TEHERAN: Konflik terbuka antara Republik Islam Iran dengan Israel kini memasuki fasa paling meruncing sejak Revolusi 1979.
Selepas rentetan serangan udara Israel yang membunuh lebih 240 rakyat Iran, termasuk beberapa pegawai tertinggi Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC), Teheran telah membalas secara langsung dengan serangan peluru berpandu balistik yang mengenai bandar utama Israel seperti Tel Aviv dan Haifa.
Tindakan itu menandakan perubahan mendadak daripada perang proksi kepada konfrontasi antara negara.
Persoalannya, apakah pilihan ketenteraan dan diplomatik yang masih terbuka untuk Iran, serta sejauh manakah ia mampu mengekalkan rentak tanpa menyeret Amerika Syarikat ke dalam kancah peperangan secara langsung?
Iran diyakini memiliki program peluru berpandu terbesar di Asia Barat, dengan ribuan peluru beraneka jarak dan kelajuan.
Serangan terkini memperlihat penggunaan sistem, Haj Qassem, peluru berpandu berkelajuan tinggi yang dilaporkan mampu mengelak pertahanan udara Israel.
Rakaman yang tular di media sosial Israel memaparkan lintasan peluru berpandu yang meluncur jauh lebih pantas dan menempuh jarak lebih jauh berbanding varian, Shahab, yang lebih perlahan.
Penganalisis pertahanan di Pusat Kajian Strategik Tel Aviv berhujah bahawa “serangan Haj Qassem menunjukkan Iran tidak lagi bergantung kepada roket era 1990-an. Mereka kini menguji generasi baru misil hipersonik”.
Namun begitu, jumlah peluru berpandu canggih seperti itu dipercayai terhad.
Justeru, Iran perlu mengatur penggunaannya secara strategik bagi memastikan keupayaan untuk terus melancarkan serangan ke pusat ekonomi utama Israel sekurang-kurangnya untuk beberapa minggu akan datang.
Ini termasuk menggabungkan peluru berpandu konvensional serta dron kamikaze sebagai sebahagian daripada pendekatan serangan bersepadu, lapor berita, Al Jazeera.
Sekiranya kadar serangan terus kekal tinggi, simpanan senjata Iran dijangka akan susut dengan lebih pantas berbanding keupayaan Israel untuk menambah bekalan melalui sokongan logistik dari Amerika.
Oleh itu, Iran mungkin akan beralih kepada pendekatan serangan tidak konvensional yang lebih bersifat strategik, dengan menumpukan serangan ke atas prasarana penting seperti stesen jana kuasa, pusat data, atau sistem komunikasi utama.
Pendekatan itu bertujuan memaksimumkan kesan psikologi dan gangguan ke atas Israel, sambil mengoptimumkan penggunaan sumber ketenteraan yang terhad.
Sehingga serangan Israel terkini, Iran bergantung pada paksi proksi, Hamas di Gaza, Hezbollah di Lebanon, Houthi di Yaman, dan militia Syiah di Iraq untuk memberi tekanan pada Israel secara tidak langsung.
Namun keberkesanan proksi telah susut selepas kerugian besar sejak Oktober 2024, lapor CNN.
Biarpun begitu, Teheran masih boleh memanfaatkan proksinya dalam bentuk serangan terancang terhadap sasaran sekunder, seperti kapal kargo berpangkalan Israel di Laut Merah, atau prasarana tenaga di Arab Saudi, tanpa menuntut serangan besar-besaran yang mengundang tindak balas sepenuhnya oleh Amerika.
Pilihan lain yang mungkin dipertimbangkan oleh Iran ialah melancarkan serangan siber berskala besar dan mendalam terhadap sistem utama Israel.
Iran sejak 2018 meningkatkan kapasiti siber ofensif melalui unit di bawah IRGC.
Serangan ke atas sistem rawatan air Israel pada 2020 membuktikan keupayaan mencetus gangguan kritikal.
Jika tekanan ketenteraan fizikal semakin memuncak, peralihan ke medan siber boleh menjadi saluran peningkatan ketegangan yang risikonya lebih rendah bagi Iran.
Strategi itu menawarkan kelebihan dari segi kos dan kebolehnafian (plausible deniability), kerana serangan siber sukar dikenal pasti secara jelas sebagai tindakan langsung sesebuah negara.
Justeru, ia mengurangkan kemungkinan tindak balas ketenteraan berskala besar daripada pihak lawan.
Iran sedar bahawa penyertaan ketenteraan Amerika akan mengubah imbangan kuasa secara drastik.
