WASHINGTON: Presiden Donald Trump menandatangani satu perintah eksekutif pada 25 September bagi mengesahkan pelan penjualan operasi TikTok di Amerika Syarikat kepada gabungan pelabur tempatan dan antarabangsa.
Langkah itu bertujuan memenuhi syarat keselamatan negara yang ditetapkan dalam undang-undang 2024, di tengah-tengah kebimbangan aplikasi video popular itu boleh digunakan China untuk mengakses data sensitif rakyat Amerika.
Naib Presiden J.D. Vance berkata syarikat baru TikTok AS akan dinilai sekitar AS$14 bilion ($18.1 bilion), jauh lebih rendah daripada jangkaan sesetengah penganalisis.
“Perjanjian ini bermakna rakyat Amerika boleh terus menggunakan TikTok dengan keyakinan yang lebih besar,” katanya.
“Data mereka akan lebih selamat dan tidak disalah guna untuk menyebarkan propaganda.”
Enck Trump menangguhkan penguatkuasaan larangan penuh terhadap TikTok sehingga 20 Januari bagi memberi ruang rundingan muktamad.
“Ini semua pelabur dan syarikat hebat Amerika,” kata Encik Trump di Rumah Putih.
“Kami mahu memastikan aplikasi ini dikendalikan secara Amerika sepenuhnya.”
Namun, menurut dua sumber rapat, sebuah firma pelaburan dari Amiriah Arab Bersatu (UAE), MGX, dijangka menyertai gabungan pelabur bersama syarikat gergasi teknologi Amerika, Oracle, dan firma ekuiti Silver Lake.
Wartawan turut memetik Encik Trump menyebut penglibatan tokoh perniagaan terkenal seperti Encik Rupert Murdoch dan Ketua Pegawai Eksekutif, Dell Technologies, Encik Michael Dell.
MGX tidak memberi sebarang komen segera manakala Fox Corporation serta firma pelaburan BDT & MSD Partners milik Dell enggan mengulas.
Penglibatan MGX mencerminkan peranan besar dana UAE dalam ekonomi Amerika termasuk janji pelaburan AS$1.4 trilion dalam tempoh sedekad dan pelaburan kripto bernilai AS$2 bilion yang dikaitkan dengan keluarga Encik Trump.
Lawatan Encik Trump ke Abu Dhabi pada Mei lalu turut membuka jalan kepada penjualan 500,000 cip kecerdasan buatan (AI) kepada UAE untuk membangunkan pusat data gergasi.
Syarikat Oracle, yang juga pelabur TikTok, terlibat dalam projek pusat data bernilai sekitar AS$20 bilion di UAE, manakala Silver Lake mempunyai kepentingan dalam syarikat AI tempatan, G42.
Walaupun tiada bukti wujud pertukaran kepentingan secara langsung, dua senator Demokrat meminta siasatan terhadap kemungkinan pelanggaran etika dalam perjanjian berbilion dolar melibatkan UAE dan pentadbiran Trump.
Encik Trump berkata Presiden China, Encik Xi Jinping, telah memberi lampu hijau kepada kerangka perjanjian itu.
“Saya bercakap dengan Presiden Xi,” katanya.
“Kami jelaskan apa yang sedang dilakukan, dan beliau setuju untuk meneruskannya.”
Namun agensi berita rasmi China tidak memberi pengesahan terperinci mengenai kenyataan itu.
Antara isu utama yang belum dimuktamadkan ialah hak milik algoritma cadangan TikTok, komponen penting yang menggerakkan pengalaman pengguna.
Encik Vance menegaskan matlamat utama ialah “mengekalkan operasi TikTok sambil melindungi privasi data rakyat Amerika seperti yang dikehendaki undang-undang”.
Mengikut perintah eksekutif, algoritma TikTok akan dilatih semula dan dikawal oleh rakan keselamatan syarikat Amerika yang baru.
Sumber dalaman menyebut Oracle dan Silver Lake akan memegang kira-kira 50 peratus saham syarikat baru, manakala pemegang saham sedia ada syarikat induk TikTok dari China ByteDance sekitar 30 peratus bagi mematuhi syarat undang-undang Amerika.
Laporan CNBC pula menyebut Oracle, Silver Lake dan MGX secara bersama akan menguasai 45 peratus kepentingan.
Ahli Kongres Republikan menggesa pemerintah mendedahkan butiran penuh bagi memastikan perjanjian benar-benar memutuskan kaitan TikTok dengan pengaruh Parti Komunis China.
“Kita mesti pastikan pengguna Amerika dilindungi daripada pengintipan atau kawalan kumpulan yang berpihak kepada Beijing,” kata anggota kongres Encik Brett Guthrie, Encik Gus Bilirakis dan Encik Richard Hudson.
Encik Trump menegaskan aplikasi itu memainkan peranan penting dalam kejayaannya meraih sokongan rakyat, malah beliau sendiri memiliki lebih 15 juta pengikut di platform itu.
Rumah Putih turut melancarkan akaun rasmi TikTok pada Ogos lalu.
“Ini akan menjadi operasi Amerika sepenuhnya,” kata Encik Trump, memberi jaminan kawalan domestik terhadap aplikasi yang mempunyai lebih 170 juta pengguna di Amerika.
Bagaimanapun, beberapa pakar undang-undang memberi amaran masih banyak soalan terbuka, terutama mengenai algoritma.
Profesor Alan Rozenshtein dari Fakulti Perundangan Universiti Minnesota berkata:
“Presiden telah mengesahkan perjanjian ini, tetapi maklumat terperinci mengenai kawalan ke atas algoritma masih kabur.” – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg