NEW YORK: Rancangan TikTok yang telah lama tertangguh untuk berpisah daripada syarikat induk China, ByteDance, akhirnya dilaksanakan pada 18 Disember apabila aplikasi media sosial itu menyatakan ia akan dibeli oleh sekumpulan pembeli yang diketuai oleh gergasi teknologi Amerika Syarikat, Oracle.
Ketua Pegawai Eksekutif TikTok, Encik Chew Shou Zi, memberitahu kakitangannya syarikat itu dan ByteDance telah memeterai perjanjian mengikat untuk mewujudkan usaha sama dengan syarikat yang majoritinya dimiliki pelabur Amerika, menurut satu memo dalaman.
Encik Chew berkata beliau “gembira dapat berkongsi beberapa berita baik” dan berkata perjanjian telah dimeterai dengan Oracle; firma ekuiti swasta sejagat Amerika, Silver Lake Management; dan syarikat pelaburan di Abu Dhabi, MGX.
Perjanjian itu dijangka diselesaikan pada 22 Januari 2026, walaupun Encik Chew menambah, banyak kerja yang masih perlu dilakukan sebelum tempoh itu.
Memo Encik Chew itu tidak menyebut pandangan China mengenai urus niaga tersebut, yang akan merampas sebahagian kawalan TikTok Amerika daripada ByteDance.
Setelah dimuktamadkan, syarikat usaha sama Amerika itu akan beroperasi sebagai entiti bebas yang akan mengawal perlindungan data, penyederhanaan kandungan dan keselamatan algoritma di negara itu, tambah Encik Chew.
Menurutnya, entiti Amerika yang baru itu juga akan “ditadbir oleh lembaga pengarah baru dengan tujuh ahli, majoritinya warga Amerika”.
Saham Oracle melonjak hampir 6 peratus dalam dagangan selepas waktu bekerja pada 18 Disember.
Memo itu menggariskan perjanjian sepadan dengan apa yang diumumkan oleh Rumah Putih pada September, yang sedang menunggu kelulusan daripada China pada masa itu, dan menaksirkan nilai operasi TikTok di Amerika itu sekitar AS$14 bilion ($18 bilion).
Di bawah perjanjian tersebut, 50 peratus pelabur dalam TikTok Amerika merupakan pelabur baru, dengan Oracle, Silver Lake dan MGX masing-masing memegang 15 peratus pemilikan; 30.1 peratus akan dipegang oleh sekutu pelabur sedia ada ByteDance; dan 19.9 peratus dikekalkan oleh ByteDance.
Terma yang digariskan dalam memo ketua pegawai eksekutif itu nampaknya membuka ruang kepada ByteDance dengan potensi mengekalkan pengawasan bahagian penting TikTok Amerika.
Bloomberg News sebelum ini melaporkan, syarikat induk China itu akan mengekalkan kira-kira 50 peratus keuntungan daripada operasi TikTok Amerika.
Penglibatan ByteDance telah lama menjadi titik pertikaian dalam rundingan, dan telah menyebabkan pengkritik, termasuk Presiden Donald Trump sendiri, berhujah bahawa pengaturan yang dirundingkan oleh Rumah Putih mungkin tidak lulus perakuan undang-undang.
Undang-undang keselamatan negara yang diluluskan di bawah pentadbiran mantan Presiden, Encik Joe Biden, mewajibkan TikTok Amerika dan ByteDance tidak mempunyai hubungan operasi.
Algoritma kandungan ByteDance yang didambakan dianggap penting kepada perniagaan TikTok.
Di bawah versi perjanjian yang digariskan oleh Rumah Putih itu, ByteDance dijangka melesenkan teknologi pengesyoran kecerdasan buatannya (AI) kepada entiti TikTok Amerika yang baru diwujudkan itu.
Ia akan menggunakan algoritma sedia ada untuk melatih semula sistem baru pada data Amerika yang dijamin oleh Oracle, rakan kongsi awan TikTok.
Jika dimuktamadkan, perjanjian itu akan menghapuskan isu berterusan dalam hubungan Beijing-Washington dan menandakan kemajuan dalam rundingan lebih luas antara kedua-dua negara. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg