SANAA (Yaman): Israel melancarkan serangan terhadap ibu kota Yaman, Sanaa, pada 24 Ogos sebagai tindakan balas terhadap peluru berpandu Houthi yang diluncurkan ke arah Israel, dengan seorang pegawai kesihatan Houthi berkata serangan itu membunuh enam orang dan mencederakan 86 yang lain.
Serangan itu adalah yang terbaru dalam tempoh lebih setahun selepas serangan langsung dan serangan balas antara Israel dengan militan Houthi di Yaman, sebagai limpahan daripada perang di Gaza.
Tentera Israel berkata sasaran termasuk kawasan yang menempatkan istana presiden, dua loji jana kuasa dan tapak simpanan bahan api.
Serangan itu mengorbankan enam orang dan mencederakan 86 lagi dalam jumlah terakhir, kata jurucakap Kementerian Kesihatan Houthi menerusi platform X.
“Serangan itu dilakukan sebagai tindak balas kepada serangan berulang oleh Houthi terhadap Israel dan orang awamnya, termasuk pelancaran peluru berpandu permukaan ke permukaan ke arah wilayah Israel sejak kebelakangan ini,” kata tentera Israel dalam satu kenyataan.
Pada 22 Ogos, Houthi berkata mereka telah meluncurkan peluru berpandu balistik ke arah Israel dalam serangan terbaru mereka, sebagai tanda menyokong rakyat Palestin di Gaza.
Seorang pegawai tentera udara Israel berkata pada 24 Ogos bahawa peluru berpandu itu berkemungkinan besar membawa bersamanya bahan letupan dengan tujuan meledakkannya apabila terkena sasaran.
“Ini adalah kali pertama peluru berpandu jenis ini dilancarkan dari Yaman,” kata pegawai itu.
Sejak perang Israel di Gaza menentang kumpulan Hamas bermula pada Oktober 2023, Houthi yang bersekutu dengan Iran telah menyerang kapal di Laut Merah dalam apa yang mereka sifatkan sebagai tindakan perpaduan dengan rakyat Palestin.
Mereka juga sering melepaskan peluru berpandu ke arah Israel, yang kebanyakannya telah dipintas.
Israel telah bertindak balas dengan serangan ke atas kawasan yang dikuasai Houthi di Yaman, termasuk pelabuhan penting Hodeidah.
Encik Abdul Qader al-Murtada, seorang pegawai kanan Houthi, berkata pada 24 Ogos bahawa Houthi, yang mengawal sebahagian besar Yaman, akan terus bertindak dalam perpaduan dengan rakyat Palestin di Gaza. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg