RIYADH: Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi mengumumkan denda hingga 100,000 riyal ($34,615) akan dikenakan terhadap mana-mana individu yang menempatkan atau melindungi pemegang visa ziarah di dalam sebarang jenis kediaman termasuk hotel, pangsapuri, rumah persendirian, pusat penginapan atau penempatan haji di Makkah serta kawasan suci ketika musim haji.
Menurut Agensi Berita Arab Saudi (SPA), larangan itu berkuat kuasa dari 1 Zulkaedah hingga 14 Zulhijah, dan turut membabitkan sesiapa yang membantu pemegang visa ziarah untuk tinggal secara tidak sah.
Pihak kementerian turut memberi amaran bahawa jumlah penalti akan meningkat mengikut bilangan individu yang melanggar peraturan dengan cara ditempatkan, dilindungi atau dibantu.
Orang ramai digesa mematuhi peraturan haji bagi menjamin keselamatan jemaah dan kelancaran pelaksanaan ibadah.
Sebarang pelanggaran boleh dilaporkan dengan menghubungi talian 911 di Makkah, Riyadh dan Wilayah Timur, atau 999 bagi wilayah lain di Arab Saudi. - Agensi


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg