadinya.

Pada September lalu, beliau menyatakan bahawa satu usaha sama baru telah dipersetujui dengan China dan akan mematuhi kehendak undang-undang Amerika Syarikat.

Perjanjian yang dimuktamadkan minggu ini sebahagian besarnya mengesahkan pelan yang telah dibentangkan oleh Encik Chew kepada kakitangan TikTok bulan Disember lalu, sekali gus menamatkan ketidaktentuan berpanjangan terhadap masa depan aplikasi itu di Amerika. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg