Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jumlah jemaah di Masjidil Haram catat rekod baru lebih 4.2j orang

Mar 27, 2025 | 11:20 AM
Dalam satu pencapaian luar biasa yang mencatat rekod baru, Masjidil Haram di Makkah menerima kehadiran lebih 4.2 juta anggota jemaah, termasuk 200,000 anggota jemaah yang hadir sempena malam ke-27 Ramadan.
Dalam satu pencapaian luar biasa yang mencatat rekod baru, Masjidil Haram di Makkah menerima kehadiran lebih 4.2 juta anggota jemaah, termasuk 200,000 anggota jemaah yang hadir sempena malam ke-27 Ramadan. - Foto SPA

MAKKAH: Jutaan umat Islam dari seluruh dunia membanjiri Masjidil Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah pada malam ke-27 Ramadan bagi menunaikan solat isyak, tarawih dan qiamullail dalam usaha meraih keberkatan malam yang diyakini sebagai lailatulqadar – malam yang lebih baik daripada 1,000.

Menurut laporan rangkaian televisyen Saudi, Al-Ekhbariya, jumlah jemaah di Masjidil Haram sahaja mencatat rekod baru dengan kehadiran melebihi 4.2 juta orang, termasuk seramai 200,000 anggota jemaah yang hadir pada malam 26 Mac.

Angka itu menjadikan malam ke-27 pada 2025 sebagai antara perhimpunan rohani terbesar dalam sejarah bulan Ramadan di dua masjid suci umat Islam.

Seluruh ruang masjid termasuk aras bawah, bumbung, kawasan peluasan, halaman luar dan barisan jemaah dari pelbagai negara turut melimpah ke jalan-jalan utama di sekitar kawasan haram, menggambarkan betapa besarnya kerinduan umat Islam terhadap malam penuh keberkatan itu.

“Lailatulqadar sekadar malam ibadah, tetapi saat yang dinanti seluruh dunia Islam. Hati yang hadir malam ini datang membawa harapan, air mata, dan doa,” kata Ketua Presidensi Hal Ehwal Dua Masjid Suci, Syeikh Abdurahman Al-Sudais, yang turut mengimamkan doa selepas solat malam.

Hujan rahmat yang turun membasahi dataran Masjidil Haram menambah keinsafan dan kekhusyukan anggota jemaah.

Ramai yang tetap sujud dan berdoa di bawah hujan, tidak berganjak dari tempat masing-masing, menjadikan malam tersebut satu pengalaman rohani yang luar biasa.

Bagi memastikan kelancaran dan keselamatan jemaah, pihak Presidensi Hal Ehwal Dua Masjid Suci melaksanakan pelan operasi rapi dan menyeluruh.

Semua sumber manusia, mekanikal, dan logistik digerakkan, termasuk kerjasama rapat dengan pasukan keselamatan dan agensi kerajaan lain.

Seawal pagi 26 Mac, kemasukan jemaah ke dalam Masjidil Haram berlaku secara berterusan.

Setiap ruang seperti anjung, tingkat bawah tanah, bumbung, halaman luar dan kawasan perluasan ketiga Arab Saudi dipenuhi jemaah.

Tempahan bagi perkhidmatan seperti kereta sorong, kereta elektrik dan aplikasi, ‘Tanaqol’ turut dioptimumkan untuk membantu pergerakan jemaah, termasuk golongan warga emas dan individu kurang upaya.

Kemudahan di ruang Mataf (kawasan tawaf) turut disediakan bagi menampung sehingga 107,000 anggota jemaah sejam.

Lebih 428 tangga bergerak, 28 lif, serta 1,300 pembesar suara moden diaktifkan.

Kuasa penyejukan sebanyak 90,000 tan turut dibekalkan untuk menjamin keselesaan jemaah sepanjang malam.

Pembersihan diperhebat, sistem pendingin udara dan pengudaraan diselaraskan, dan Al-Quran dalam pelbagai bahasa disediakan agar ibadah dapat dilakukan dalam suasana selesa dan tenteram.

Jabatan Kesihatan Wilayah Makkah turut menambah baik perkhidmatannya dengan menempatkan pusat perubatan di dalam Masjidil Haram dan sekitarnya.

Ia bersedia memberikan rawatan kecemasan dan perkhidmatan kesihatan kepada jemaah.

Lebih 400 pengakap daripada Persatuan Pengakap Arab Saudi ditugaskan membantu kawalan orang ramai.

Mereka mengurus pergerakan jemaah, membantu individu yang tersesat, mengurangkan kesesakan, serta menyokong operasi kecemasan kesihatan di hospital seperti Ajyad dan pusat perubatan berhampiran masjid.

“Pengakap kami bukan sekadar membimbing arah, bahkan juga menjadi jambatan antara petugas dengan jemaah bagi memastikan ibadah dapat dilakukan dengan aman dan selesa,” ujar seorang pegawai pengakap, Encik Mohammed Al-Qahtani.

Di Masjid Nabawi, ruang solat telah dipenuhi sejak awal pagi oleh jemaah tempatan dan antarabangsa.

Segala persiapan seperti permaidani, pembersihan, air zamzam, pewangi dan perkhidmatan tandas dijalankan dengan teliti.

Sistem pemantauan digital juga digunakan bagi memastikan tahap kepuasan tinggi dalam kalangan pengunjung.

“Kami ingin pastikan setiap pengunjung berasa ketenangan dan keselamatan semasa berada di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, agar mereka dapat beribadah sepenuh hati,” kata seorang pegawai kanan Presidensi Masjidil Haram, Dr Khalid Al-Harbi. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg