Lebih lapan tan daging korban, merangkumi lebih 17,300 makanan dalam tin sedia dimakan, telah dihantar kepada Pertubuhan Amal Jordan Hashemite (JHCO) di Amman, Jordan, pada 26 Ogos.
Dalam satu kenyataan SalamSG pada 27 Ogos, ia berkata makanan itu disesuaikan dengan cita rasa dan pilihan tempatan keluarga Palestin.
Ini merupakan penghantaran pertama daripada tiga peringkat yang akan dihantar ke Jordan.
Kenyataan itu turut menambah bahawa pemberian tersebut merupakan misi bantuan antarabangsa pertama SalamSG Korban dalam menyokong masyarakat yang terjejas akibat keadaan meruncing di Gaza, sejak ia ditubuhkan pada 2022.
Pengerusi bersama SalamSG Korban 2025, Encik Mohamed Imran Omar, menggariskan kepentingan pencapaian tersebut dan berkata kejayaan penyerahan tin makanan itu merupakan langkah penting dalam misi mereka untuk memberikan bantuan kemanusiaan kepada golongan yang paling memerlukan.
“Kami amat menghargai kerjasama dengan JHCO serta rakan-rakan lain, yang mempunyai pengalaman luas dalam operasi kemanusiaan di lapangan, memberikan keyakinan bahawa bantuan ini akan sampai kepada penerima yang disasarkan dengan selamat dan berkesan.
“Inisiatif ini mencerminkan semangat korban – prinsip pengorbanan dan belas kasihan terhadap mereka yang memerlukan, dengan memberikan sokongan untuk membantu keluarga dalam masa kesusahan,” katanya.
Encik Imran merupakan antara delegasi SalamSG Korban yang hadir ke ibu pejabat JHCO di Amman untuk menyaksikan penyerahan antara vendor yang dilantik oleh SalamSG, iaitu A2A Trading dan JHCO.
Delegasi tersebut sedang bekerjasama rapat dengan rakan kongsi untuk memastikan pengedaran berjalan dengan selamat walaupun menghadapi keadaan lapangan yang mencabar.
Sebanyak 200 tin lagi akan diedarkan kepada rakyat Palestin yang sedang dirawat di hospital Al-Mowasah, serta keluarga Palestin yang tinggal di kem pelarian di Amman.
Daging dalam tin itu ialah sebahagian daripada tempahan korban yang dilaksanakan masyarakat Islam Singapura pada Hari Raya Haji lalu melalui 53 masjid yang berada di bawah program SalamSG Korban 2025.
Daging kambing tersebut didermakan oleh sohibul korban, iaitu orang yang melakukan korban, kepada rakyat Palestin, khususnya masyarakat yang terjejas akibat keadaan di Gaza.
Daging dalam tin itu mempunyai jangka hayat tiga tahun, memastikan ia kekal selamat untuk dimakan.
Penghantaran pertama SalamSG Korban itu merupakan separuh daripada 16 tan daging korban yang diperuntukkan untuk diproses menjadi makanan dalam tin pada 2025, yang akan dihantar kepada masyarakat Palestin, termasuk mereka yang terjejas di Gaza.
Dua vendor lain yang dilantik oleh SalamSG Korban akan menyerahkan penghantaran kepada rakan kongsi di Jordan dalam beberapa minggu akan datang.
Memandangkan keadaan yang tidak menentu di Gaza, baki bekalan akan disimpan di gudang JHCO di Amman, sebelum dibawa ke Gaza.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg