GAZA: Di tengah runtuhan Hospital Al-Shifa yang suatu ketika dahulu merupakan kompleks perubatan terbesar di Gaza, seramai 168 doktor Palestin menerima pensijilan perubatan lanjutan mereka dalam satu upacara graduasi yang sarat dengan simbol ketahanan dan kelangsungan hidup.
Majlis graduasi itu berlangsung pada 25 Disember di hadapan bangunan musnah Kompleks Perubatan Al-Shifa di Bandar Gaza.
Para graduan, yang menamakan diri mereka sebagai “Kohort Kemanusiaan”, berjaya menamatkan pensijilan Lembaga Perubatan Palestin selepas dua tahun perang Israel yang memusnahkan sebahagian besar sistem kesihatan di wilayah itu.
Para doktor berkenaan menjalani pengajian, menduduki peperiksaan dan terus bertugas di hospital-hospital Gaza dalam keadaan kekurangan makanan, pemindahan paksa serta serangan berterusan. Sebahagian daripada mereka cedera, ditahan, atau kehilangan ahli keluarga sepanjang tempoh tersebut.
Pegawai Kementerian Kesihatan Gaza, Encik Youssef Abu al-Reish, menyifatkan majlis itu sebagai kelulusan yang lahir daripada penderitaan yang luar biasa. “Ini adalah graduasi dari rahim penderitaan, di bawah pengeboman, di tengah runtuhan dan aliran darah,” katanya.
Pengarah Perubatan Hospital Al-Shifa, Dr Mohammed Abu Salmiya, berkata serangan Israel terhadap kemudahan kesihatan bertujuan memusnahkan modal insan Palestin, namun usaha itu gagal.
“Mereka cuba menghancurkan modal insan Palestin melalui serangan ke atas hospital, tetapi mereka gagal,” katanya seperti dilaporkan Al Jazeera.
Seorang graduan, Dr Ahmed Basil, berkata pencapaian tersebut membawa mesej yang jelas kepada dunia bahawa rakyat Palestin tetap memilih kehidupan dan kemajuan ilmu walaupun berdepan kemusnahan.
“Mendapatkan ijazah lanjutan dalam keadaan paling sukar, di dalam bangunan yang musnah, adalah mesej bahawa kami cintakan kehidupan dan kekal komited terhadap kemajuan sains,” katanya.
Majlis graduasi itu turut menampilkan kerusi kosong yang memaparkan gambar petugas kesihatan yang terkorban sepanjang perang, sebagai penghormatan kepada mereka yang gugur ketika bertugas.
Hospital Al-Shifa telah berulang kali menjadi sasaran sejak perang bermula pada Oktober 2023. Kompleks itu diserbu dua kali oleh tentera Israel, kali pertama pada November 2023 apabila Dr Abu Salmiya sendiri ditahan selama tujuh bulan, dan kali kedua pada Mac 2024 yang mengakibatkan kemusnahan besar terhadap kemudahan hospital.
Penilaian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada awal April 2024 mendapati Hospital Al-Shifa berada dalam keadaan hampir musnah sepenuhnya. Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, menggambarkannya sebagai “sekadar cangkerang kosong yang dipenuhi kubur manusia”. Walaupun beberapa bahagian telah melalui pembaikan terhad, sebahagian besar kompleks perubatan itu masih rosak teruk dan tidak lagi berfungsi.
Kemerosotan Hospital Al-Shifa mencerminkan kempen lebih meluas terhadap sistem kesihatan Gaza. Daripada 36 hospital di wilayah itu, hanya 18 masih berfungsi secara separa setakat pertengahan Disember, dengan hampir semua hospital lapangan beroperasi di bawah kekangan serius.
Lebih 18,500 pesakit kritikal, termasuk 4,000 kanak-kanak, memerlukan pemindahan perubatan yang sebahagian besarnya masih tidak dapat dilaksanakan.
WHO merekodkan 825 serangan ke atas kemudahan kesihatan sejak Oktober 2023, mengorbankan 985 orang dan mencederakan kira-kira 2,000 yang lain.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, seramai 1,722 petugas kesihatan terbunuh dalam tempoh dua tahun lalu, manakala ratusan lagi ditahan. Sekurang-kurangnya lima petugas kesihatan dilaporkan meninggal dunia ketika dalam tahanan.
Walaupun dikelilingi kemusnahan dan kehilangan nyawa, graduasi di Al-Shifa menjadi simbol keazaman rakyat Palestin untuk terus hidup, berkhidmat dan mempertahankan kemanusiaan di tengah salah satu krisis kemanusiaan paling buruk di dunia. - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg