Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Abbas hargai deklarasi huraian dua negara, iktiraf negara Palestin

Perancis dengan gabungan 14 negara gesa dunia segera iktiraf; henti perang Gaza
Jul 31, 2025 | 11:09 AM
humanitarian, palestin, gaza, beit lahia
Penduduk Palestin duduk di atas bekalan bantuan yang dibawa masuk ke Gaza melalui Israel, di Beit Lahia, utara Jaluran Gaza, pada 30 Julai. - Foto REUTERS

RAMALLAH: Presiden Penguasa Palestin (PA), Encik Mahmoud Abbas menyifatkan pengumuman bersama sekumpulan negara yang menyokong pengiktirafan terhadap negara Palestin sebagai satu langkah bersejarah, sekali gus memperkukuh komitmen antarabangsa terhadap penyelesaian dua negara.

Dalam satu kenyataan yang dipetik agensi berita rasmi Palestin, Wafa, Encik Abbas memuji ketegasan negara sahabat yang menyokong hak Palestin untuk merdeka dan hidup berdampingan secara aman bersama Israel.

“Pengiktirafan terhadap negara Palestin oleh negara ini, atau kesediaan mereka berbuat demikian, ialah langkah bersejarah ke arah mencapai keamanan yang adil dan menyeluruh serta memperkukuh usaha antarabangsa untuk menamatkan penjajahan Israel dan menubuhkan negara Palestin yang merdeka dengan Baitulmakdis Timur sebagai ibu negaranya,” kata Encik Abbas.

Presiden Abbas turut mengulangi janjinya sendiri untuk merealisasikan matlamat itu.

Beliau menyeru negara lain agar menyahut seruan tersebut dan menyumbang kepada kemajuan proses politik berasaskan visi dua negara yang diyakini akan membawa keselamatan dan kestabilan kepada seluruh rantau Asia Barat.

Majoriti negara anggota PBB sebanyak 147 daripada 193 negara telah pun mengiktiraf negara Palestin, yang kini memegang status pemerhati di PBB.

Dalam tempoh seminggu lalu, tiga lagi negara yang merupakan sekutu rapat Amerika Syarikat, Perancis, Britain dan Canada mengumumkan hasrat untuk menyertai kumpulan tersebut.

Langkah Canada itu menyusuli pengumuman Perancis bahawa ia akan mengiktiraf Palestin pada September, diikuti oleh Britain.

Encik Abbas menyambut baik pendirian Canada yang diumumkan Perdana Menterinya, Encik Mark Carney, yang menyatakan niat untuk mengiktiraf negara Palestin pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada September ini.

Menurut Wafa, dalam satu panggilan telefon bersama Encik Carney, Encik Abbas menyifatkan langkah Canada itu sebagai “bersejarah” dan bakal menyumbang kepada “keamanan, kestabilan dan keselamatan serantau”.

Malah, pada 30 Julai, seramai 15 menteri luar negara seperti Andorra, Australia, Finland, Perancis, Iceland, Ireland, Luxembourg, Malta, New Zealand, Norway, Portugal, San Marino, Slovenia dan Sepanyol telah menandatangani satu pengisytiharan bersama yang diketuai Perancis, yang menyeru gencatan senjata segera di Gaza dan satu dorongan antarabangsa baru bagi penyelesaian dua negara.

“Kami, Menteri-Menteri Luar dari 15 negara ini, mengulangi komitmen teguh kami terhadap visi penyelesaian dua negara,” kata kenyataan rasmi Kementerian Luar Perancis, seperti dilaporkan oleh agensi berita Anadolu.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas satu persidangan peringkat tinggi mengenai pelaksanaan penyelesaian dua negara yang diadakan di Ibu Pejabat PBB di New York.

Persidangan itu dipengerusikan bersama oleh Perancis dan Arab Saudi, dan bertujuan menghidupkan kembali proses damai antara Israel dengan Palestin.

“Kami menyatakan hasrat mengiktiraf negara Palestin dan mengajak negara lain yang belum berbuat demikian untuk menyertai kami,” kata Menteri Luar Perancis, Encik Jean-Noel Barrot menerusi kenyataan di platform media sosial X.

Menurut pengisytiharan bersama itu, negara penandatangan menegaskan bahawa dua negara demokratik Israel dan Palestin mesti wujud secara aman dalam sempadan yang selamat dan diiktiraf di peringkat antarabangsa, selaras dengan undang-undang antarabangsa dan resolusi berkaitan PBB.

Mereka turut menekankan pentingnya penyatuan Jaluran Gaza dan Tebing Barat di bawah pentadbiran Penguasa Palestin.

Persidangan itu turut menerima sokongan Kesatuan Eropah (EU) dan Liga Arab, yang menyokong dokumen tujuh muka surat yang dipersetujui di PBB, menyeru penyelesaian dua negara dan pengakhiran pemerintahan Hamas di Gaza.

Sebanyak 17 negara, termasuk EU dan Liga Arab, menyertai seruan agar Hamas melucutkan senjata dan menamatkan kuasa pemerintahannya di Gaza sebagai sebahagian daripada usaha untuk menamatkan perang yang dahsyat di wilayah Palestin itu.

Persidangan tersebut yang pada asalnya dijadualkan berlangsung pada bulan Jun, telah ditangguhkan dan dikurangkan tahapnya daripada kehadiran pemimpin dunia kepada peringkat menteri. Lapan kumpulan kerja peringkat tinggi telah ditubuhkan untuk merangka cadangan mengenai pelbagai isu yang berkaitan dengan pelaksanaan penyelesaian dua negara.

Hasil daripada rundingan tersebut, satu pengisytiharan rasmi dikenali sebagai “Deklarasi New York” telah dikeluarkan, yang mengandungi pelan bertahap, termasuk seruan agar negara mengiktiraf negara Palestin, melucutkan senjata Hamas, dan menyerahkan pentadbiran Gaza kepada Penguasa Palestin.

“Dalam konteks menamatkan perang di Gaza, Hamas mesti menamatkan pemerintahannya di Gaza dan menyerahkan senjata kepada Penguasa Palestin, dengan penglibatan dan sokongan antarabangsa, sejajar dengan matlamat menubuhkan sebuah Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat,” demikian menurut deklarasi itu.

Namun begitu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menolak sepenuhnya penyelesaian dua negara, dan mengecam persidangan itu atas alasan kebimbangan keselamatan dan nasionalisme.

Amerika Syarikat, sekutu rapat Israel, turut memboikot persidangan berkenaan.

Penganalisis antarabangsa menyifatkan pengumuman ini mencerminkan kekecewaan mendalam masyarakat antarabangsa terhadap tindakan Israel dalam perang di Gaza yang telah mengorbankan puluhan ribu rakyat Palestin dan menyebabkan hampir dua juta penduduk hidup dalam penderitaan dan kelaparan yang melampau.

Pada 2024, beberapa negara Eropah termasuk Sepanyol, Ireland dan Norway telah mengambil langkah mengiktiraf negara Palestin, dan gelombang sokongan ini kini semakin berkembang. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg