Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Petugas kemanusiaan pengsan, empat kanak-kanak maut akibat kelaparan di Gaza

Jul 22, 2025 | 8:31 PM
Kanak-kanak Palestin menunggu makanan di sebuah dapur amal di kawasan Mawasi, Khan Yunis, selatan Jaluran Gaza pada 22 Julai 2025. Ketua hospital terbesar di Gaza memaklumkan bahawa seramai 21 kanak-kanak telah meninggal dunia akibat kekurangan zat makanan dan kebuluran dalam tempoh tiga hari lalu, di tengah-tengah serangan dahsyat oleh tentera Israel. 
Kanak-kanak Palestin menunggu makanan di sebuah dapur amal di kawasan Mawasi, Khan Yunis, selatan Jaluran Gaza pada 22 Julai 2025. Ketua hospital terbesar di Gaza memaklumkan bahawa seramai 21 kanak-kanak telah meninggal dunia akibat kekurangan zat makanan dan kebuluran dalam tempoh tiga hari lalu, di tengah-tengah serangan dahsyat oleh tentera Israel.  - Foto AFP

GENEVA: Ketua Agensi Bantuan Pelarian Palestin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA), Philippe Lazzarini mendedahkan bahawa petugasnya di Gaza termasuk doktor dan pekerja kemanusiaan kini rebah semasa bertugas akibat kelaparan dan keletihan melampau, menggambarkan betapa kritikalnya situasi di wilayah bergolak itu.

“Kakitangan penjagaan kini juga memerlukan penjagaan. Doktor, jururawat, wartawan dan pekerja kemanusiaan turut kelaparan. Ramai antara mereka rebah akibat lapar dan penat ketika bertugas sama ada ketika melaporkan kekejaman atau cuba mengurangkan penderitaan,” kata Encik Lazzarini dalam satu kenyataan media yang dibacakan jurucakapnya di Geneva.

Menurut Encik Lazzarini, UNRWA menerima puluhan mesej kecemasan daripada kakitangannya yang menggambarkan keadaan parah dan tekanan yang luar biasa di Gaza, di mana perang antara Israel dan Hamas telah berlangsung sejak Oktober 2023.

Dalam tempoh 24 jam terakhir, sekurang-kurangnya empat kanak-kanak termasuk seorang bayi berusia enam minggu, Yousef al-Safadi, disahkan meninggal dunia akibat kebuluran.

Menurut pegawai kesihatan tempatan, dua lagi kanak-kanak turut menjadi mangsa, termasuk seorang remaja berusia 13 tahun, Abdulhamid al-Ghalban, yang meninggal dunia di Hospital Khan Younis.

“Hospital sudah pun terlebih beban dengan mangsa tembakan. Mereka tidak mampu merawat simptom berkaitan kebuluran kerana kekurangan bekalan makanan dan ubat-ubatan,” ujar jurucakap Kementerian Kesihatan Gaza, Encik Khalil al-Deqran.

Beliau juga memaklumkan seramai 600,000 penduduk sedang mengalami kekurangan zat makanan, termasuk sekurang-kurangnya 60,000 wanita mengandung.

Menurut laporan, simptom yang kerap dialami termasuk dehidrasi, anemia dan kekurangan tenaga. Malah, susu formula bayi kini berada pada tahap bekalan paling kritikal.

Encik Lazzarini turut mengkritik skim agihan bantuan yang disokong Amerika Syarikat dan dikendalikan oleh Yayayasan Kemanusiaan Gaza, yang menggantikan sistem PBB sejak Israel menamatkan sekatan 11 minggu ke atas bantuan kemanusiaan pada akhir Mei.

“Skim agihan GHF ini adalah satu perangkap maut yang sadis. Penembak tepat melepaskan tembakan secara rawak ke arah orang ramai seolah-olah mereka diberi lesen untuk membunuh,” tegas Encik Lazzarini.

Menurut anggaran UNRWA, lebih 1,000 penduduk telah terbunuh ketika cuba mendapatkan bantuan makanan sejak skim GHF bermula.

Setakat ini, pegawai kesihatan Palestin mengesahkan sekurang-kurangnya 101 kematian akibat kebuluran, termasuk 80 kanak-kanak, majoritinya dalam beberapa minggu kebelakangan ini. Dalam tempoh 24 jam sahaja, 15 kematian telah direkodkan.

Israel mengawal sepenuhnya kemasukan bantuan ke Gaza, yang kini mengalami krisis kemanusiaan dengan majoriti penduduk terpaksa berpindah beberapa kali. Statistik tentera Israel menunjukkan purata 146 lori bantuan memasuki Gaza setiap hari sepanjang perang. Namun, menurut Amerika Syarikat, sekurang-kurangnya 600 lori sehari diperlukan untuk memenuhi keperluan 2.2 juta penduduk Gaza.

Di Bandar Gaza pada 22 Julai, lelaki dan kanak-kanak lelaki dilihat memikul guni tepung melepasi bangunan yang musnah dan khemah sementara, sambil mencari sisa makanan dari gudang bantuan.

“Kami tidak makan selama lima hari,” kata seorang penduduk, Encik Mohammed Jundia. “Kebuluran sedang membunuh orang.”

Sementara itu, 25 negara Barat yang menyokong serangan Israel ke atas Hamas mengeluarkan kenyataan mengecam pembunuhan beramai-ramai di Gaza sebagai “tidak berperikemanusiaan”, namun tiada tindakan susulan dikenakan terhadap Israel. Kesatuan Eropah masih berbelah bahagi, dengan Jerman enggan menandatangani kenyataan tersebut.

Di Britain, Menteri Luar Encik David Lammy menyatakan kepada Sky News bahawa London akan menunggu perkembangan lanjut sebelum mempertimbangkan tindakan tambahan. “Kami mahu melihat gencatan senjata dalam masa terdekat,” katanya.

Israel dan Hamas kini terlibat dalam rundingan tidak langsung di Doha bagi mencapai gencatan senjata selama 60 hari serta perjanjian pembebasan tebusan. Namun, sehingga kini belum ada petanda kemajuan.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sebanyak 875 kematian telah direkodkan dalam masa enam minggu kebelakangan ini di tapak bantuan yang dikendalikan oleh GHF serta konvoi lain. Majoriti mangsa terbunuh berhampiran tapak GHF, manakala selebihnya di sepanjang laluan konvoi bantuan lain.

GHF sebelum ini menafikan dakwaan PBB, menyatakan bahawa insiden tersebut tidak berlaku di tapaknya dan menuduh PBB menyebar maklumat yang salah, satu dakwaan yang dinafikan oleh UNRWA. Kementerian Luar Israel dan agensi penyelaras bantuan tentera Israel (COGAT) tidak memberikan sebarang komen setakat ini. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg