Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Aliran jemaah padat di Masjidil Haram selepas tawaf wada

Ramai tinggalkan Makkah lebih awal bagi ke Madinah selepas tunai tawaf selamat tinggal
Jun 9, 2025 | 11:06 AM
Masjidil Haram, Haji 2025, tawaf
Jemaah haji yang memilih untuk berangkat awal setelah menunaikan tawaf selamat tinggal pada Ahad 8 Jun telah menyebabkan keadaan aliran jemaah yang sangat padat di perkarangan Masjidil Haram. - Foto INSTAGRAM HARAMAIN.INFO

MAKKAH: Masjidil Haram menyaksikan aliran jemaah yang amat padat pada 8 Jun apabila ribuan jemaah menunaikan tawaf wada atau tawaf selamat tinggal, menandakan tamatnya ibadah Haji mereka.

Keadaan sesak di perkarangan masjid ini berlaku apabila ramai jemaah memilih untuk meninggalkan Makkah lebih awal selepas menyelesaikan ibadah utama.

Menurut laporan Agensi Berita Saudi (SPA), kadar pergerakan jemaah di Masjidil Haram melepasi 107,000 orang sejam, melebihi kapasiti operasi biasa.

Kejayaan pengurusan aliran ini disumbang oleh tahap kesiapsiagaan yang tinggi oleh Presidensi Am bagi Hal Ehwal Dua Masjid Suci serta penyelarasan bersama agensi berkaitan.

“Segala sumber telah digerakkan secara maksimum bagi memastikan pergerakan jemaah kekal lancar dan selamat,” menurut kenyataan rasmi Presidensi Am itu.

Antara perkhidmatan yang disediakan termasuk 400 kereta elektrik, lebih 10,000 kerusi roda manual dan automatik, serta 210 pintu gerbang pintar yang membantu mengawal aliran keluar masuk jemaah.

Langkah ini dilihat sebagai sebahagian daripada pelan operasi haji yang menyeluruh tahun 2025 ini.

Perkhidmatan tambahan seperti troli wuduk mudah alih dan kawasan khas penyimpanan beg turut disediakan untuk memudahkan pergerakan jemaah semasa tawaf dan sa’i.

Di kawasan antara Bukit Safa dan Marwa sahaja, kapasiti maksimum mencecah 118,000 jemaah setiap jam.

Perkarangan masjid turut dilengkapi dengan dua buah hospital, 99 tandas dan lebih 50 pusat panduan lapangan yang disokong oleh pasukan berjalan kaki bagi membantu dan membimbing jemaah.

Sementara itu, pihak berkuasa di Madinah turut memperhebat persiapan menerima kedatangan jemaah yang selesai menunaikan Haji dan akan melawat Masjid Nabawi.

Usaha ini berada di bawah pengawasan langsung Emir Wilayah Madinah, Putera Salman bin Sultan, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Haji dan Ziarah.

“Agensi berkaitan sedang melaksanakan rancangan operasi pasca-Haji yang komprehensif bagi memastikan kelancaran dan keselesaan jemaah semasa ziarah di Madinah,” jelas seorang pegawai tempatan.

Kumpulan pertama jemaah mula tiba pada malam Ahad 8 Jun melalui perkhidmatan bas dan kereta api laju Haramain.

Langkah keselamatan dan pemantauan trafik turut dilaksanakan di Lebuh Raya Hijrah serta jalan dari Qassim dan Tabuk bagi memastikan aliran trafik kekal lancar.

Pihak Berkuasa Am bagi Hal Ehwal Masjid Nabawi telah melancarkan pelan integrasi bagi memastikan kesucian, kebersihan dan keselesaan masjid sentiasa terpelihara.

Sebanyak 141 pintu akan dibuka dan 100 laluan pergerakan dikawal oleh pasukan petugas pengurusan laluan menyusun atur pergerakan jemaah dalam kawasan masjid.

Untuk akses ke kawasan suci di dalam masjid, Al-Rawdah Al-Sharif, pihak berkuasa memperkenalkan sistem tempahan janji temu melalui aplikasi rasmi.

Skrin digital dipasang bagi membimbing jemaah masuk melalui pintu yang ditetapkan, dan botol air Zamzam turut diedarkan untuk menyemarakkan pengalaman rohani.

Sejak 15 Zulkaedah hingga 1 Zulhijjah, seramai 12.9 juta umat Islam dari seluruh dunia telah mengunjungi Masjid Nabawi, manakala seramai 666,580 jemaah telah memasuki kawasan Al-Rawdah.

Antara khidmat lain termasuk pengangkutan kepada 161,802 penerima manfaat, pengagihan 301,802 pek makanan serta 218,336 botol air Zamzam dengan jumlah penggunaan mencecah 3,360 tan.

Kerja pembersihan turut dilaksanakan secara intensif, termasuk pengumpulan 312 tan sampah, penggunaan 41,675 liter bahan pembasmi kuman dan pewangi.

Masjid turut disemarakkan dengan haruman 7 kilogram gaharu dan 39 liter minyak wangi bermutu tinggi.

Pihak berkuasa turut mengingatkan para jemaah agar menjaga adab dan kesopanan ketika mengunjungi Masjid Nabawi.

“Setiap solat di masjid ini bersamaan dengan 1,000 solat di tempat lain, kecuali Masjidil Haram,” menurut papan maklumat rasmi.

Hanya lelaki dibenarkan menziarahi makam Nabi Muhammad saw manakala wanita dinasihatkan supaya tidak berbuat demikian berdasarkan pendapat ulama yang lebih kuat.

Ziarah ke Masjid Quba’ digalakkan kerana ganjarannya seperti menunaikan umrah.

Segala usaha ini adalah manifestasi komitmen tinggi pihak kepimpinan Arab Saudi di bawah titah Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud dan Putera Mahkota Mohammed bin Salman, untuk memastikan tetamu Allah menjalani ibadah dan ziarah dalam suasana selamat, selesa dan penuh keberkatan. - Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg