MAKKAH: Tren Metro Mashaer menjadi antara wadah pengangkutan utama jemaah haji dengan lebih 1.2 juta dhuyufurrahman dilaporkan menggunakan perkhidmatan itu sepanjang tempoh lima hari operasi sejak 7 Jun lalu.
Dengan keupayaan mengendalikan sehingga 72,000 penumpang sejam, perkhidmatan itu jelas menjadi pilihan terutama bagi jemaah yang ingin mengelak risiko terdedah suhu panas melampau ketika berjalan kaki ke destinasi.
Jurucakap rasmi Saudi Arabia Railways (SAR), Encik Khalid Al Farhan, berkata perkhidmatan yang hanya beroperasi tujuh hari dalam setahun itu mempunyai lima mod pergerakan mengikut pergerakan jemaah.
“Pada hari pertama (operasi), tren akan berhenti di semua stesen, manakala hari kedua hanya untuk dari Mina ke Arafah.
“Selepas itu dari Arafah dan Muzdalifah.. semua ini direka untuk musim haji, setiap hari pergerakannya bertukar,” katanya pada sidang media di Stesen Mina 3, pada 8 Jun, yang dihadiri Berita Harian Malaysia (BHM).
Terdahulu, Encik Khalid membawa pengamal media antarabangsa yang menerima jemputan haji Kementerian Media Arab Saudi meninjau serta merasai sendiri pengalaman menggunakan perkhidmatan itu di Stesen Mina 3 (berdekatan Jamarat).
Ini satu daripada sembilan stesen di sepanjang laluan tren, yang mana di Mina ia berakhir di kawasan untuk melontar Jamrah dan stesen terakhir daripada Mina ini iaitu kesembilan ialah stesen pertama di Arafah.
Terdahulu, SAR melaporkan segala persiapan operasi dengan kerjasama pelbagai pihak berkaitan, khususnya pihak keselamatan dan agensi perkhidmatan.
Persiapan menyeluruh ini merangkumi hampir 12,000 perjalanan percubaan sejak Januari lalu, selain empat latihan simulasi penuh yang meniru secara tepat suasana sebenar musim haji bagi menguji kesiapsiagaan sistem, tren dan stesen, serta memastikan operasi selamat dan cekap.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg