Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Amerika ancam hancurkan Houthi jika serangan di Laut Merah tidak dihenti

Kempen mungkin berterusan selama beberapa minggu lagi, Houthi sedia menentang
Mar 17, 2025 | 1:27 PM
Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, telah mengarahkan tenteranya menyerang Houthi di Yaman pada 16 Mac.
Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, telah mengarahkan tenteranya menyerang Houthi di Yaman pada 16 Mac. - Foto REUTERS

WASHINGTON/ADEN (Yaman): Amerika Syarikat akan terus menyerang Houthi di Yaman sehingga mereka menamatkan serangan ke atas kapal, kata Setiausaha Pertahanan, Encik Pete Hegseth, pada 16 Mac.

Ini berlaku ketika kumpulan bersekutu Iran memberi isyarat bahawa serangan itu boleh meningkat sebagai tindak balas kepada serangan maut Amerika sehari sebelumnya.

Serangan udara, yang mengorbankan sekurang-kurangnya 31 orang dan mencederakan lebih 100 orang itu, adalah operasi ketenteraan terbesar Amerika di Timur Tengah sejak Presiden Donald Trump memegang jawatan pada Januari.

Kebanyakan daripada mereka yang terbunuh adalah wanita dan kanak-kanak, kata Encik Anees al-Asbahi, jurucakap Kementerian Kesihatan yang dikendalikan oleh Houthi.

Pegawai Amerika berkata kempen itu mungkin berterusan selama beberapa minggu.

Biro politik pergerakan Houthi menyifatkan serangan itu sebagai “jenayah perang” dan berkata tentera Houthi bersedia untuk menentang, manakala Moscow menggesa Washington supaya menghentikan serangan.

Encik Hegseth menarik perhatian dan berkata:

“Apabila Houthi berkata mereka akan berhenti menembak kapal anda, mereka akan berhenti menembak dron anda, kempen ini akan berakhir, tetapi sehingga itu ia tidak akan berhenti.

“Ini adalah mengenai menghentikan serangan ke atas aset dan membuka semula kebebasan pelayaran di laluan air kritikal yang merupakan kepentingan nasional teras Amerika.

“Iran telah membiarkan Houthi melakukannya terlalu lama. Lebih baik mereka berundur,” tegas Encik Hegseth.

Houthi, yang telah menguasai sebahagian besar Yaman sejak sedekad lalu, berkata mereka akan meneruskan serangan ke atas kapal-kapal Israel yang melalui Laut Merah melainkan ia menarik balik sekatan bantuan ke Gaza.

Mereka mendakwa melancarkan banyak serangan ke atas perkapalan selepas perang Israel dengan Hamas bermula pada 7 Oktober 2023 sebagai perpaduan dengan penduduk Palestin di Gaza.

Encik Trump juga memberitahu Iran, penyokong utama Houthi, supaya berhenti menyokong kumpulan itu serta-merta dan jika Iran mengancam negaranya, “Amerika akan membuatnya bertanggungjawab sepenuhnya”.

Sebagai tindak balas, Encik Hossein Salami, komander tertinggi Pengawal Revolusi Iran, berkata Houthi mengambil keputusan mereka sendiri.

“Kami memberi amaran kepada musuh kami bahawa Iran akan bertindak balas dengan tegas jika mereka melaksanakan ancaman mereka,” katanya kepada media pemerintah.

Setiausaha Negara Amerika, Encik Marco Rubio berkata dalam program CBS News bahawa Houthi tidak mungkin mempunyai keupayaan untuk melakukan perkara seperti ini melainkan mereka mendapat sokongan Iran.

“Jadi ini adalah mesej kepada Iran: Jangan terus menyokong mereka, kerana kemudian anda juga akan bertanggungjawab ke atas apa yang mereka lakukan dalam menyerang kapal tentera laut dan perkapalan sejagat,” tegas beliau.

Menteri Luar Russia, Encik Sergei Lavrov, telah menghubungi Encik Rubio untuk menggesa “pemberhentian serta-merta penggunaan kekerasan dan pentingnya semua pihak untuk terlibat dalam dialog politik”.

Encik Trump sebelum ini telah mendesak Russia supaya mempersetujui cadangan gencatan senjata selama 30 hari dalam perangnya dengan Ukraine, tetapi Moscow berkata butiran perjanjian perlu diolah semula.

Beliau turut meningkatkan tekanan sekatan dan berharap untuk mendapatkan bantuan Russia, bagi membawa Teheran ke meja rundingan mengenai program nuklearnya. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg