RAMALLAH: Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, pada 23 April menggesa kumpulan pejuang Hamas agar menyerahkan tanggungjawab pentadbiran Jaluran Gaza kepada Penguasa Palestin (PA), meletakkan senjata, dan beralih menjadi sebuah parti politik.
Gesaan itu disuarakan Encik Abbas dalam satu ucapan di Ramallah, Tebing Barat, sempena pertemuan penting di mana beliau dijangka menamakan pengganti, sebagai langkah untuk menangani keraguan antarabangsa terhadap keupayaan PA dalam saat kritikal bagi rantau ini.
“Hamas mesti menyerahkan tanggungjawab pentadbiran Gaza dan menyerahkan senjata kepada Penguasa Palestin serta berubah menjadi parti politik,” tegas Encik Abbas.
Hamas sebelum ini telah menolak gesaan Israel dan Amerika Syarikat supaya meletakkan senjata. Kumpulan itu juga menentang pendekatan damai yang dibawa oleh Encik Abbas terhadap Israel, dan mendakwa Presiden Palestin bertindak keras terhadap kumpulan-kumpulan pejuang di Tebing Barat yang diduduki Israel.
Dalam ucapannya, Encik Abbas turut mengkritik serangan yang dilancarkan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023, yang menurutnya telah memberikan alasan kepada Israel untuk melancarkan serangan ketenteraan besar-besaran ke atas Gaza.
Israel bertindak balas terhadap serangan itu dengan melancarkan kempen ketenteraan terhadap Hamas di wilayah tersebut.
Setakat ini, pihak Hamas belum mengeluarkan sebarang komen balas terhadap kenyataan terbaru Encik Abbas.
Encik Abbas turut merayu kepada pemimpin dunia agar memaksa Israel menamatkan perang di Gaza, mengundurkan tenteranya, dan menghentikan aktiviti penempatan haram Yahudi.
Beliau menegaskan bahawa keamanan tidak akan tercapai selagi rakyat Palestin belum berjaya menubuhkan sebuah negara merdeka berdasarkan sempadan sebelum perang Asia Barat 1967.
“Tiada keamanan tanpa negara Palestin yang merdeka dalam sempadan 1967,” kata Encik Abbas, merujuk kepada matlamat utama perjuangan Palestin sejak sekian lama. - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg