Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump lancar serangan udara besar di Yaman

Puluhan terkorban, kebanyakan wanita dan kanak-kanak, kata Kementerian Kesihatan Yaman
Mar 16, 2025 | 2:07 PM
Gambar edaran Pentadbiran Pusat (CENTCOM) Amerika Syarikat (AS) melalui X menunjukkan pasukan CENTCOM melancarkan operasi terhadap sasaran Houthi di seluruh Yaman.
Gambar edaran Pentadbiran Pusat (CENTCOM) Amerika Syarikat (AS) melalui X menunjukkan pasukan CENTCOM melancarkan operasi terhadap sasaran Houthi di seluruh Yaman. - Foto REUTERS

WASHINGTON/ADEN (Yaman):  Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump melancarkan serangan ketenteraan besar-besaran di Yaman pada 16 Mac, meragut nyawa sekurang-kurangnya 31 orang dalam kempen ke atas kumpulan Houthi yang dijangka berlarutan sehingga beberapa hari.

Serangan tersebut berikutan serangan Houthi ke atas kapal-kapal di Laut Merah. Encik Trump memberi amaran bahawa “neraka menanti” jika serangan itu tidak dihentikan.

Encik Trump juga memberi amaran kepada Iran, penyokong utama Houthi, supaya segera menghentikan sokongan terhadap kumpulan tersebut. Beliau berkata jika Iran mengancam Amerika Syarikat, “Amerika tidak akan bersikap lembut mengenainya!”

Serangan tersebut merupakan operasi ketenteraan terbesar Amerika di Timur Tengah sejak Encik Trump memegang jawatan, dan berlaku ketika Amerika meningkatkan tekanan sekatan ke atas Tehran yang bertujuan mengheret Iran ke meja rundingan mengenai program nuklearnya.

Sekurang-kurangnya 31 orang awam terbunuh dan 101 orang cedera - kebanyakannya wanita dan kanak-kanak - akibat serangan udara di Sanaa, Yaman, menurut kementerian kesihatan di sana yang dikendalikan oleh kumpulan Houthi.

Biro politik Houthi mengutuk serangan tersebut sebagai “jenayah perang” dan berkata pasukan bersenjata Yaman bersedia membalas.

Penduduk di Sanaa melaporkan bahawa serangan itu menghancurkan sebuah bangunan di kubu kuat Houthi.

“Letupan itu sangat kuat dan menggegarkan kawasan kejiranan seperti gempa bumi. Ia menakutkan wanita dan kanak-kanak kami,” kata seorang penduduk, Encik Abdullah Yahia, kepada Reuters.

Houthi, kumpulan bersenjata yang menguasai sebahagian besar Yaman, telah melancarkan lebih 100 serangan terhadap kapal sejak November 2023, mengganggu perdagangan global dan memaksa tentera Amerika bertindak dengan menembak jatuh peluru berpandu dan dron. Ini menghabiskan stok pertahanan udara Amerika.

Menurut Houthi, serangan ini sebagai tanda sokongan kepada rakyat Palestin berikutan operasi ketenteraan Israel di sana.

Walaupun sekutu Iran seperti Hamas dan Hezbollah dikatakan semakin lemah sejak konflik terkini bermula di Timur Tengah, Houthi terus aktif, menenggelamkan dua kapal, merampas satu, dan membunuh sekurang-kurangnya empat pelaut. Gangguan ini memaksa syarikat perkapalan mengubah laluan dan mengikuti laluan lebih jauh melalui selatan Afrika, menambah kos perdagangan.

Serangan di Yaman pada 15 Mac sebahagiannya dilakukan oleh pesawat dari kapal pengangkut pesawat Harry S. Truman di Laut Merah.

Komando Pusat Tentera Amerika menyifatkan serangan ini sebagai permulaan operasi besar-besaran di Yaman.

Encik Trump memberi amaran akan tindakan ketenteraan lebih berat terhadap Yaman, mengatakan serangan Houthi terhadap kapal Amerika tidak diterima.

Misi Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) belum memberikan respons apabila diminta mengulas oleh Reuters.

Pada 11 Mac, Houthi mengumumkan akan menyambung serangan terhadap kapal Israel yang melalui Laut Merah dan sekitarnya, mengakhiri tempoh tenang sejak gencatan senjata Gaza.

Serangan Amerika berlaku selepas surat Encik Trump kepada Ayatollah Ali Khamenei meminta rundingan dimulakan mengenai program nuklear Iran.

Namun, Ayatollah Khamenei menolak rundingan tersebut pada 12 Mac. Tehran juga bimbang tentang bantahan besar akibat kemarahan orang awam terhadap kesulitan ekonomi, kata pegawai Iran.

Pada 2024, serangan Israel ke atas kemudahan Iran, termasuk kilang peluru berpandu dan pertahanan udara, telah mengurangkan kemampuan ketenteraan Iran, menurut pegawai Amerika.

Iran menafikan keinginan membangunkan senjata nuklear namun telah mempercepat pengayaan uranium hingga 60 peratus, hampir dengan piawaian untuk menggunakan uranium untuk membuat senjata nuklear.

Negara Barat mengatakan tiada keperluan untuk pengayaan uranium setinggi itu dalam program awam, dan tiada negara lain melakukannya tanpa menghasilkan bom nuklear. Iran mendakwa program nuklearnya adalah aman. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg