Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

168 doktor Palestin lulus sijil perubatan di sebalik runtuhan Gaza

Dec 29, 2025 | 1:02 PM
Gaza, kakitangan, perubatan
Majlis tamat pengajian di Hospital al-Shifa meraikan 168 doktor yang menerima sijil kepakaran di hadapan bangunan yang musnah di Kompleks Perubatan al-Shifa di Bandar Gaza. - Foto SAEED M M T JARAS

GAZA: Di tengah runtuhan Hospital al-Shifa yang suatu ketika dahulu merupakan kompleks perubatan terbesar di Gaza, seramai 168 doktor Palestin menerima sijil perubatan lanjutan dalam satu majlis tamat pengajian yang sarat dengan simbol daya ketahanan dan kelangsungan hidup.

Majlis itu berlangsung pada 25 Disember di hadapan bangunan musnah Kompleks Perubatan al-Shifa di Bandar Gaza.

Lulusan yang menyifatkan diri mereka sebagai, ‘Kohort Kemanusiaan’, berjaya menamatkan pensijilan Lembaga Perubatan Palestin selepas dua tahun perang Israel yang memusnahkan sebahagian besar sistem kesihatan di wilayah itu.

Para doktor berkenaan menjalani pengajian, menduduki peperiksaan dan terus bertugas di hospital Gaza dalam keadaan kekurangan makanan, pemindahan paksa serta serangan berterusan.

Sebahagian daripada mereka cedera, ditahan, atau kehilangan ahli keluarga sepanjang tempoh tersebut.

Pegawai Kementerian Kesihatan Gaza, Encik Youssef Abu al-Reish, menyifatkan majlis itu sebagai kelulusan yang lahir daripada penderitaan luar biasa.

“Ini adalah upacara penyampaian kelulusan dari rahim penderitaan, di bawah pengeboman, di tengah runtuhan dan pengaliran darah,” katanya.

Pengarah Perubatan Hospital al-Shifa, Dr Mohammed Abu Salmiya, berkata serangan Israel terhadap kemudahan kesihatan bertujuan memusnahkan modal insan Palestin, namun usaha itu gagal.

“Mereka cuba menghancurkan modal insan Palestin melalui serangan ke atas hospital, tetapi mereka gagal,” katanya seperti dilaporkan, Al Jazeera.

Seorang lulusan, Dr Ahmed Basil, berkata pencapaian tersebut membawa mesej jelas kepada dunia bahawa rakyat Palestin tetap memilih kehidupan dan kemajuan ilmu walaupun berdepan kemusnahan.

“Mendapatkan ijazah lanjutan dalam keadaan paling sukar, di dalam bangunan yang musnah, adalah mesej bahawa kami cintakan kehidupan dan kekal komited terhadap kemajuan sains,” katanya.

Majlis itu turut menampilkan kerusi kosong yang memaparkan gambar petugas kesihatan yang terkorban sepanjang perang, sebagai penghormatan kepada mereka yang gugur ketika bertugas.

Hospital al-Shifa telah berulang kali menjadi sasaran sejak perang bermula pada Oktober 2023.

Kompleks itu diserbu dua kali oleh tentera Israel.

Kali pertama pada November 2023 apabila Dr Abu Salmiya, sendiri ditahan selama tujuh bulan; dan kali kedua pada Mac 2024 yang mengakibatkan kemusnahan besar terhadap kemudahan hospital.

Penilaian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada awal April 2024 mendapati Hospital al-Shifa berada dalam keadaan hampir musnah sepenuhnya.

Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, menyifatkannya sebagai “sekadar cangkerang kosong yang dipenuhi kubur manusia”.

Walaupun beberapa bahagian telah melalui pembaikan terhad, sebahagian besar kompleks perubatan itu masih rosak teruk dan tidak lagi berfungsi.

Kemerosotan Hospital al-Shifa mencerminkan kempen lebih meluas terhadap sistem kesihatan Gaza.

Daripada 36 hospital di wilayah itu, hanya 18 masih berfungsi hanya sebahagian setakat pertengahan Disember, dengan hampir semua hospital lapangan beroperasi di bawah kekangan serius.

Lebih 18,500 pesakit tenat, termasuk 4,000 kanak-kanak, memerlukan pemindahan perubatan yang sebahagian besarnya masih tidak dapat dilaksanakan.

WHO merekodkan 825 serangan ke atas kemudahan kesihatan sejak Oktober 2023, mengorbankan 985 orang dan mencederakan kira-kira 2,000 yang lain.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, seramai 1,722 petugas kesihatan terbunuh dalam tempoh dua tahun lalu, manakala ratusan lagi ditahan.

Sekurang-kurangnya lima petugas kesihatan dilaporkan meninggal dunia ketika dalam tahanan.

Walaupun dikelilingi kemusnahan dan kehilangan nyawa, upacara di al-Shifa itu menjadi simbol keazaman rakyat Palestin untuk terus hidup, berkhidmat dan mempertahankan kemanusiaan di tengah salah satu krisis kemanusiaan paling buruk di dunia. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg