Meningkatkan skim jaminan sebanyak RM1 bilion ($306.5 juta) untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), selain merancakkan aktiviti ekonomi di kawasan sempadan Malaysia seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) adalah antara intipati dalam enam strategi digariskan kerajaan Malaysia bagi mendepani impak tarif timbal balas Amerika Syarikat.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan juga bersetuju menambah dana pembiayaan mudah sebanyak RM500 juta melalui institusi pembangunan kewangan untuk manfaat usahawan PKS yang terjejas.
“Sebagai langkah permulaan, kerajaan bersetuju meningkatkan jaminan kerajaan sebanyak RM1 bilion di bawah Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) khusus untuk membantu pengeksport PKS yang terjejas mendapatkan pinjaman daripada bank komersial.
“Kerajaan akan terus memantau perkembangan semasa dan bersedia menyediakan bantuan bersasar kepada PKS yang secara langsung terjejas,” katanya ketika menyampaikan penerangan pada sidang khas Parlimen berkenaan isu tarif Amerika di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur, pada 5 Mei.
Seramai 23 Ahli Parlimen (AP) kerajaan dan pembangkang mengambil bahagian membahaskan isu tarif dikenakan Amerika, dengan Malaysia dijangka dikenakan kadar tarif sebanyak 24 peratus.
Walaupun kadar itu dilihat lebih sederhana berbanding beberapa negara lain, ia diramal memberi kesan kepada ekonomi Malaysia, terutama syarikat atau kilang yang mengeksport produk ke Amerika.
Presiden Amerika, Encik Donald Trump pada 10 April dilaporkan mempertimbangkan penangguhan 90 hari ke atas tarif timbal balik terhadap lebih 75 negara rakan dagang, termasuk Malaysia.
Ketika membahaskan isu tarif di Dewan Rakyat, AP Muar (Johor), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, menggesa Datuk Anwar supaya bersikap jujur menjelaskan kepada rakyat kesan tarif Amerika kepada Malaysia dan mencontohi Perdana Menteri Singapura, Encik Lawrence Wong.
Menurut Syed Saddiq penilaian Datuk Anwar bahawa Malaysia tidak akan begitu terkesan dengan tarif tersebut adalah tidak tepat.
“Perdana Menteri Singapura (Encik Wong) secara terbuka menjelaskan tarif itu akan memberi kesan besar terhadap pertumbuhan ekonomi republik berkenaan.
“Saya faham Datuk Anwar berniat baik dengan menyatakan banyak sektor di Malaysia akan dikecualikan, seperti sektor elektrik dan elektronik serta semikonduktor.
“Tetapi saya rasa kita perlu jujur dan ikhlas dalam menerangkan apa sebenarnya yang akan berlaku supaya rakyat tahu yang walaupun mungkin ada kesusahan dan kegawatan jangka pendek, tetapi dengan bantuan yang mencukupi, Malaysia boleh mara dan bangkit semula kepada keadaan lebih baik,” katanya.
Ketua Pembangkang yang juga AP Larut (Perak), Datuk Seri Hamzah Zainudin, serta AP Bagan Pinang (Pulau Pinang) merangkap veteran Parti Tindakan Demokratik (DAP), Encik Lim Guan Eng, pula mencadangkan kerajaan menangguhkan dasar fiskal akan datang, seperti penarikan subsidi petrol RON95 dan kenaikan tarif elektrik.
Dalam pada itu Datuk Anwar berkata Malaysia bersungguh-sungguh meneroka dan membuka pasaran perdagangan baru, sekali gus mengelak kebergantungan hanya kepada satu pasaran besar saja.
Katanya, langkah itu sudah dimulakan pentadbirannya sejak 2024, dalam kerangka Asean dan pertemuan dengan pemimpin utama negara teluk, China serta Brics (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan).
“Alhamdulillah, kita secara agresif membuka ruang perdagangan baru, meningkat kegiatan dengan rakan dagang sedia ada, Brics, Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang mana ini semua sudah membuahkan hasil,” katanya.
Jelas Datuk Anwar, Amerika merupakan destinasi terbesar bagi eksport barangan Malaysia berjumlah RM199 bilion, bersamaan 13 peratus daripada jumlah eksport Malaysia.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg