Topik diikuti
Pergi ke BHkuTikTok lupuskan akaun bawah umur selepas desakan pemerintah Indonesia
TikTok lupuskan akaun bawah umur selepas desakan pemerintah Indonesia
TikTok lupuskan akaun bawah umur selepas desakan pemerintah Indonesia
JAKARTA: Platform media sosial yang dianggap berisiko tinggi terhadap kanak-kanak mula mematuhi peraturan perlindungan kanak-kanak yang diperkenalkan Kementerian Komunikasi dan Digital Indonesia, dengan TikTok antara yang terbaru mematuhinya.
Menteri Komunikasi dan Digital, Cik Meutya Hafid, berkata platform media sosial berasaskan video itu telah menguatkuasakan had umur minimum 16 tahun, selaras dengan Peraturan Perlindungan Kanak-kanak dalam Ruang Digital (PP Tunas) pemerintah.
Menurutnya, TikTok telah menyahaktifkan sekitar 780,000 akaun milik pengguna di bawah umur 16 tahun setakat 10 April, menandakannya sebagai “platform pertama” yang melaksanakan penguatkuasaan yang boleh diukur di bawah peraturan tersebut.
“Kami berharap platform lain akan ikut sama dan segera melaporkan bilangan akaun (bawah umur) yang telah mereka kendalikan atau hapuskan,” kata Cik Meutya dalam taklimat akhbar pada 14 April.
TikTok merupakan platform “berisiko tinggi” terkini yang mematuhi peraturan tersebut sejak garis panduan teknikal berkuat kuasa pada 28 Mac, menyertai X, Bigo Live, Facebook, Instagram dan Threads.
Menteri itu berkata platform perkongsian video YouTube dan platform permainan Roblox kekal sebagai satu-satunya platform berisiko tinggi yang belum mematuhi sepenuhnya.
Kementerian sebelum ini mengklasifikasikan lapan platform utama sebagai “berisiko tinggi” untuk pengguna di bawah umur 16 tahun, dengan menyatakan kebimbangan terhadap bahaya dalam talian seperti pornografi, perjudian dan ketagihan.
Roblox telah memperkenalkan sistem akaun berasaskan umur baru, termasuk “Roblox Kids” untuk pengguna berumur lima hingga 12 tahun dan “Roblox Select” untuk mereka yang berumur 13 hingga 15 tahun, sebagai sebahagian daripada usaha pematuhannya.
Kemas kini yang dijadualkan untuk dilancarkan pada Jun, akan menyesuaikan akses kandungan, tetapan komunikasi dan permainan itu sendiri agar lebih sepadan dengan pengguna Indonesia di bawah umur 16 tahun, yang juga memerlukan persetujuan ibu bapa untuk bermain permainan platform tersebut.
“Roblox terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Komunikasi dan Digital untuk mewujudkan ruang dalam talian yang positif untuk komuniti di Indonesia belajar, mencipta dan berseronok,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan pada 14 April.
Namun, Cik Meutya berkata langkah-langkah tersebut masih belum mencukupi untuk memenuhi keperluan peraturan tersebut.
“Walaupun mereka telah membuat beberapa pelarasan, kami masih belum menerima cadangan daripada Roblox yang mengisytiharkan pematuhan dengan Peraturan Perlindungan Kanak-kanak dalam Ruang Digital,” tegas Cik Meutya.
Beliau berkata kementeriannya juga sedang menunggu komitmen daripada YouTube.
Pada minggu lalu, pemerintah telah mengeluarkan amaran kepada gergasi teknologi Google, syarikat induk YouTube, kerana gagal mematuhi peraturan tersebut.
Google sebelum ini menentang sekatan menyeluruh, dengan alasan bahawa YouTube sudah menawarkan alat pengawasan bagi ibu bapa, termasuk had masa skrin, pengesahan umur dan penapis kandungan.
Google belum memberi respons kepada permintaan untuk mendapatkan komen.
Media sebelum ini memetik kementerian itu sebagai menyatakan bahawa saman boleh dikeluarkan sehingga maksimum tiga kali sebelum sekatan dikenakan.
Ia menambah bahawa “pematuhan terhadap peraturan perlindungan kanak-kanak bukan sekadar kewajipan pentadbiran, tetapi tanggungjawab yang mempunyai kesan langsung terhadap keselamatan kanak-kanak dalam ruang digital.” - Agensi berita