Encik Donald Trump menegaskan: “Jika Iran menyerang kepentingan Amerika walau dalam apa jua bentuk, akibatnya akan sangat berat.”
Ancaman itu menandakan garis merah Amerika.
Oleh itu, Teheran setakat ini mengelak menyasarkan pangkalan Amerika di Kuwait, Qatar, atau Turkey, walaupun pangkalan tersebut terlibat membantu Israel memintas peluru berpandu.
Encik Ayatollah Khamenei tekal dengan pendekatan berhati-hati iaitu mengukur setiap langkah agar tidak memberi peluang kepada Washington untuk menambah serangan bersama sekutunya.
Seorang pegawai Kementerian Luar Iran merumuskan dilema strategik negaranya kepada BBC dengan berkata:
“Kami mahu menundukkan Israel, tetapi tanpa membuka pintu kepada armada Amerika.”
Kenyataan itu mencerminkan keinginan Iran untuk mengekalkan konflik dalam kerangka dwipihak, iaitu antara Iran dengan Israel semata-mata, tanpa mengheret kuasa besar seperti Amerika ke medan pertempuran.
Pada masa yang sama, Teheran dilihat cuba memanfaatkan sentimen sejagat khususnya di Asia Barat yang kian mempersoalkan tindakan ketenteraan Israel, untuk mengukuhkan kedudukannya dalam naratif geopolitik serantau.
Pilihan ekstrem yang kerap disebut ialah penutupan Selat Hormuz, laluan yang mengendalikan kira-kira 20 peratus perdagangan minyak dunia.
Sekiranya Iran menghalang trafik tangki minyak, harga minyak mungkin melebihi AS$100 ($128) setong dan meletakkan tekanan besar terhadap ekonomi sejagat, termasuk sekutu Israel.
Namun, langkah sedemikian turut berisiko mencetuskan tindak balas daripada gabungan antarabangsa yang diterajui Amerika, memandangkan keselamatan laluan maritim antarabangsa dianggap sebagai sebahagian daripada kepentingan bersama di peringkat sejagat yang perlu dipelihara.
Oleh itu, penganalisis menilai bahawa penutupan sepenuhnya Selat Hormuz lebih bersifat sebagai “alat tekanan” untuk mendapatkan kelebihan dalam rundingan diplomatik, berbanding satu pilihan jangka panjang yang boleh dilaksanakan secara realistik.
Walaupun retorik Iran agak keras, Teheran kerap menegaskan kesediaannya kembali ke meja rundingan.
Menteri Luar, Encik Abbas Araghchi, menyatakan, “Sebaik sahaja serangan (Israel) dihentikan, kami akan lakukan timbal balas yang semula jadi.”
Kenyataan itu dilihat sebagai isyarat langsung kepada Washington: jika Amerika Syarikat menggunakan pengaruhnya untuk memberi tekanan pada Israel agar menghentikan serangan, maka Iran bersedia kembali ke meja rundingan nuklear.
Malah, sumber pertahanan Israel yang dipetik oleh CNN turut mengakui “pengakhiran konflik itu akan berbentuk diplomatik, bukan ketenteraan.”
Ini menggambarkan bahawa masih wujud ruang untuk penyelesaian atau “off-ramp” bagi mengelakkan konflik daripada terus berlarutan.
Kejayaan strategi Iran turut bergantung pada had ketahanan Israel. Penduduk Israel tidak biasa menghadapi kemusnahan besar di pusat bandar.
Jika serangan berterusan menjejas ekonomi Israel, tekanan politik dalaman terhadap pemerintahan Encik Netanyahu boleh meningkat, membuka pintu bagi tawar-menawar.
Dalam konteks ini, Teheran nampaknya mempertaruh masa mencari imbangan antara menunjukkan kekuatan dengan menunggu kesediaan lawan berundur ke meja rundingan.
Konflik Israel-Iran mencerminkan paradoks keselamatan abad ke-21: peluru berpandu dan dron telah mengubah keseimbangan kuasa secara dramatik.
Namun penamatnya mungkin masih akan ditentukan di meja diplomasi, bukan di medan tempur.
Seorang pegawai kanan Iran merumuskan dilema itu dengan jelas:
“Kami tidak mahu perang yang berpanjangan; kami mahukan satu perjanjian yang menghormati kedaulatan kami.”
Persoalannya kini adakah perjanjian sedemikian mampu direalisasikan?
Ia bergantung kepada sejauh mana kedua-dua belah pihak sanggup menahan diri sebelum tekanan ekonomi, ketidakstabilan politik dan krisis kemanusiaan memaksa mereka kembali mencari jalan damai. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg