Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Anggota Majlis Keselamatan PBB, kecuali AS, sepakat kebuluran di Gaza krisis buatan manusia

Beri amaran guna kelaparan sebagai senjata perang dilarang undang-undang kemanusiaan
Aug 28, 2025 | 1:39 PM
Penduduk Gaza yang dilanda krisis kebuluran, berebut-rebut menantikan giliran bagi mendapatkan bantuan makanan yang diagihkan di dapur amal di Khan Younis, selatan Gaza.
Penduduk Gaza yang dilanda krisis kebuluran, berebut-rebut menantikan giliran bagi mendapatkan bantuan makanan yang diagihkan di dapur amal di Khan Younis, selatan Gaza. - Foto REUTERS

NEW YORK: Semua anggota Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kecuali Amerika Syarikat, pada 27 Ogos sepakat menyifatkan kebuluran di Gaza sebagai “krisis buatan manusia”.

Ia turut memberi amaran penggunaan kebuluran sebagai senjata perang adalah dilarang di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Dalam satu kenyataan bersama, 14 anggota majlis PBB menggesa diadakan gencatan senjata segera tanpa syarat dan kekal, pembebasan semua baki tebusan yang masih ditahan Hamas, serta peningkatan besar bantuan kemanusiaan di seluruh Gaza.

Kenyataan itu turut mendesak agar Israel, dengan segera dan tanpa syarat, menarik balik semua sekatan ke atas penghantaran bantuan.

“Kebuluran di Gaza mesti dihentikan segera. Masa adalah penting. Darurat kemanusiaan ini mesti ditangani tanpa berlengah-lengah dan Israel mesti berbalik arah,” tegas kenyataan itu.

Bandar Gaza dan kawasan sekitarnya secara rasmi mengalami kebuluran, dan ia mungkin merebak, kata badan pemantau kelaparan sejagat pada 22 Ogos.

Sistem Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC) berkata 514,000 orang – hampir satu perempat daripada rakyat Palestin di Gaza – sedang mengalami kebuluran dan ia dijangka meningkat kepada 641,000 menjelang akhir September.

Namun Israel meminta pemantau kelaparan sejagat itu supaya menarik balik penilaian tersebut.

Israel menolak hasil penemuan itu sebagai palsu dan mendakwa ia berat sebelah, sambil menyatakan tinjauan IPC itu berdasarkan data yang sebahagian besarnya disediakan Hamas, serta tidak mengambil kira kemasukan makanan baru-baru ini.

Pada mesyuarat Majlis Keselamatan PBB pada 27 Ogos, Pemangku Duta Besar Amerika ke PBB, Cik Dorothy Shea, pula mempersoalkan kebolehpercayaan dan kewibawaan laporan IPC itu, sambil berkata ia “tidak lulus ujian”.

“Kita semua menyedari bahawa kelaparan adalah isu sebenar di Gaza dan terdapat keperluan kemanusiaan yang penting yang mesti dipenuhi.

“Menangani keperluan itu adalah keutamaan bagi Amerika,” katanya kepada 15 anggota majlis itu.

Sementara itu, ketua pertubuhan amal, ‘Save the Children’, menggambarkan secara terperinci tentang penderitaan kanak-kanak yang kebuluran di Gaza, sambil berkata mereka amat lemah sehingga tidak mampu menangis.

Ketika berucap pada mesyuarat Majlis Keselamatan PBB mengenai konflik Israel-Palestin, presiden badan amal antarabangsa itu, Cik Inger Ashing, berkata kebuluran – yang diisytiharkan PBB minggu lalu sedang berlaku di Gaza – bukan sekadar istilah teknikal.

“Apabila tiada makanan yang mencukupi, kanak-kanak kekurangan zat makanan yang teruk, dan kemudian mereka mati secara perlahan-lahan dan menyakitkan.

“Ini, secara ringkasnya, ialah kebuluran,” kata Cik Ashing.

Beliau seterusnya menerangkan apa yang berlaku apabila seorang kanak-kanak mati kelaparan dalam tempoh beberapa minggu.

Tubuhnya mula-mula membakar lemaknya sendiri untuk terus hidup dan apabila lemak itu hilang, lalu secara harfiah ‘memakan’ dirinya sendiri apabila ia ‘memakan’ otot dan organ penting.

“Klinik-klinik kami hampir senyap. Sekarang, kanak-kanak itu tidak mempunyai kekuatan untuk bercakap mahupun menangis dalam kesakitan.

“Mereka berbaring di situ, kurus kering, benar-benar lesu,” kongsi Cik Ashing.

Serangan dahsyat Israel ke atas Gaza sejak Oktober 2023 telah membunuh lebih 62,000 rakyat Palestin, menurut pihak berkuasa kesihatan Gaza.

Bahkan, ia juga telah menyebabkan krisis kebuluran, penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal dan hampir seluruh wilayah itu bak padang jarak padang tekukur.

Serangan itu turut mendorong tuduhan pembunuhan beramai-ramai dan jenayah perang di mahkamah dunia – tuduhan yang Israel nafikan. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg